[Hadis Ramadhan 2] ☘️☘️ Pintu Syurga Dibuka, Pintu Neraka Ditutup dan Syaitan Dibelenggu ☘️☘️
Dalam sebuah hadis disebutkan:
حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ، قَالَ: حَدَّثَنِي اللَّيْثُ، عَنْ عُقَيْلٍ، عَنْ ابْنِ شِهَابٍ، قَالَ: أَخْبَرَنِي ابْنُ أَبِي أَنَسٍ مَوْلَى التَّيْمِيِّينَ أَنَّ أَبَاهُ حَدَّثَهُ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
إِذَا دَخَلَ شَهْرُ رَمَضَانَ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukair, dia berkata: Telah menceritakan kepada saya Al Laits, dari ‘Uqail, dari Ibnu Syihab, dia berkata: Telah mengkhabarkan kepada saya Ibnu Abu Anas, maulanya at-Taymiyyiin bahawa bapanya menceritakan kepadanya bahawa dia mendengar Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Apabila bulan Ramadhan datang, maka pintu-pintu langit dibuka sedangkan pintu-pintu jahannam ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu”. (HR. Bukhari no. 1766).
Salah satu keistimewaan bulan Ramadhan adalah dibukanya pintu-pintu langit (syurga), ditutupnya pintu jahannam dan dibelenggunya syaitan. Apakah makna hadis di atas adalah makna majaz (kiasan) atau hakikat? Para ulama mengatakan bahawa hadis di atas mempunyai dua kemungkinan makna, majaz dan hakikat.
Jika dimaknai majaz: pintu syurga dibuka sebagai gambaran bahawa pahala dari Allah di bulan Ramadhan sangat melimpah sehingga menjadi motivasi bagi para hamba-Nya untuk meraih pahala sebanyak-banyaknya. Pintu jahannam (neraka) ditutup sebagai gambaran bahawa ampunan dan maaf dari Allah di bulan Ramadhan sangat melimpah sehingga mendorong para hamba-Nya untuk banyak bertaubat dan meminta ampun. Sedangkan para syaitan dibelenggu sebagai gambaran bahawa Allah menyukarkan syaitan untuk menggoda para hamba-Nya di bulan Ramadhan. Syaitan menjadi lemah kerana di bulan Ramadhan sebahagian besar kaum muslimin sedang bersemangat beribadah dengan banyak membaca Al-Quran, berpuasa sebulan penuh, tarawih sebulan penuh, bersedekah, zakat fitrah dan ibadah lainnya.
Jika dimaknai secara hakikat: Pintu syurga benar-benar dibuka, pintu neraka benar-benar ditutup dan para syaitan benar-benar dibelenggu. Semua itu terjadi dalam rangka memuliakan bulan Ramadhan.
Timbul pertanyaan, jika syaitan benar-benar dibelenggu, mengapa masih banyak orang yang masih tidak berpuasa, tidak menunaikan solat dan bermaksiat di bulan Ramadhan? Jawapannya adalah kerana mereka yang bermaksiat di bulan Ramadhan adalah kerana pengaruh syaitan masih kental di dalam diri mereka walaupun syaitan sedang dibelenggu. Dalam riwayat lain disebutkan bahawa yang dibelenggu hanyalah pemimpinnya para syaitan. Wallahu A’lam.
Sumber: Pusat Pendidikan Hadis Ma’had Khadimus Sunnah Bandung

