Site icon MuslimahHTM News

Meraih Cinta Allah SWT dengan Memperbanyakkan Sujud

[Nafsiyah] Meraih Cinta Allah SWT dengan Memperbanyakkan Sujud

 

Setiap sujud dalam solat memiliki keutamaan. Adakah kita mengetahui keutamaannya? Terdapat empat keutamaan sujud.

 

Pertama, sujud boleh menjadikan iblis menangis. Rasulullah SAW bersabda, “Jika anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud, maka syaitan akan menjauhinya sambil menangis. Syaitan pun akan berkata-kata, Celaka aku. Anak Adam disuruh sujud, dia pun bersujud, maka baginya syurga. Sedangkan aku sendiri diperintahkan untuk sujud, tetapi aku enggan sehingga aku layak mendapatkan neraka.’” [HR Muslim]

 

Sujud yang sempurna ialah ketika hati seorang muslim juga bersujud pada Allah SWT. Ada orang bersujud, tetapi tidak dipandang sujudnya oleh Allah. Siapakah orang itu? Iaitu orang munafik yang sering mengkritik Islam dan syariatNya. Kita semestinya merendah diri di hadapan Allah SWT, bukan hanya organ tubuh yang bersujud, melainkan hati juga turut tunduk kepada Allah SWT.

 

Seperti Abdullah bin Ubay, contoh salah seorang munafik yang juga bersujud pada Allah SWT. Namun, sujudnya tidak diterima oleh Allah SWT kerana dia hanya merendahkan organ tubuhnya, sedangkan hatinya tidak tunduk kepada perintah Allah SWT.

 

Kedua, ia merupakan keadaan di mana kita paling dekat dengan Allah SWT. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Keadaan seorang hamba yang paling dekat dengan Rabbnya adalah ketika dia sedang bersujud, maka perbanyakkanlah berdoa saat itu.” [HR Muslim].

 

Semakin kita merendah diri di hadapan Allah SWT, Allah SWT tidak akan menolak permintaan kita ketika meminta apa pun dalam sujud. Seluruh doa hampir dikabulkan oleh Allah SWT ketika seorang hamba berdoa dalam sujudnya. Bukan hanya di sujud terakhir, tetapi di semua sujud dalam solat. Baik solat sunat mahupun solat wajib.

 

Ketiga, sujud merupakan amal yang boleh memasukkan seseorang ke syurga. Sabda Rasulullah SAW, “Hendaklah engkau memperbanyakkan sujud (perbanyakkan solat) kepada Allah, kerana tidaklah engkau memperbanyakkan sujud kerana Allah, melainkan Allah akan meninggikan darjatmu dan menghapuskan dosamu.” [HR Muslim]

 

Ketika seorang muslim banyak bersujud, akan menggugurkan banyak dosanya. Oleh kerana itu, perbanyakkanlah solat sunat selain solat wajib, kerana ketika itu setiap muslim akan banyak bersujud. Hendaklah kita memperlamakan sujud ketika mengerjakan solat-solat secara bersendirian untuk berdoa pada Allah SWT agar mudah masuk syurga.

 

Keempat, sujud merupakan antara sebab kita boleh bersama Rasulullah SAW di syurga.

 

“Aku (Rabiah bin Ka’ab al-Aslami RA) pernah bermalam bersama Rasulullah SAW, lalu aku menyiapkan air wudhu dan keperluan bagind. Lalu baginda SAW bersabda kepadaku, ‘Mintalah sesuatu!’ Maka aku pun menjawab, ‘Aku meminta kepadamu agar memberi petunjuk kepadaku tentang sebab-sebab agar aku boleh menemanimu di syurga.’ Baginda menjawab, ‘Ada lagi selain itu?’ ‘Itu saja sudah cukup ya Rasulullah,’ jawabku. Maka Rasulullah bersabda, ‘Jika demikian, bantulah aku atas dirimu (untuk mewujudkan permintaan) dengan memperbanyakkan sujud (dalam solat).’” [HR Muslim]

 

Jika setiap muslim sering bersujud, dia pun boleh mendapat syafaat dari sujudnya. Allah SWT paling mencintai seorang hamba ketika dia sedang bersujud. Tiada hal yang lebih baik daripada mendapatkan kecintaan Allah SWT atas diri kita yang penuh dengan dosa ini.

 

Betapa kita sangat memerlukan ilmu dalam melaksanakan perintah-perintahNya, khususnya memperbanyakkan sujud melalui solat-solat sunat dan wajib. Hendaklah kita segera meraih cinta Allah SWT kerananya. Wallahu’alam.

 

Sumber: https://muslimahnews.net/2023/01/02/16238/

 

Exit mobile version