[Nafsiyah] Jangan Ikut Perasaan, Mulalah Berperanan
Dalam sistem sekular ini, bermacam ragam jenis manusia yang boleh kita jumpa. Bukan hanya yang tamak dengan harta, tetapi juga yang menghidap penyakit gangguan mental. Ditambah lagi dengan perasaan tidak percaya diri (insecure) serta terbawa-bawa dengan perasaan (perasaan lebih mendominasi berbanding logik akal).
Sedangkan terbawa-bawa dengan perasaan tidak diajarkan dalam Islam kerana Islam menuntun setiap Muslim untuk memaksimumkan potensi akal iaitu dengan melakukan aktiviti berfikir sebelum bertindak atau memutuskan sesuatu perkara iaitu bersandarkan hukum syarak.
Tetapi, ia tidak bermaksud untuk mengabaikan perasaan. Perasaan juga berperanan untuk mendorong seseorang agar melakukan sesuatu.
Namun perlu diingat, perasaan perlu dikawal dengan pemikiran yang benar agar tidak menyimpang dalam menilai sesuatu. Apatah lagi dalam perkara yang terkait dengan kehidupan. Jadi, apakah yang menjadikan seseorang boleh terbawa-bawa dengan perasaannya?
Pertama, kerana dominasi perasaan berbanding akal fikiran. Kedua, sukar membaca situasi sekitar antara gurauan, serius atau memang perlu menegur lawan bicara. Ketiga, terlalu percaya kata-kata orang lain atau mudah terpengaruh sehingga memberi kesan pada perasaannya.
Mengapa kita tidak boleh terlalu terbawa dengan perasaan? Salah seorang Syeikh di Universiti Al-Azhar, Syeikh Thanthawi mengatakan bahawa kita semua adalah orang biasa pada pandangan orang-orang yang tidak mengenali kita. Jadi kita tidak perlu berharap untuk diistimewakan oleh orang ramai kerana mereka juga tidak mengenali kita. Ini akan membuatkan kita tidak mudah terbawa dengan perasaan.
Kedua, kita adalah orang yang menarik di mata orang yang memahami kita. Tetapi, tetaplah kita di kedudukan yang rendah diri, tidak merasa lebih baik di antara mereka. Kita tidak boleh ada perasaan “gila” kehormatan kerana menganggap bahawa kita lebih dari yang lain.
Ketiga, kita istimewa di pandangan mereka yang mencintai kita. Perkara ini akan membangkitkan rasa percaya diri atas kemampuan yang kita miliki. Kita juga perlu memberikan yang terbaik untuk orang-orang yang mencintai kita.
Keempat, kita merupakan seorang yang menjengkelkan di pandangan mereka yang penuh kedengkian. Tetapi, tetaplah berbuat baik pada mereka walaupun mereka tidak melakukan hal yang sama kerana perintah berbuat baik itu datangnya dari Allah. Kita tidak perlu terbawa-bawa perasaan disebabkan oleh orang-orang yang tidak menyukai kita.
Kelima, kita adalah orang yang jahat di mata orang-orang yang iri dan sakit hati kerana kelebihan yang kita miliki seperti ilmu dan seringnya bersedekah. Jika mereka iri kerana adanya kebaikan pada diri kira, hal ini dilarang dalam Islam.
Pada akhirnya, setiap orang memiliki pandangannya masing-masing. Kita tidak perlu bersusah-payah untuk kelihatan baik di mata orang lain. Cukuplah redha Allah bagi kita kerana mencari redha manusia adalah sesuatu yang tidak mungkin untuk digapai. Sedangkan redha Allah adalah tujuan yang pasti sampai.
Kita perlu fokus untuk meraih redha Allah. Pastinya kita berharap segala aktiviti yang kita lakukan bernilai pahala dan diganjarkan dengan sebaik-baik ganjaran iaitu Syurga. Dengan begitu, kita tidak akan mudah terbawa perasaan melainkan cuba berperanan sebagai hamba yang terbaik dihadapan-Nya.
Apatah lagi tugas utama seorang Muslim adalah untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah SWT., “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [TMQ Adz-Dzaariyaat (51): 56]
Rasulullah SAW bersabda, “Beramallah kalian kerana setiap orang akan dimudahkan kepada yang dicipta baginya. Barangsiapa yang diciptakan sebagai Ahlus sa’adah (penghuni syurga), maka dia akan dimudahkan untuk mengamalkan amalan Ahlus sa’adah. Namun, barangsiapa yang diciptakan sebagai ahlusy syaqa (penghuni neraka), maka dia akan dimudahkan pula untuk melakukan amalan ahlusy syaqa.” Kemudian Baginda membacakan ayat yang bermaksud, “Dan barangsiapa yang memberi dan bertakwa serta membenarkan (kebaikan).” (HR Bukhari)
Maksud hadis di atas, kita diminta oleh Rasulullah SAW untuk beramal. Tentu saja amalan yang dilakukan adalah amalan kebaikan yang akan memudahkan jalan kita ke syurga. Berhenti menjadi orang yang terlalu mengikut perasaan dan mulalah mengambil peranan untuk mengembalikan kehidupan Islam. Berjuang untuk kebangkitan Islam.
Sumber : https://muslimahnews.net/2023/01/06/16368/
#Nafsiyah

