Refleksi Nisfu Sya’ban: Peristiwa Meningkatkan Ketaatan dan Menyudahi Permusuhan
Pada bulan Sya’ban terdapat malam Nisfu Sya’ban (pertengahan bulan Sya’ban). Nabi SAW pun memuliakannya, sebagaimana disebutkan dalam sabda-Nya:
يُطَلِّعُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى إِلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِهِ إلاَّ لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
“Allah Tabaraka wa Taala memperhatikan makhluk-Nya di malam Nisfu Sya’ban, kemudian mengampuni semua dosa makhluk-Nya, kecuali orang musyrik dan saling bermusuhan.” (HR. Ibnu Hibban)
Inilah peristiwa penting bagi orang yang melakukan kesalahan dan melalaikan hak Allah, agama, dakwah dan kewajipan-Nya. Inilah peristiwa untuk menghapus dendam dalam hati kepada saudara-saudara kita. Maka, tak ada tempat bagi pendendam, pendengki dan orang yang saling bermusuhan. Oleh sebab itu, ucapan yang keluar dari lisan kita adalah:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالإِيمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلاًّ لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
“Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam beriman. Jangan jadikan kebencian dalam hati-hati kami terhadap orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, Engkaulah Dzat yang Maha Kasih lagi Maha Penyayang.” (TMQ al-Hasyr: 10)
Hal ini kerana bulan Sya’ban ini adalah bulan yang terhimpit di antara dua bulan yang luar biasa, bulan suci [haram] Rejab, dan bulan agung [azhim] Ramadhan, maka tak jarang bulan ini pun disia-siakan. Oleh sebab itu, Nabi SAW mengingatkan:
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفَلُ عَنْهُ النَّاسُ
“Itu adalah bulan, dimana orang-orang melalaikannya.” (HR. at-Tirmidzi dan an-Nasa’i dari Usamah bin Zaid ra)
Para ulama juga mengatakan, “Hadis ini menjadi dalil tentang disunnahkannya menghidupkan waktu-waktu yang dilalaikan orang, dengan ketaatan. Hal itu sudah pasti lebih dicintai Allah Azza wa Jalla. Sebahagian ulama’ salaf suka menghidupkan waktu di antara dua Isyak [Maghrib-Isya’] dengan solat. Mereka mengatakan, “Ini adalah waktu yang dilalaikan.”
Allah SWT mengistimewakan malam Nisfu Sya’ban sehingga disunnahkan untuk menghidupkan pada malam ini dengan amalan baik, solat, zikir, istighfar dan doa. Tidak ada tuntunan seperti doa dan solat khusus di malam Nisfu Sya’ban maka amalan ibadah yang dibenarkan syariat dapat diamalkan malam tersebut.
Ketuklah pintu-pintu syurga itu dengan zikir, solat dan qiyamul lail, saat orang terlelap dalam tidurnya. Ketuklah pintu-pintu syurga itu dengan terus berharap, memohon dan berdoa kepada-Nya. Abu Darda’ juga berkata:
جِدُّوْا بِالدُّعَاءِ، فَإِنَّهُ مَنْ يَكْثُرُ قَرْعَ الْبَابِ يُوْشِكُ أَنْ يَفْتَحَ لَهُ
“Bersungguh-sungguhlah dengan berdoa, kerana siapa saja yang banyak mengetuk pintu-Nya, hampir pasti Dia akan membukakan pintu untuknya.”
Madinah Nashr, Cairo, 14 Sya’ban 1443 H
Ustaz Yuana Ryan Tresna
Refleksi Nisfu Sya’ban: Peristiwa Meningkatkan Ketaatan dan Menyudahi Permusuhan

