[Nafsiyah]Jangan Pernah Berputus Asa Menuntut Ilmu, Walaupun Susah, Kerana Ada “Futuh” Yang Allah Akan Berikan
Banyak kisah pelajar atau penuntut ilmu yang mengalami kesukaran dalam menuntut ilmu. Sukar untuk menghafal, tidak memahami pelajaran, dan sebagainya. Walaupun mereka sentiasa menghafal, dan tidak pernah ponteng menghadiri kelas, mereka masih belum mendapatkan ilmu.
Kisah mengenai murid Imam Abu Hanifah yang kemudiannya menjadi ulama yang hebat, menggantikan gurunya, Abu Yusuf, pengarang kitab Al-Kharaj, yang ditulis atas permintaan Khalifah Harun ar-Rasyid, ternyata sebelum itu merupakan seorang murid yang susah untuk memahami dan menghafal pelajaran. Namun, ketekunannya membuatkan dia diberi “Futuh” oleh Allah SWT sehingga segalanya menjadi mudah, dan akhirnya dia berubah menjadi seorang ulama hebat.
Kisah Rabi’ bin Sulaiman, murid Imam Syafie, yang telah 40 kali khatam kitab Ar-Risalah karya gurunya, tetapi masih tidak faham, sehingga akhirnya dia banyak bermunajat kepada Allah SWT, dan akhirnya mendapat “Futuh” sehingga menjadi ulama yang amat hebat.
Ibn al-Imad, dalam kitabnya, Syadzarat ad-Dzahab fi Akhbari Man Dzahab, menceritakan kisah Al-Allamah al-Imam Sa’du ad-Din at-Taftazani, yang banyak mengarang kitab dalam bidang Balaghah, khususnya Ma’ani dan Bayan, dan banyak lagi kitab-kitab lain, antaranya aqidah, fiqh, tafsir dan sebagainya, ternyata pada awalnya merupakan penuntut atau pelajar yang mengalami kesukaran menghafal dan belajar.
Namun, dia tidak pernah berputus asa. Oleh kerana kesungguhannya, beliau didatangi oleh “utusan” Nabi dan diajak berjumpa dengan Nabi, sehingga akhirnya beliau didoakan oleh Rasulullah SAW, dan setelah kembali ke daerahnya, beliau tiba-tiba menjadi seorang yang mampu menghafal dan memahami pelajaran dengan sempurna sehingga dia berubah menjadi seorang ulama yang terkenal dengan pelbagai karyanya dalam bidang Balaghah.
Beliau menulis Syarah Miftah al-Ulum yang dikarang oleh Al-Sakkaki, kemudian membuat ringkasan mengenainya dengan tajuk Al-Mukhtashar Syarah Talkhish al-Miftah. Kedua-dua kitab ini merupakan kitab terbaik dalam bidang Balaghah khususnya Ma’ani dan Bayan.
Siapa sangka, buku ini ditulis oleh seseorang yang sebelum ini menghadapi kesukaran menghafal dan memahami apa yang disampaikan oleh gurunya, malah turut menghadapi kesukaran dalam berbicara.
Sumber: https://muslimahnews.net/2023/01/03/16270/

