[FIKH RAMADHAN] HAIDH DAN NIFAS – PUASA PEREMPUAN
Dalam kitab Fikih Sunnah, Sayyid Sabiq menjelaskan, bahawa para fuqaha sepakat adalah wajib berbuka bagi perempuan yang haid dan nifas dan haram bagi mereka berpuasa. Jika berpuasa, puasanya tidak sah dan batal, sampai dia yakin telah suci dari haid dan nifasnya.
Seorang perempuan yang ketika sebelum Maghrib didatangi haid, puasanya adalah terbatal. Sebaliknya, seorang perempuan yang mendapati ketika sebelum subuh dia telah bersih dari haid maka dia wajib berniat dan berpuasa pada hari itu, sekalipun mandi hadas hanya boleh dia lakukan selepas masuk waktu subuh.
Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, dalam kitabnya, Tuntunan Puasa Berdasarkan Qur’an dan Hadits (2010), menegaskan tidak wajib berpuasa bagi perempuan yang sedang haid atau nifas tidak bererti Allah mengangkat kewajipan puasa dari mereka, melainkan hanya memberikan ruang waktu pelaksanaannya ketika mereka telah suci dari haid dan nifas. Inilah yang dikatakan sebagai puasa qadha.
Aisyah Ummul Mukminin r.a ketika menjawab pertanyaan wajibnya qadha puasa, namun tidak qadha solat, mengatakan:
كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَا ء الصَّوْمِ وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاة
”Kami pernah mengalami perkara itu. Lalu kami diperintahkan untuk mengqadha puasa dan tidak diperintahkan untuk mengqadha solat”. (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nasa’i dan at-Tirmidzi).
Sumber: Arini Retnaningsih, “Shaum Ramadhan Perempuan”.
#ramadan2023 #RamadanMubarak #Ramadhan1444h #fikhmuslimah #fikhramadhan

