Site icon MuslimahHTM News

Marhaban Ya Ramadhan!

Marhaban Ya Ramadhan!

 

Sungguh tidak terasa, sebentar lagi kaum Muslim di seluruh dunia akan menyambut kedatangan Ramadhan. Bulan penuh keutamaan yang di dalamnya Allah SWT. melipatgandakan pahala, menurunkan rahmat dan ampunan-Nya yang berlimpah-ruah bagi para hamba-Nya yang berpuasa dengan penuh keimanan serta hanya berharap pada redha-Nya. Rasulullah SAW. bersabda,

 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Siapa saja yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharap pahala-Nya, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR Muttafaq ‘alayh).

 

Dipenuhi Keutamaan

 

Allah SWT. meletakkan banyak keutamaan pada bulan Ramadhan melebihi bulan-bulan yang lain. Baginda SAW juga menyebut bulan Ramadhan sebagai penghulu bulan. Sabda Rasulullah SAW,

سَيِّدُ الشُّهُورِ شَهْرُ ‌رَمَضَانَ، وَسَيِّدُ الْأَيَّامِ يَوْمُ الْجُمُعَةِ

“Penghulu bulan adalah Ramadhan dan penghulu hari adalah Jumaat.”(HR Ibnu Abi ad-Dunya’).

 

Di antara keutamaan dan kemuliaan bulan Ramadhan adalah:

 

Pertama, Ramadhan adalah bulan ‘pembakaran’ atau penghapusan dosa-dosa. Ramadhan, asalnya dari perkataan ‘ramadhan’ yang bermaksud panas. Para ulama menyebut Ramadhan sebagai bulan panas yang membakar/menghapus dosa-dosa orang yang beriman. Dalam riwayat Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda,

 

إِنَّمَا سُمِّيَ رَمَضَانُ لِأَنَّهُ يَرْمِضُ الذُّنُوبَ

“Sungguh dinamakan Ramadhan kerana ia membakar dosa-dosa.” (Asy-Saukani, Fath al-Qadîr, 1/240).

 

Maksudnya, dengan melakukan ibadah puasa, dosa-dosa yang ada dalam diri umat Islam akan hilang. Puasa Ramadhan akan menghapus dan menghilangkan dosa-dosa mereka. (Al-Mawardi, Al-Hâwi al-Kabîr li al-Mawardi, 3/854).

 

الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ

“Solat lima waktu, Jumaat yang satu ke Jumaat berikutnya dan Ramadhan yang satu ke Ramadhan berikutnya adalah penghapus dosa-dosa selama seseorang menjauhi dosa-dosa besar.” (HR Muslim).

 

Kedua, Ramadhan adalah bulan turunnya Al-Quran. Allah SWT berfirman,

 

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِى أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَٰتٍ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” [TMQ Al-Baqarah (2): 185]

 

Al-Quran adalah wahyu Allah SWT. sekaligus mukjizat terbesar untuk Rasulullah SAW. Al-Quran juga merupakan hujah dalam berdakwah dan sumber hukum bagi kaum Muslim. Allah SWT telah memilih Ramadhan sebagai bulan turunnya Al-Quran pada malam yang penuh keberkatan.

 

إِنَّا أَنزَلْنَٰهُ فِى لَيْلَةٍ مُّبَٰرَكَةٍ , إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).” [TMQ Ad-Dukhaan (44): 3]

 

Pada malam yang disebut Lailatul Qadar ini, Allah SWT. memerintahkan para malaikat yang dipimpin oleh Jibril AS untuk membawa keselamatan dan kebaikan sepanjang malam tanpa ada keburukan sehingga terbit fajar. Demikianlah penjelasan Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya.

 

تَنَزَّلُ الْمَلٰۤىِٕكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِاِذْنِ رَبِّهِمْۚ مِنْ كُلِّ اَمْرٍۛ . سَلٰمٌ ۛهِيَ حَتّٰى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

“Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!.” [TMQ Al-Qadar (97): 4—5]

 

Ketiga, Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka di tutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Perkara ini tidak terjadi pada bulan-bulan lain. Hanya ada sepanjang Ramadhan dari awal sehingga akhir. Nabi SAW bersabda,

 

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

“Saat Ramadan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

 

Imam Ibnu Hajar menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan syaitan-syaitan dibelenggu adalah mereka tidak bebas mengganggu kaum Muslim sebagaimana bebasnya mereka pada waktu lain di luar Ramadhan. Ini kerana kaum Muslim sibuk dengan puasa yang menahan syahwat mereka, juga kerana kaum Muslim sibuk dengan membaca Al-Quran dan zikir.

 

Ulama lainnya menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan syaitan-syaitan dibelenggu adalah sebahagian dari mereka, iaitu di kalangan para pembesar syaitan. Sebahagian lagi menyebutkan bahawa mereka (syaitan) dilemahkan sehingga tidak mampu mengganggu dan memperdayakan syahwat.

 

Keempat, Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya pahala dilipatgandakan. Allah SWT berfirman dalam hadis qudsi,

 

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى

“Setiap amal kebaikan manusia akan dilipatgandakan pahalanya dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat.” Allah SWT berfirman (yang ertinya), “Kecuali puasa. Amalan puasa adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalaskan pahalanya. Hal itu kerana orang yang berpuasa telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

 

Menjaga Ketaatan

 

Bergembira dan bersemangat menyambut Ramadhan sepatutnya menjadi perasaan seorang mukmin. Kerana, setiap mukmin sejatinya sangat faham betapa besar kemuliaan dan balasan kebaikan yang Allah limpahkan pada orang-orang yang beramal soleh selama bulan Ramadhan.

 

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali berkata, “Sebahagian salaf berkata, ‘Dulu mereka (para salaf) berdoa kepada Allah selama enam bulan agar mereka dipertemukan lagi dengan Ramadhan. Kemudian mereka juga berdoa selama enam bulan agar Allah menerima (amal-amal soleh selama Ramadhan yang lalu) mereka.'” (Ibnu Rajab, Lathâ’if al-Ma’ârif, hlm. 232).

 

Kegembiraan itu adalah disebabkan selama satu bulan mereka akan dinaungi keberkatan, yang di dalamnya pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Di dalamnya, setiap doa dikabulkan, ampunan diberikan dan ganjaran amal dilipatgandakan. Orang-orang yang berpuasa selama Ramadhan juga dibahagiakan dua kali oleh Allah SWT iaitu saat berbuka puasa dan saat berjumpa dengan-Nya kelak di dalam syurga-Nya.

 

Walaupun demikian, sikap mawas diri (muraqabah) juga sepatutnya dimiliki. Ini kerana, Nabi SAW mengingatkan bahawa ternyata ada orang-orang yang justeru kerugian tatkala Ramadhan tiba dan berlalu. Sabda Nabi SAW.,

 

قَالَ لِي جِبْرِيلُ: رَغِمَ أَنْفُ عَبْدٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ، فَقُلْتُ: آمِينَ

“Jibril AS berkata kepada diriku, ‘Sungguh sangat merugi seseorang yang masuk ke dalam bulan Ramadhan, lalu tidak diampuni dosanya.’ Aku pun mengucapkan, ‘Amin (Ya Allah, kabulkanlah).’” (HR Al-Bukhari).

 

Mereka yang kerugian selama Ramadhan adalah disebabkan dua perkara:

 

Pertama, mereka mengerjakan ibadah puasa, terawih dan bermacam amal lainnya bukan kerana iman atau mengharap redha Allah SWT, mereka beribadah dengan riya’ dan sumau hanya untuk dipandang baik.

 

Saat itu, gugurlah pahala-pahala dan kesempatan untuk mendapatkan maghfirah Allah SWT. Ini kerana, syarat untuk meraih maghfirah-Nya adalah beramal semata-mata kerana iman dan mengharapkan redha-Nya. Rasulullah SAW bersabda,

 

مَن صَامَ رَمَضَانَ، إيمَانًا واحْتِسَابًا، غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ

“Siapa saja yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan semata-mata mengharap redha Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”(HR Al-Bukhari).

 

Kedua, mereka berpuasa hanya untuk menahan lapar dan dahaga, sedangkan lisan dan badan mereka terus melakukan kemaksiatan. Rasulullah SAW bersabda,

 

رُبَّ صائمٍ حَظُّهُ مِن صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ

“Boleh jadi orang yang berpuasa itu ganjaran dari puasanya hanya rasa lapar dan dahaga.”(HR Al-Bukhari).

 

Dalam hadis Nabi SAW yang lain juga dinyatakan,

 

مَن لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ والعَمَلَ بِهِ، فليسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ في أنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وشَرَابَهُ.

“Siapa saja yang tidak meninggalkan kedustaan dan tetap melakukan kemaksiatan, Allah tidak memerlukan amalan (puasa)-nya yang di dalamnya dia meninggalkan makanan dan minumannya.” (HR Al-Bukhari).

 

Termasuk kemaksiatan di sini adalah sengaja mencampakkan hukum-hukum Allah SWT., memfitnah dan menyebarkan permusuhan kepada sesama muslim serta berkolaborasi dengan orang-orang zalim, sedangkan Allah SWT. telah mengingatkan agar jangan cenderung kepada orang-orang zalim [Lihat: QS Hud (11): 113]

 

Kerana itu, sambutlah Ramadhan dengan persiapan iman dan takwa. Jadikan Ramadhan tahun ini sebagai kesempatan untuk melakukan perubahan diri menjadi insan yang lebih baik di hadapan Allah SWT. Pemenuhan dalam ketaatan bukan hanya sesaat selama Ramadhan, kemudian melupakan Allah SWT serta perintah dan larangan-Nya apabila Ramadhan berlalu.

 

Sungguh, kita mengharapkan rahmat dan ampunan Allah SWT setiap saat agar diri ini layak melalui pintu Rayyan di Syurga-Nya yang telah disiapkan buat orang-orang yang berpuasa dengan penuh ketaatan.

 

Wallahualam bissawab. []

 

Hikmah

 

مَن يَعْزِمُ عَلىَ تَرْكِ اْلمَعَاصِي فِي شَهْرِ رِمَضَانَ دُونَ غَيْرِهِ؛ فَلَيْسَ هَذَا بِتَائِبٍ مُطْلَقًا!

 

“Siapa saja yang bertekad meninggalkan maksiat pada Ramadhan saja, tanpa memiliki tekad yang sama pada bulan-bulan lainnya, ia bukanlah orang yang benar-benar bertaubat.” (Ibnu Taimiyah, Majmû’ al-Fatâwâ, 10/743)

 

Sumber: Buletin Kaffah

Exit mobile version