[KELUARGA] Istimewanya Hubungan Ayah dan Anak Perempuannya
Penulis: Najmah Saiidah
Anak adalah anugerah terindah yang dimiliki oleh orang tua. Orang tua pasti akan melakukan dan memperjuangkan berbagai cara untuk membesarkan anak-anaknya dengan baik. Tidak terkecuali dengan anak perempuan.
Memiliki anak lelaki mahupun perempuan sebenarnya sama sama membahagiakan. Kedua-duanya juga memiliki keutamaan masing-masing dalam pengasuhan yang tidak boleh diabaikan. Kewajipan orang tua adalah mendidik dan membimbing mereka agar menjadi hamba Allah SWT. yang bertakwa, terkendali emosinya, kuat keperibadian, berakhlak mulia dan mampu menyelesaikan masalah kehidupannya.
Ketika zaman jahiliah dahulu, kelahiran anak perempuan dianggap sebagai aib sehingga mereka dikuburkan hidup-hidup. Kedatangan Islam telah memuliakan anak-anak perempuan dengan turunnya beberapa ayat yang melarang seorang ayah untuk membunuh anak perempuan yang dilahirkan. Sangat jelas bahawa Islam memerintahkan kita untuk memuliakan anak perempuan sebagaimana anak lelaki.
Zaman sekarang, tidak dinafikan bahawa seorang ayah sering diposisikan hanya sebagai orang yang memberi nafkah untuk anak-anaknya. Jarang sekali mereka diposisikan sebagai pendidik atau orang yang menguruskan anak-anak kerana seringkali tugas membesarkan anak diserahkan kepada ibu. Akibatnya, tidak sedikit anak-anak yang kurang rapat dengan ayah mereka lebih-lebih lagi anak perempuan. Sedangkan, ayah juga memiliki peranan yang penting dalam kehidupan anak-anak mereka.
Terkait hubungan ayah dengan anak perempuan, terdapat beberapa perkara istimewa yang dijelaskan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW Contoh Terbaik Ayah dalam Memperlakukan Anak Perempuannya
Rasulullah SAW sangat rapat dengan anak-anaknya lebih-lebih lagi Fatimah, anak perempuan bongsunya. Begitu juga sebaliknya. Fatimah memiliki tempat yang khusus di hati Nabi SAW. Wajar jika ada yang mengatakan tidak ada hubungan ayah-anak yang lebih besar daripada hubungan Nabi Muhammad SAW dengan Fatimah r.a. Perkara inilah yang perlu kita contohi.
Ketika Nabi berada di rumah atau di depan umum dan melihat puterinya ini menghampiri atau memasuki ruangannya, Nabi akan segera berdiri menyambut dan menunjukkan sifat lemah lembut terhadapnya. Baik orang Madinah mahupun orang Mekah, Masing-masing terkejut melihat perilaku Nabi terhadap anak perempuan kerana kebiasaan mereka tidak begitu. Sudah menjadi kebiasaan Baginda untuk mencium puterinya kemudian meletaknya di sisi Baginda tanpa mempedulikan pandangan orang lain.
Peranan seorang ayah yang bertanggungjawab terhadap anak perempuannya juga dicontohkan secara langsung oleh Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadis ada dijelaskan, dari Mizwar bin Makhramah berkata, “Pernah Ali bin Abi Thalib berniat untuk meminang puteri Abu Jahal, kemudian Fatimah mendengar khabar tersebut. Lalu dia menyampaikan khabar itu kepada ayahnya. Nabi Muhammad SAW bersabda, ” Orang-orang mengganggap bahawa engkau tidak akan marah demi puteri-puterimu kerana Ali hendak menikahi puteri Abu Jahal.”
Mendengar aduan dari puterinya tersebut, Baginda berdiri kemudian bersabda, “Amma ba’du, aku telah menikahkan Abul Ash bin Rabi’, dia mengatakan sesuatu kepadaku dan dia memenuhi apa yang dia katakan kepadaku. Sesungguhnya Fatimah adalah bahagian Dariku dan aku tidak suka seseorang menyakitinya. Demi Allah, tidak akan berkumpul puteri Rasulullah dengan puteri musuh Allah di bawah naungan satu lelaki.” Kemudian Ali bin Abi Thalib membatalkan pinangan tersebut. (HR Bukhari dan Muslim)
Demikianlah, betapa rapatnya hubungan Nabi Muhammad SAW dengan anak perempuannya, Fatimah. Baginda sangat menyayangi dan bertanggungjawab terhadapnya.
Hubungan Ayah dan Anak Perempuannya dalam Pandangan Islam, Sangat Istimewa
Banyak hadis-hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang istimewanya hubungan ayah dan anak perempuannya. Seperti yang kita fahami, ayah lah yang akan menjadi wali nikah bagi anak perempuannya. Bukan cuma itu, anak perempuan juga akan menjadi penghalang ayahnya dari api neraka.
Akan tetapi, jika seorang ayah tidak mempedulikan anak perempuannya dan membiarkannya tidak menutup aurat, maka akan diharamkan syurga buat si ayah. Semua ini ada dijelaskan dalam hadis-hadis Rasulullah SAW Marilah kita tadaburi.
1- Ayah adalah orang yang menikahkan anak perempuannya.
Memilih suami yang soleh untuk anak perempuannya merupakan puncak dari tugas seorang ayah terhadap anak gadisnya yang berada dalam perwaliannya. Dalam hal ini, orang tua atau wali perlulah berhati-hati dalam memilih jodoh untuk anaknya kerana suamilah yang akan mendampingi, menjaga dan membimbing isterinya untuk menjadi wanita solehah yang akan menghantarkannya ke Jannah.
Terkait dengan peranan ayah yang ini, Nabi SAW bersabda, “Dia akan menjaga tiga anak perempuan (atau dua juga), kemudian dia mendidik dan menikahkan mereka dan berbuat baik dengan mereka, maka dia akan mendapatkan syurga.” (HR Abu Dawud)
“Apabila ada yang meminang anak gadismu dan kamu menyukai pada agama dan akhlaknya, maka nikahkan lahir. Kalau tidak kamu lakukan, sama dengan kamu menjadi fitnah di muka bumi dan menimbulkan kerosakan yang luas.” (At-Tirmidzi dan Abu Hurairah)
2- Anak perempuan menjadi penghalang ayahnya dari api neraka.
Dalam mendidik anak perempuan, ada pahala yang besar akan diperolehi. Bersabar terhadap sikap mereka juga akan mendatangkan pahala yang besar. Betapa penting dan besar peranan orang tua dalam mendidik mereka. Dari Anas r.a. Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa yang mengasuh dua anak perempuan sehingga keduanya baligh, maka dia akan datang pada hari kiamat, aku dan dia seperti ini (baginda menyatukan dua jarinya).” (HR Muslim)
من ابْتُلِي من هذهِ البناتِ بشيٍء كُنَّ لهُ سِترًا من النار
“Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu dari anak-anak perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, nescaya mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka. ” (HR Bukhari dan Muslim)
Dari Jabir r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa memiliki tiga anak perempuan, dia mengasuh mereka (dalam rumahnya), mencukupi keperluan mereka dan menyayangi mereka, maka tentu telah wajib baginya syurga.” Kemudian, salah seorang dari kaumnya berkata, “kalau dua anak perempuan ya Rasulullah?” Nabi SAW berkata, “Dua anak perempuan juga.” (HR Ahmad)
Dalam riwayat lain, terdapat tambahan, “sampai-sampai kami menyangka kalau ada orang yang berkata, “kalau satu anak perempuan?” Nabi menjawab, “Satu anak perempuan juga.”
Dari Uqbah bin Amir dari Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa memiliki tiga anak perempuan, kemudian dia bersabar terhadap mereka, dia beri mereka makan, minum dan pakaian serta keperluan mereka, nescaya mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka pada hari kiamat.” (HR Ibnu Majah)
3- Diharamkan syurga, jika ayah tidak peduli terhadap anak perempuannya.
Seorang ayah akan diharamkan syurga baginya jika dia membiarkan anak-anaknya terjerumus ke dalam pergaulan yang tidak baik, membiarkan anak-anaknya berzina, tidak menutup aurat, minum minuman keras dan berbagai maksiat lainnya.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Ada tiga orang yang Allah haramkan syurga untuknya iaitu penagih arak, orang yang derhaka kepada orang tua dan dayus (orang yang tidak memiliki sifat cemburu yang menyetujui perkara keji pada keluarganya).” (HR Ahmad)
Dayus merupakan kurangnya perasaan cemburu seorang suami atau ayah terhadap isteri dan anaknya. Ia merupakan perasaan suami yang tidak peduli dan tidak membawa isteri dan juga anak-anaknya ke jalan yang benar saat keduanya melakukan dosa.
Sedangkan, tugas seorang ayah dan suami adalah untuk menuntun, membimbing dan bertanggungjawab ke atas isteri dan anak-anaknya agar selalu berada di jalan yang benar, jalan yang Allah redhai.
Seorang ayah wajib memerintahkan anak perempuannya untuk menutup aurat. Berdosalah seorang ayah ketika dia tidak merasa cemburu atau selesa melihat anak perempuannya tidak menutup aurat. Walaupun seorang ayah tidak menanggung dosa anak perempuannya, tetapi dia tetap berdosa kerana membiarkan mereka tidak menurut aurat atau melanggar hukum-hukum Allah yang lain.
Di sinilah pentingnya seorang ayah dekat secara emosi, fizikal dan spiritual dengan anaknya. Tugas ayahlah yang perlu membuatkan anaknya merasa aman, nyaman dan dapat berinteraksi secara harmoni dengan anak-anak lebih-lebih anak perempuan. Seorang anak gadis akan lebih terarah kehidupan akhirat dan dunianya ketika ayahnya selalu dekat di hatinya.
Ayah merupakan teladan anak dan keluarga sehingga dengan keadaan ini, pendidikan Islam akan berjalan secara sinergi dan mampu membuat anak-anak kurang bermasalah ketika membesar terutamanya saat remaja.
Ayah perlu menyemai benih cinta agar hubungannya sentiasa mesra dengan anak perempuannya seperti membina dialog positif dengan anak, memberi kepercayaan, cinta dan kebebasan yang bertanggungjawab. Seorang ayah perlu sedar bahawa keberadaannya sangat diperlukan oleh anak terutamanya anak perempuan. Ada khabar gembira untuknya tentang anak perempuan.
Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa mempunyai tiga orang anak perempuan atau tiga saudara perempuan, dua orang anak perempuan atau dua saudara perempuan, kemudian dia melayan mereka dengan baik dan bertakwa kepada Allah dalam mengasuh mereka, maka baginya syurga.” (HR At-Tirmidzi, Abu Dawud dan Ibnu Majah).
#Keluarga #Pernikahan

