Site icon MuslimahHTM News

[TARBIAH RAMADHAN] WUJUDKAN KETAKWAAN YANG SEMPURNA!

[TARBIAH RAMADHAN]

WUJUDKAN KETAKWAAN YANG SEMPURNA!

 

Takwa yang sempurna memiliki ciri-ciri tertentu. Di antaranya, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ali ra., takwa dicirikan oleh empat perkara:

(1) Al-Khawf min al-Jalîl – Memiliki rasa takut kepada Zat Yang Maha Agung (Allah SWT);
(2) Al-‘Amal bi at-Tanzîl – Mengamalkan apa yang telah Allah turunkan (al-Quran);
(3) Al-Qanâ’ah bi al-Qalîl – Merasa cukup dengan (harta) yang sedikit;
(4) Al-Isti’dâd li Yawm ar-Rahîl – Mempersiapkan bekal (amal) untuk menghadapi Hari Penggiringan (Hari Kiamat)

(Sumber: Muhammad Shaqr, Dalîl al-Wâ’izh ilâ Adillath al-Mawâ’izh, 1/546).

 

Takwa semacam inilah yang benar-benar wujud di dalam diri generasi salafush-shalih, khususnya para sahabat, tâbi’în dan tâbi’ at-tâb’în.

 

Salah seorangnya adalah Ibnu Umar ra. Beliau termasuk pengusaha kaya. Harta halalnya cukup berlimpah disebabkan kejayaan perniagaannya. Namun, semua itu tidak disimpan sendiri, tetapi dibahagikan kepada fakir miskin. Setiap bulan Ramadhan, beliau memiliki kebiasaan berbuka puasa bersama anak yatim dan orang miskin. Terkait sifat qanâ’ah-nya terhadap harta, telah diceritakan oleh Ayub bin Wail ar-Rasibi. Disebutkan, suatu hari Ibnu Umar ra. pernah mendapat kiriman harta senilai 4000 dirham. Namun keesokan harinya, Ayub bin Wail melihat Ibnu Umar ra. di pasar membeli makanan kudanya dengan cara berhutang. Ayub pun merasa hairan, lalu datang menemui keluarga Ibnu Umar, ingin tahu, apa gerangan yang terjadi. Keluarganya menjelaskan bahawa wang sebanyak itu tak sampai menginap semalaman pun, sebaliknya terus beliaugihkan semuanya pada saat itu juga kepada fakir miskin.

 

Seterusnya, Aswad bin Yazid. Beliau dikenali banyak menunaikan ibadah haji. Beliau berkunjung ke Baitullah lebih dari 80 kali baik untuk melaksanakan haji mahupun umrah. Malah, beliau juga banyak berpuasa dan solat, serta selalu dekat dengan al-Quran. Bahkan beliau biasa mengkhatamkan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan setiap dua malam sekali. Di luar Ramadhan pula beliau biasa mengkhatamkan al-Quran setiap minggu. (Adz-Dzahabi, Syiar A’lam an-Nubala’, IV/50-51).

 

Ketakwaan juga tersurat pada diri Qatadah as-Sadusi. Beliau merupakan tokoh dari kalangan tâbi’în, murid Anas bin Malik. Walaupun merupakan seorang yang buta, beliau selalu mengkhatamkan al-Quran seminggu sekali. Sepanjang bulan Ramadhan beliau mengkhatamkan al-Quran tiga hari sekali. Ketika sepuluh hari terakhir Ramadhan, beliau mengkhatamkan al-Quran sehari sekali.

 

Demikian juga tokoh popular, Imam Syafii. Beliau adalah ulama pemimpin para mujtahid dan ahli fikih. Dalam masa yang sama beliau juga merupakan pemimpin kaumnya dalam hal iman, takwa, warak, zuhud dan ibadah. Salah seorang murid Imam Syafii, Ar-Rabi’, pernah mengatakan, “Imam Syafii membahagi waktu malamnya menjadi tiga: sepertiga untuk menulis; sepertiga untuk menunaikan solat malam; sepertiga lagi untuk istirehat/tidur.” Beliau juga membaca al-Quran setiap hari. Khusus sepanjang bulan Ramadhan, dan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali.

 

Sudah semestinya banyak lagi teladan salafush-shalih dalam hal ketakwaan mereka. Yang pasti, ketakwaan sempurna mestilah diwujudkan segera, tak boleh ditunda-tunda. Inilah juga yang dicontohkan oleh orang-orang soleh terdahulu yang wajar kita contohi hari ini.

 

Ayuh jadikan Ramadhan ini sebagai momen untuk mewujudkan ketakwaan yang sempurna dalam diri kita!

 

#TarbiahRamadhan
#TarbiahMuslimah
#Ramadhan1444h
#RamadhanKareem

Exit mobile version