[Tarikh Khulafa] Al-Mansur, Khalifah Kedua Bani Abbasiyah yang Membangunkan Kota Baghdad
Penulis: Nabila Ummu Anas
Nama penuh beliau adalah Abdullah bin Muhammad bin Ali bin Al-Abbas Abu Ja’far al-Mansur. Beliau merupakan khalifah kedua Bani Abbasiyah dan penguasa Arab pertama yang sangat memberi perhatian terhadap ilmu pengetahuan, mendalami fiqh, sastera, dan terkedepan dalam bidang falsafah serta mencintai para ulama.
Al-Mansur dibaiat sebagai khalifah setelah saudaranya Abul Abbas as-Saffah wafat pada tahun 136 H. Al-Mansur adalah khalifah yang membangunkan kota Baghdad dan memerintahkan perancangan kotanya pada tahun 145 H. Kemudian Al-Mansur menjadikan Baghdad sebagai pusat pemerintahan Khilafah sebagai penggantian dari Hasyimiyah yang dibangunkan oleh As-Saffah.
Ibu kota Kekhalifahan yang Mengagumkan
Semasa Abu Ja’far Al-Mansur memegang jawatan sebagai khalifah, ibu kota kekhalifahan dipindahkan dari Anbar ke Hasyimiyah, kota yang dibangunkan oleh Abul Abbas As-Saffah dan menetap di sana. Kemudian beliau memiliki keinginan membangunkan kota Baghdad untuk menjadi ibu kota kekhalifahan Bani Abbasiyah yang utama dan menjadi simbol kebanggaan dan kebesaran mereka.
Mengenai kawasan yang akan dibangunkan menjadi kota Baghdad ini, Al-Mansur berkata, “Ini merupakan pangkalan ketenteraan yang baik. Ini adalah sungai Tigris yang tiada sesuatu pun antara kita dan Cina. Semua pengangkutan laut boleh sampai kepada kita. Pelbagai keperluan boleh sampai kepada kita dari Al-Jazirah dan sekitarnya. Adapun sungai Eufrat ini, segala sesuatu dari Syam dan Riqqah dan sekitarnya sampai ke sana.”
Al-Manshur memerintahkan reka bentuk kota yang berbentuk melingkar dengan dua benteng. Salah satunya berada di dalam yang merupakan benteng kota dengan ketinggian 35 hasta.
Di atasnya terdapat beberapa menara tinggi, setiap menara berada di atas benteng setinggi 5 hasta. Di atas benteng terdapat balkoni. Benteng tersebut adalah kira-kira 20 hasta lebar dari bawah.
Di sampingnya, dari luar terdapat ruang pemisah antara dua benteng dengan lebar 60 hasta. Kemudian tembok pertama, iaitu tembok pemisah yang di bawahnya terdapat parit.
Kota Baghdad memiliki empat pintu gerbang. Dua pintu berhadapan dengan dua pintu lain. Setiap pintu memiliki satu pintu selain pintu utama. Di antara keduanya terdapat lorong dan sebuah lapangan terbuka yang masuk ke pemisah yang melingkar antara dua benteng, yang pertama, pintu pemisah dan yang kedua pintu kota.
Jika seseorang masuk dari pintu Khurasan, mereka akan membelok ke kiri menuju sebuah lorong yang diperbuat daripada batu bata dan kapur dengan lebar 20 hasta dan panjang 30 hasta. Pintu masuk adalah 20 hasta dan pintu keluar adalah 30 hasta yang menuju terus ke padang terbuka ke pintu kedua yang panjangnya 60 hasta dan lebar 40 hasta.
Pintu kedua ini mempunyai dua dinding di kedua-dua sisi yang bersambung dari pintu pagar ke pintu gerbang kedua. Di hujung padang terbuka ini terdapat pintu kedua iaitu pintu gerbang kota. Di sebelah kanannya di kedua-dua belah kawasan lapang ini terdapat dua pintu.
Keempat-empat pintu gerbang tersebut mempunyai bentuk yang sama, baik dari segi pintu, dua pembahagi, lapangan yang luas, dan ketahanannya.
Setelah itu, pintu gerbang kedua, iaitu pintu kota yang di sana terdapat tembok besar. Ketika seseorang masuk dari pintu besar menuju ke lorong panjang, terdapat atap melengkung yang diperbuat dari batu bata dan kapur, yang panjangnya 20 hasta dan lebar 12 hasta.
Di setiap lorong yang memanjang dari pintu-pintu itu terdapat tempat duduk yang memiliki tangga menuju benteng yang dia dapat naik darinya. Di tempat duduk ini terdapat kubah besar dengan tinggi 50 hasta dan dipenuhi dengan pelbagai perhiasan.
Di setiap pintu kota pertama dan kedua terdapat sebuah pintu dari besi yang besar dan mengagumkan. Setiap pintu memiliki keunikan tersendiri.
Al-Mansur membina istana dan masjid agung di tengah-tengah kota. Di hadapan istana itu terdapat sebuah dewan yang panjangnya 30 hasta dan lebarnya 20 hasta. Di hadapan dewan terdapat sebuah bilik mesyuarat berbentuk empat segi. Bumbungnya berbentuk sebuah kubah dan di atasnya terdapat tempat duduk dengan kubah hijau di atasnya lagi. Di kepala kubah terdapat seorang askar yang menjaganya dengan sebuah tombak.
Ketika selesai membangunkan kota Baghdad, Al-Mansur memenuhinya dengan para ulama dari segala penjuru negeri dan daerah. Ramai orang pun datang ke kota tersebut secara berduyun-duyun. Kota Baghdad menjadi pusat perhatian dan dikagumi keindahan arkiteknya hingga menjelma sebagai Ummul Dunya (Pusat Dunia), tempat lahirnya peradaban Islam sehingga membuat penduduknya hidup makmur dan sejahtera.
Sumber:
Syaikh Muhammad Al Khudari, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Abbasiyah, Puncak Keemasan dan Kejayaan Kekhilafahan Islam, Pustaka Al-Kautsar