Fatimah binti Al-Mundzir, Guru untuk Suaminya
Sebagai generasi ketiga setelah Nabi SAW dan sahabat dari segi periwayatan hadis, pada zaman tabiin wanita masih diberi tempat untuk membuat susulan terhadap periwayatan hadis Nabi SAW. Hal ini merupakan bentuk pengiktirafan bahawa wanita masih mempunyai satu kelebihan dalam aspek ilmu pengetahuan, khususnya tentang periwayatan hadis.
Di antara tabiin dari kalangan wanita yang mempunyai banyak periwayatan hadis ialah Fatimah binti Al-Mundzir. Beliau merupakan isteri Hisyam bin ‘Urwah, termasuk dalam rawi hadis thabaqah ketiga, iaitu thabaqah al-wustha min tabiin. Fatimah binti Al-Mundzir dibesarkan dalam kalangan keluarga pendokong utama Nabi SAW. Datuknya dari sebelah bapa iaitu Zubair bin Awwam dikenali sebagai sahabat utama Nabi.
Fatimah merupakan pengganti keluarga sahabat utama Nabi dalam meriwayatkan hadis. Walaupun ayahnya, Al-Mundzir bin Zubair dalam al-kutub al-tis’ah hanya meriwayatkan satu hadis, beliau merupakan pewaris ilmu hadis daripada neneknya, Asma binti Abu Bakar.
Suaminya bernama Hisyam bin Urwah bin Zubair bin Awwam. Dilahirkan pada 61 H dan termasuk generasi tabiin senior. Suaminya, Hisyam bin Urwah mengakui kelebihannya dalam hal riwayat hadis kerana usianya lebih tua. Hisyam pernah berkata, “Fatimah binti al-Mundzir lebih tua dariku 13 tahun.”
Jika kita mengetahui bahawa Hisyam lahir pada tahun 61 H, maka Fatimah lahir pada tahun 48 H. Fatimah melahirkan dua orang anak dengan Hisyam. Mereka ialah Urwah dan Muhammad, kedua-duanya menjadi orang pilihan pada zaman mereka.
Berita tentang Fatimah binti Al-Mundzir menunjukkan periwayatannya terhad kepada wanita sahaja. Beliau sempat bertemu Ummu Salamah ra.. Ketika itu beliau berusia empat belas tahun. Sejak kecil Fatimah dikenali sebagai anak yang pintar dan cemerlang dalam hafalan.
Fatimah dibesarkan di bawah bimbingan nenek sebelah bapanya Asma’ binti Abu Bakar dan menghafal hadis daripadanya, ketika itu dia berumur lima belas tahun. Oleh itu, beliau sangat banyak mendengar hadis dan menghafalnya.
Hadis yang diriwayatkan oleh Fatimah daripada Ummu Salamah iaitu tentang usia penyusuan. Hadis tersebut ditulis At-Tirmidzi dalam kitabnya bahawa Ummu Salamah berkata, “Susu yang boleh mengharamkan perkahwinan ialah susu yang sampai ke usus dan bermanfaat untuk tumbesaran anak. Ini dilakukan sebelum anak itu disapih.” Selain itu, Fatimah turut meriwayatkan beberapa fikiran fikih daripada neneknya, Asma binti Abu Bakar.
Walaupun dia disebut sebagai guru bagi suaminya, hal itu tidak menjadikan beliau sombong atau merasa tinggi di hadapan suaminya. Malah, mereka berdua bekerjasama dengan baik sebagai keluarga ahli hadis terkemuka. Kedua-duanya sama pakar dalam ilmu hadis menjadikan Fatimah dan Hisyam merupakan pasangan yang disegani dalam ilmu hadis.
Kedua-duanya bekerjasama dalam mengajar hadis kepada orang lain. Salah satu hadis yang mereka riwayatkan iaitu tentang infak. Hadis tersebut berbunyi, “Berinfak dan bersedekahlah dan jangan menunggu lebihan harta. Ini kerana apabila kalian menunggu lebihan harta, kalian tidak akan dilebihkan sedikit pun. Apabila kalian bersedekah, maka kalian tidak akan merasa kekurangan.”
Sehingga akhir hayatnya, Fatimah meriwayatkan 400 hadis. Dia dan suaminya memantapkan diri sebagai keluarga muslim yang membesar dalam suasana pembelajaran dan mewarisi ilmu dari generasi sahabat Nabi SAW..
Sumber:
https://muslimahnews.net/2022/12/21/15780/
#KisahInspirasi
#TabiinDalamKalanganWanita
#FatimahAlMundzir
#AhliHadis
#PewarisIlmuHadis

