[Keluarga] Duhai Ayah, Akrab dengan Anak Adalah Amalan yang Dicontohi oleh Rasulullah SAW
Penulis: Najmah Saiidah
Islam sebagai deen yang sempurna telah memberikan peranan yang sangat penting buat seorang ayah di dalam sebuah keluarga. Ya, dia adalah pemimpin dalam sebuah keluarga sekaligus memiliki kewajipan untuk menafkahi anggota keluarganya.
Oleh kerana peranan yang luar biasa ini, tidak sedikit yang menilai bahawa ayah tidak perlu terlampau akrab dengan anak-anak. Ibulah yang semestinya akrab dengan anak-anak, seiring dengan peranan utama seorang wanita sebagai ummun wa rabbatul bait, ibu dan pengelola rumah tangga suaminya.
Tentu saja pendapat ini tidak benar kerana seorang ayah pun memiliki peranan mendidik anak-anaknya. Rasulullah SAW telah mencontohi kepada kita , sewajarnya seorang ayah atau suami berperanan di tengah-tengah keluarganya.
Rasulullah SAW adalah seorang lelaki yang sangat akrab dengan anak-anak, lebih-lebih lagi dengan anak-anaknya dan cucu-cucunya. Dalam menjalankan peranannya sebagai seorang ayah dan suami, baginda SAW sangat prihatin dan tidak bersikap buruk, keras, kaku, atau kasar terhadap keluarganya. Bahkan sebaliknya, penuh kelembutan dan kasih sayang.
Sesungguhnya sikap lemah lembut ini merupakan rahmat dari Allah SWT sebagaimana kalamNya ketika memuji RasulNya yang mulia,
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ
“Maka, dengan disebabkan rahmat Allahlah engkau dapat bersikap lemah lembut dan lunak kepada mereka. Sekiranya engkau itu adalah seorang yang kaku, keras, lagi berhati kasar, tentu mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.” [TMQ Ali Imran (3): 159]
Rasulullah SAW Memerintahkan Bergaul secara Makruf dengan Anggota Keluarga
Rasulullah SAW sangat mencintai keluarganya, baginda merupakan peribadi yang penyayang dan dikenali sebagai pelindung keluarganya.
Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita contoh teladan kehidupan pernikahan yang penuh persahabatan dengan isteri-isteri baginda. Hal ini jelas dari sikap dan kata-kata yang baginda sampaikan terhadap isteri-isterinya. Tidak ada satu hadis pun yang menyebut bahawa Rasulullah SAW pernah memukul atau mengumpat isterinya.
Rasulullah SAW menyapa isterinya dengan sapaan yang mesra dan baik. Rasulullah SAW menyapa Khadijah dengan sebutan ya habibi (wahai kekasihku). Begitu juga dengan Aisyah yang disapa dengan ya humaira‘ (wahai wanita yang pipinya kemerahan).
Sebuah kisah yang selalu kita dengar adalah ketika Rasulullah SAW mengajak isterinya, Aisyah berlumba lari. Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya untuk mempersilakan mereka berjalan terlebih dahulu.
Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada Aisyah, “Ayuh kemarilah. Ku ajak engkau berlumba lari.” Aisyah dengan pantas berlari dan berjaya mengalahkan Nabi SAW.
Waktu terus berlalu. Beberapa tahun kemudian, Aisyah kembali menemani baginda dalam sebuah perjalanan. Baginda SAW kembali mempersilakan para sahabatnya untuk berjalan terlebih dahulu. Lalu, baginda berkata kepada Aisyah, ” Ayuh kemarilah! Ku ajak engkau berlumba lari.”
Aisyah tersenyum kerana ketika itu tubuhnya sudah mulai gemuk. Aisyah bertanya, “Bagaimana aku boleh berlumba lari denganmu ya Rasulullah, sedangkan badanku begini?”
Rasulullah SAW bersabda, “Ayuh , lakukanlah!” Lalu Aisyah berusaha berlumba lari dengan Nabi SAW. Ketika itu Nabi SAW berjaya mendahului Aisyah. Baginda pun tertawa riang dan berkata, “Sekarang aku telah mampu mengalahkanmu.”
Demikian romantiknya Rasulullah SAW kepada isteri-isterinya. Baginda SAW melayan isteri-isteri dan anak-anaknya dengan sangat baik.
Rasulullah SAW Teladan Terbaik dalam Keakraban dengan Anak-Anak
Selain sebagai seorang nabi dan rasul, Muhammad SAW adalah seorang ketua negara, sudah tentu baginda sangat sibuk mengurus pemerintahan. Baginda memimpin pasukan dalam pelbagai peperangan, menegakkan hukum Islam, berbincang dengan delegasi, mengajar para sahabat, menerima wahyu, dan mendakwahkan Islam di tengah-tengah umat, bahkan mengirimkan surat kepada para raja dan pemimpin dunia.
Namun, di sela-sela kesibukannya, baginda ternyata seorang yang bertanggungjawab dan sangat prihatin kepada keluarga, kepada anak isteri, cucu, bahkan anak-anak di sekitarnya. Pada diri Rasulullah SAW tercermin peribadi yang penyayang dan ramah kepada anak-anak. Hal ini diakui langsung oleh Anas ibn Malik yang kehidupan sehariannya lebih banyak bersama Nabi Muhammad SAW, “Aku belum pernah melihat seseorang yang lebih sayang kepada keluarganya selain Rasulullah SAW.”
Keakraban Nabi Muhammad kepada mereka terlihat jelas dalam pelbagai peristiwa. Pernah pada suatu ketika baginda mencium salah seorang cucunya, al-Hasan ibn Ali. Kejadian itu disaksikan langsung oleh Al-Aqra‘ ibn Habis.
Al-Aqra‘ pun berkata, “Aku memiliki sepuluh orang anak, tetapi tidak ada seorang pun yang biasa ku cium.” Rasulullah SAW menoleh ke arahnya dan menjawab, ”Siapa yang tidak menyayangi, maka tidak akan disayangi.” [HR Bukhari dan Muslim]
Kemungkinan Al-Aqra‘ mempunyai tanggapan bahawa lelaki yang memiliki keperibadian yang kuat adalah mereka yang tidak akrab dengan anak-anak. Namun, Rasulullah SAW dengan tegas menepis andaian itu sehingga spontan melontarkan jawapan, ”Sesiapa yang tidak menyayangi, maka tidak akan disayangi.”
Jawapan itu jelas menunjukkan sikap baginda yang sangat luhur, penyayang, ramah terhadap anak-anak, dan tentunya sangat layak diteladani oleh para ayah. Keluhuran, ketawadukan, dan kerendahan hati Rasulullah SAW benar-benar tidak boleh dibandingkan dengan sesiapa pun.
Disebabkan oleh keluhuran akhlaknya, baginda tidak sukar bersosial dan bergaul dengan anak kecil. Dalam kesempatan yang lain, pernah Rasulullah SAW menghiburkan anak Ummu Sulaim bernama Abu Umair yang menangis kerana kematian burung kesayangannya.
Bentuk lain kasih sayang dan kelembutan Rasulullah SAW kepada anak-anak adalah tidak membebani mereka di luar kemampuannya. Disebutkan, pada saat perang Uhud, Nabi Muhammad SAW didatangi oleh sejumlah anak-anak yang ingin ikut berperang.
Namun, baginda SAW menolak kerana mereka masih kecil, masih di bawah umur. Mereka adalah Abdullah ibn Umar ibn al-Khattab, Usamah ibn Zayd, Usaid ibn Zhuhair, Zayd ibn Tsabit, Zayd ibn Arqam, Arabah ibn Aus, Amr ibn Hazm, Abu Sa‘id al-Khudri, dan Sa‘d ibn Habah.
Rasulullah SAW bahkan tidak ragu untuk meminta air dan membasuh air kencing seorang anak kecil. Keprihatinan dan perlindungan Rasulullah SAW terhadap anak-anak ini bukan sekadar perlakuan sepontan dan pada waktu-waktu tertentu sahaja, melainkan berlangsung berulang kali, sehinggakan anak-anak kecil kerap menemui Rasulullah SAW sekembalinya baginda dari bermusafir dan mengajaknya bermain atau bergurau. Nabi Muhammad SAW seakan-akan tidak mempunyai keperluan atau kesibukan lain selain bermain dengan anak-anak [Raghib al-Sirjani, Nabi Kaum Mustad‘afin].
Khatimah
Demikianlah gambaran keluhuran akhlak Rasulullah SAW yang mesti kita teladani, terutamanya oleh para suami dan para ayah. Baginda selalu dekat dengan keluarga, terlebih lagi dengan anak-anaknya. Baginda bersikap lemah lembut dan tidak kaku terhadap mereka.
Kedekatan seorang ayah dengan anak-anaknya sungguh sangat memberikan pengaruh dan impak yang besar dalam perkembangan dan pertumbuhan anak-anak. Oleh kerana itu, amat penting bagi seorang ayah untuk selalu dekat dengan anak-anaknya sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang mampu meneladani akhlak mulia dan sikap Rasulullah SAW. Amin. Wallahu’alam bissawab.

