Site icon MuslimahHTM News

Jabatan Polis dan Al-Hajib (Pengawal) Semasa Khilafah Bani Umayyah

[Tarikh Khulafa] Jabatan Polis dan Al-Hajib (Pengawal) Semasa Khilafah Bani Umayyah

 

Penulis: Nabila Ummu Anas

 

Sejak Islam dilaksanakan di institusi negara, umat Islam mempunyai sistem keselamatan dengan melantik sebahagian rakyat sebagai polis dan al-hajib (pengawal pihak berkuasa).  Ini adalah satu bentuk jaminan keselamatan yang diberikan kepada semua lapisan masyarakat termasuk pihak berkuasa (Khalifah dan wali).  Kewujudannya berterusan sehingga zaman Khilafah Bani Umayyah.

 

Jabatan Polis

Jabatan polis merupakan jabatan yang sangat penting dalam Negara Islam.  Kewujudannya adalah untuk mengekalkan kestabilan keselamatan, melindungi masyarakat dengan undang-undang dan peraturan, serta memburu dan menangkap penjenayah.  Pegawai polis juga berperanan sebagai pelaksana hukuman yang diputuskan oleh hakim.

 

Peraturan polis telah diperkenalkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa dia berkata, “Qais bin Sa’ad di sisi Rasulullah adalah sebagai pegawai polis.”

 

Apabila Khilafah Bani Umayyah mentadbir, kepentingan Jabatan Polis semakin terserlah kepentingannya seiring dengan keadaan yang berlaku ketika itu.  Polis mempunyai pengaruh besar dalam menjaga keselamatan dan membersihkan negara daripada unsur-unsur kemusnahan dan gangguan keselamatan serta menghapuskan penentang kerajaan dalam negara.

 

Para Khalifah Bani Umayyah berusaha memilih para pegawai dan pegawai polis daripada kalangan orang yang berwibawa dan mempunyai ketegasan.  Para penguasa Bani Umayyah memberi kebebasan kepada pegawai polis untuk memilih pembantu mereka supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.

 

Pegawai polis yang berada di ibu kota Khilafah dan kota-kota wilayah adalah wakil kerajaan dalam menegakkan undang-undang.  Melalui ketegasan dan dedikasi polis dalam menjaga keselamatan dan kestabilan di seluruh negara, ia pasti dapat direalisasikan.

 

Di antara bukti yang menunjukkan betapa pentingnya kedudukan polis dan orang-orang yang terlibat di dalamnya pada zaman Khilafah Bani Umayyah adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Asy-Sya’bi dan Al-Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqafi bahawa beliau berkata, “Carilah aku seseorang untuk menjadi ketua polis,” Dia ditanya, “Orang seperti apa yang kamu inginkan?”  Dia menjawab, “Saya mahu seseorang yang berwajah garang, tidak banyak bercakap, tidak mudah memberi keringanan, dan boleh dipercayai.”  Kemudian dikatakan kepadanya, “Pilihlah Abdurrahman bin Ubaid at-Tamimi.”

 

Beliau turut menyatakan hasratnya untuk melantik Abdurrahman at-Tamimi sebagai ketua polis.  Abdurrahman at-Tamimi berkata kepada Al-Hajjaj, “Saya tidak akan menerima jawatan ini, kecuali jika kamu membebaskan saya daripada campur tangan keluarga, anak-anak, dan pegawai kamu.” Mendengar syarat tersebut, Al-Hajjaj kemudian berkata, “Wahai anak muda, beritahulah kepada setiap orang, sesiapa yang mengadu kepadanya, saya tidak akan campur tangan.”

 

Al-Hajib

 

Al-hajib atau pengawal peribadi ialah orang yang duduk di pintu istana khalifah untuk mengatur orang yang ingin masuk menemui Khalifah.  Al-Hajib akan mengatur tetamu mengikut kedudukan, destinasi dan tujuan kedatangan mereka.

 

Khalifah menghendaki orang yang menjadi pengawal peribadinya berasal daripada keluarga iaitu orang-orang terdekat yang mempunyai bangsawan dan kepintaran. Menurut para ahli sejarah, pengawalan (al-hajib) bukanlah merupakan inovasi baru Khilafah Bani Umayyah, tetapi ia adalah pengaturan yang sudah wujud sejak masa Rasulullah SAW. Hanya saja kekhalifahan Bani Umayyah menjadikan al-hajib sebagai peraturan negara.

 

Para Khalifah melantik beberapa orang pegawai khas bagi urusan al-hajib sesuai dengan perkembangan zaman dan seiring dengan bertambahnya jumlah penduduk dari pelbagai wilayah seperti pembesar wilayah, ketua kaum, masyarakat, dan sesiapa sahaja yang perlu datang ke istana khalifah.

 

Memandangkan pentingnya tugas al-hajib, para Khalifah Bani Umayyah tidak memberikan jawatan ini melainkan hanya kepada orang yang mereka percayai.  Begitu juga pengawal bagi para penguasa yang terdapat di pelbagai wilayah kekuasaan negara Islam.

 

Ini seperti pesanan dari Khalifah Abdul Malik bin Marwan kepada saudaranya, Abdul Aziz yang ketika itu menjadi wali wilayah Mesir.  Abdul Malik bin Marwan berkata kepadanya, “Lihatlah pengawalmu, hendaklah dia berasal dari ahli keluargamu yang terbaik.  Sesungguhnya mereka adalah keturunan daripada dirimu, tiada siapa yang berdiri di pintu istana anda melainkan pengawal memberitahu anda supaya anda boleh membuat keputusan antara mempersilakannya masuk atau menolaknya.”

 

Exit mobile version