[Tafsir al-Quran] Dakwah, Dulu dan Kini akan Sentiasa Dimusuhi [Tafsir TMQ al-An’am (6): 112]
Penulis: Kartinah Taheer
Allah SWT berfirman,
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, sesestengahnya membisikkan kepada sesetengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” [TMQ al-An’am (6): 112]
Al-Hafiz Imaduddin Abul Fida’ Ismail bin Umar bin Katsir menjelaskan dalam Tafsir Al-Quran Al-Azhim bahawa Allah SWT berfirman, “Sebagaimana Kami jadikan untukmu wahai Muhammad, musuh-musuh yang menentang, memusuhi, dan menyaingimu, Kami jadikan pula bagi setiap Nabi yang ada sebelummu musuh-musuh tersebut. Oleh kerana itu, janganlah engkau bersedih hati akan hal ini.” Ayat ini menafsirkan apa yang disebut dalam ayat-ayat lain melalui firman-Nya,
فَإِنْ كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ
“Oleh itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga.“ [TMQ ali-Imran (3): 184]
وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ فَصَبَرُوا عَلَى مَا كُذِّبُوا وَأُوذُوا
“Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka” [TMQ al-An’am (6): 34] hingga ayat terakhir.
مَا يُقَالُ لَكَ إِلا مَا قَدْ قِيلَ لِلرُّسُلِ مِنْ قَبْلِكَ إِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغْفِرَةٍ وَذُو عِقَابٍ أَلِيمٍ
“Apa yang dikatakan kepadamu (wahai Muhammad, dari celaan-celaan golongan yang ingkar, tidak lain) hanyalah seperti yang pernah dikatakan kepada Rasul-rasul yang terdahuhu daripadamu. (Oleh itu bersabarlah dengan cekal hati menghadapinya), sesungguhnya Tuhanmu berkuasa penuh melimpahkan keampunanNya (kepada orang-orang yang taat), dan berkuasa penuh menimpakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (kepada orang-orang yang ingkar).” [TMQ Fussilat (41): 43]
وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).” [TMQ al-Furqan (25): 31] hingga ayat terakhir.
Waraqah bin Naufal pernah berkata kepada Rasulullah SAW, “Sesungguhnya tidak ada seorang pun yang datang dengan membawa apa yang kamu bawa, melainkan akan dimusuhi.”
Adapun firman Allah SWT,
شَيَاطِينَ الإنْسِ وَالْجِنِّ
“Syaitan-syaitan manusia dan jin,” [TMQ al-An’am (6): 112]
Ayat ini berkedudukan sebagai badal dari firman-Nya yang mengatakan, “Aduwwan (musuh).” Dengan kata lain, para nabi itu mempunyai musuh dari syaitan-syaitan yang berasal dari kalangan manusia dan jin. Definisi syaitan ialah setiap orang yang berbeza dengan sejenisnya kerana kejahatannya. Juga tiada yang memusuhi para rasul melainkan hanya syaitan-syaitan dari kalangan manusia dan jin. Semoga Allah SWT melaknat dan memburukkan mereka.
Adapun firman Allah SWT,
يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا
“sesetengahnya membisikkan kepada sesetengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya.” [TMQ al-An’am (6): 112]
Maksudnya, sebahagian dari mereka membisikkan kata-kata yang indah lagi penuh dengan kepalsuan untuk menipu pendengarnya dari kalangan orang-orang yang tidak mengetahui perkara yang sebenarnya.
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ
“Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya.” [TMQ al-An’am (6): 112]
Yang demikian itu terjadi kerana takdir Allah SWT, keputusan, kehendak, serta kemahuan-Nya, bahawa setiap Nabi mempunyai musuh dari kalangan mereka yang disebutkan di atas.
فَذَرْهُمْ
“Maka tinggalkanlah mereka!” [TMQ al-An’am (6): 112]
Maksudnya, biarkanlah mereka.
وَمَا يَفْتَرُونَ
“Dan apa yang mereka ada-adakan.” [TMQ al-An’am (6): 112]
Iaitu apa yang mereka dustakan. Dengan kata lain, biarkanlah gangguan mereka dan bertawakallah kepada Allah SWT dalam menghadapi permusuhan mereka. Ini kerana sesungguhnya Allah SWT akan mencukupimu dan menolongmu dalam menghadapi mereka.
Imam Abu Jafar Muhammad bin Jarir At-Thabari dalam Jami Al-Bayan fi Tawil Al-Quran atau lebih dikenali dengan Tafsir At-Thabari, menerangkan bahawa ujian yang disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat ini tidak hanya menimpa Rasulullah SAW sahaja, tetapi juga berlaku bagi mereka yang mengikuti baginda dalam berdakwah.
Sudah menjadi sunnatullah, aktiviti dakwah akan menghadapi penolakan dan tentangan. Baik dalam bentuk fitnah dan propaganda negatif, mahupun penderaan fizikal. Sebagaimana dakwah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para nabi terdahulu.
Rasulullah SAW ketika mendakwahkan Islam, disebut sebagai “pemecah belah” kaumnya, “penyihir”, “pembohong” [TMQ Saad (38): 4], serta “majnun” [TMQ at-Tuur (52): 29]. Bahkan “pemimpin” yang menyampaikan dongeng orang-orang dahulu, “asathir awwalin”. Allah SWT berfirman,
اِذَا تُتْلٰى عَلَيْهِ اٰيٰتُنَا قَالَ اَسَاطِيْرُ الْاَوَّلِيْنَۗ
“(Sehingga) apabila dia dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata:” Ini ialah dongeng orang-orang dahulu kala!”” [TMQ al-Mutaffifiin (83): 13]
Rasulullah SAW juga menghadapi ta’dib penganiayaan dari orang-orang Quraisy seperti dilempari kotoran dan dipukul hingga pengsan. Begitu pula dengan para sahabat yang mengikuti baginda. Bilal bin Rabbah dijemur dan ditindih dengan batu besar. Keluarga Ammar bin Yasir disiksa dan Sumayyah isteri Yasir diperlakukan dengan keji sehingga syahid. Orang-orang Quraisy juga melakukan pemboikotan kepada Nabi dan para sahabat dari Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutallib.
Mereka diboikot selama tiga tahun. Tanpa sebarang bantuan, pakaian, dan dipulaukan. Mereka tidak dibenarkan berinteraksi dengan kabilah lain.
Sehinggalah pertolongan Allah SWT datang melalui para pemuda yang dipimpin oleh Mut’im bin Adi. Rasulullah SAW juga akan dibunuh, tetapi Ali bin Abi Talib menggantikan baginda tidur di atas katilnya sehingga rancangan pembunuhan itu gagal.
Begitulah dakwah Nabi Muhammad SAW yang tidak lepas dari para musuh yang memusuhi seperti yang dinyatakan dalam TMQ al-An’am ayat 112. Akan tetapi, pelbagai ujian dakwah yang datang silih berganti tidak menyurutkan langkah Nabi dan para sahabat untuk menyeru manusia kepada Islam.
Mereka tetap bersabar dan istiqamah menghadapinya. Bahkan keimanan mereka semakin kukuh dan bertambah. Keyakinan mereka terhadap pertolongan Allah SWT sangat utuh hingga akhirnya kemenangan pun tiba.
Hari ini, ketika kaum muslimin mengikuti dakwah baginda iaitu menyeru untuk kembali menerapkan Islam kaffah juga tidak akan terlepas dari pelbagai penolakan dan penentangan. Pandangan negatif telah pun disematkan terhadap dakwah Islam kaffah. Misalnya seperti radikalisme, terorisme, intoleransi, ekstrimis, dan sebagainya. Khilafah ajaran Islam yang mulia dianggap ancaman dan dituduh memecah belahkan. Bahkan para pengembannya dianiaya. Para da’ie dipenjara dengan tuduhan yang diada-adakan. Semua itu dilaksanakan untuk menghalang dakwah.
Menghadapi cabaran dan ujian dakwah mestilah mencontohi Rasulullah SAW. Nabi dan para sahabat menghadapi ujian yang jauh lebih besar daripada umat Islam hari ini. Namun, semua ini tidak menghalang langkah dakwah mereka, malah menguatkan keimanan para sahabat.
Umat Islam sepatutnya begitu juga, pelbagai ujian dan cabaran dakwah pada zaman sekarang ini mestilah menjadikan umat Islam sentiasa berpegang teguh kepada perintah Rasulullah SAW dan tidak goyah sedikit pun dengan godaan duniawi, baik dari segi material mahupun kedudukan. Ini kerana sekuat mana sekalipun mereka menyekat, cahaya Islam akan lebih terang. Hal ini seperti dalam firman-Nya,
يُرِيدُونَ أَن يُطْفِـُٔوا۟ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفْوَٰهِهِمْ وَيَأْبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُۥ وَلَوْ كَرِهَ ٱلْكَٰفِرُونَ
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” [TMQ at-Taubah (9): 32].
Wallahu’alam bissawab.

