Site icon MuslimahHTM News

Diterimakah Ibadah Ramadhan Kita?

Diterimakah Ibadah Ramadhan Kita?

 

Oleh: Ustaz Hafidz Abdurrahman

 

Soalan:

 

Bagaimana cara kita mengetahui bahawa ibadah dan ketaatan kita sepanjang Ramadhan diterima oleh Allah? Bagaimana kita mempertahankan semua itu selepas Ramadhan?

 

Jawapan:

 

Al-Hafidz Abu al-Faraj ibn al-Jauzi, mengutip pernyataan sebahagian ahli hikmah, menjelaskan masalah ini dengan kalimatnya,

 

وَالْمَعْصِيَّةُ بَعْدَ الْمَعْصِيَّةِ عِقَابُ الْمَعْصِيَّةِ، وَالْحَسَنَةُ بَعْدَ الْحَسَنَةِ ثَوَابُ الْحَسَنَةِ

“Kemaksiatan yang dilakukan setelah maksiat adalah azab bagi kemaksiatan itu, sedangkan kebaikan [ketaatan] yang dilakukan setelah kebaikan [ketaatan] sebelumnya adalah pahala bagi kebaikan itu.”

 

Penjelasan ini menjadi kaedah untuk menilai apakah amal kita sebelumnya diterima oleh Allah atau tidak. Jika amal kita diterima oleh Allah, maka amal yang kita lakukan itu akan terus kita pertahankan, kemudian diikuti amal-amal soleh yang lain. Tidak berhenti pada saat itu.

 

Sebab itu, haji dan umrah mabrur [diterima], boleh dilihat dari apakah setelah haji dan umrah dia menjadi lebih baik, sama saja, atau sebaliknya. Jika tidak menjadi lebih baik, atau sama saja, ini bererti ibadah haji dan umrahnya tidak diterima. Sebaliknya, jika setelah haji dan umrah itu lebih baik, maka itu menjadi indikasi bahawa haji dan umrahnya diterima oleh Allah.

 

Nah, dalam konteks ibadah dan amal soleh sepanjang Ramadhan ini juga sama. Jika setelah Ramadhan ibadah dan amal soleh kita tidak meningkat, bahkan malah menurun, maka ini menjadi indikasi bahawa ibadah dan amal soleh kita selama Ramadhan itu tidak diterima oleh Allah. Sebaliknya, jika ibadah dan amal soleh kita setelah Ramadhan ini meningkat, ini menjadi indikasi bahawa ibadah dan amal soleh kita selama Ramadhan ini diterima oleh Allah.

 

Hanya saja, untuk meneguhkan diri dalam ketaatan setelah musim ibadah memerlukan kesungguhan. Semuanya bergantung pada himmah [idealisme] kita. Ramadhan memang ibarat musim, atau pasar. Siapa pun yang berdagang di sana boleh mendapatkan keuntungan, dan boleh jadi juga sebaliknya, mendapatkan kerugian. Walaupun demikian, Allah Swt menyatakan bahawa ketaatan kita tidak boleh bermusim,

 

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦

“Aku tidak akan menciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada-Ku.” (TMQ Adz-Dzariyat [51]: 56).

 

Kerana visi, misi, dan tujuan penciptaan kita adalah untuk beribadah kepada-Nya, jelas ibadah ini mestilah dilakukan terus-menerus, sepanjang hayat. Ibadah tidak hanya bermusim, atau sesaat, tetapi setiap saat. Allah SWT berfirman,

 

وَٱعۡبُدۡ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأۡتِيَكَ ٱلۡيَقِينُ ٩٩

“Beribadahlah kepada Tuhanmu hingga kematian menjemputmu.” (TMQ Al-Hijr [15]: 99).

 

Syeikh As-Sa’adi rahimahullah, dalam kitab tafsirnya menjelaskan, “Maksudnya, teruslah mendekatkan diri kepada Allah sepanjang waktu dengan berbagai jenis ibadah. Rasulullah SAW menunaikan titah Rabb-nya. Beliau tetap `memayahkan’ diri dalam beribadah sehingga didatangi ajal dari Rabb-Nya; sallallahualaihi wassalam, dengan salam sebanyak-banyaknya.” [1]

 

Khithâb ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW, namun, sebagaimana kaidah umum, khithâb untuk Nabi SAW juga menjadi khithab untuk umatnya, kecuali yang dikhususkan untuk beliau.

 

Nabi SAW telah menjadi contoh dan teladan bagi kita dalam keteguhan dan keistiqamahan dalam beribadah dan ketaatan kepada Allah SWT. Ini yang disampaikan oleh Ibunda ‘Aisyah, Ummu al-Mukminin,

 

كاَنَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا عَمِلَ عَمَلا أَثْبَتَهُ

“Rasulullah SAW itu, jika melakukan suatu amal [perbuatan], akan mempertahankannya [istiqamah]”

 

Itu pula yang dinyatakan oleh Nabi SAW dalam riwayat Abu Dawud dari Sayyidah ‘Aisyah ra.,

 

أَحَبُّ الْعَمَلِ إِلَى اللهِ أَدْوَمُهُ وَإِنْ قَلَّ

“Amal [perbuatan] yang paling disukai oleh Allah adalah yang paling berterusan meskipun sedikit.” (HR Abu Dawud).

 

Dalam riwayat lain, dari ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash ra., Nabi SAW bersabda,

يَا عَبْدَ اللهِ، لاَ تَكُنْ مِثْلَ فُلاَنٍ كَانَ يَقُوْمُ اللَّيْلَ، فَتَرَكَ قِيَامَ اللَّيْلِ

“Wahai ‘Abdullah, janganlah kamu seperti Fulan, sebelumnya melakukan qiyamullail, kemudian meninggalkan qiyamullail.” (HR Al-Bukhari).

 

Lalu, bagaimana caranya agar kita dapat istiqamah?

 

Pertama: Memohon pertolongan kepada Allah agar selalu diberikan keteguhan dan taufik-Nya.

 

Al-‘Allamah Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, menyatakan, “Agama ini paksinya ada dua pangkal: azam [tekad] dan tsabat [keteguhan]. Keduanya ini merupakan dua pangkal yang disebutkan dalam hadis. Pangkal syukur adalah benarnya tekad. Pangkal kesabaran adalah kuatnya keteguhan. Kerana itu, siapa saja hamba yang dikuatkan dengan tekad dan keteguhan, maka dia telah dikuatkan dengan pertolongan dan taufik-Nya.” [2]

 

Kerana itu Nabi SAW mengajarkan doa yang sepatutnya didawamkan dalam setiap munajat kita,

 

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ، ثَبِّتْ قَلْبِيْ عَلَى دِيْنِكَ

“Wahai Zat Yang membolak-baliknya hati, teguhkanlah hatiku untuk tetap dalam agama-Mu.” (HR At-Tirmidzi).

 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الثَّبَاتَ في اْلأَمْرِ وَأَسْأَلُكَ عَزِيَمَة الرُّشْدِ

“Ya Allah, hamba memohon kepada-Mu keteguhan dalam urusan [agama] ini, dan hamba memohon kepada-Mu tekad yang kuat dalam kebaikan.”(HR Ahmad dan lain-lain).

 

Kedua: Menjauhi dosa dan maksiat. Dosa dan maksiat merupakan penghalang [hijab], yang akan menghalangi hati kita dengan ketaatan dan ibadah kepada Allah. Lebih mengerikan lagi, ketika dosa dan maksiat itu sudah menjadi kebiasaan, dan merasa tidak ada masalah. Itu bermaksud, kita sedang diazab oleh Allah dengan hati yang mati. Demikian sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafidz Ibn al-Jauzi di atas.

 

Al-‘Allamah al-Hafidz Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah juga menyatakan,

فَإِنَّهُ إِذَا وَقَعَ الذَّنْبُ، سَلِبَ حَلاَوَةَ الطَّاعَةِ وَالْقُرْبِ، وَوَقَعَ فِي الْوَحْشَةِ

“Ketika perkara dosa itu dilakukan, ia [dosa] akan mencabut nikmatnya ketaatan dan kedekatan dengan Allah, lalu jatuh dalam kebengisan [hati dan sikap].” [3]

 

Ketiga: Menjaga keikhlasan. Menjaga keikhlasan itu dilakukan dengan selalu menjaga kebersihan hati dari melakukan untuk selain Allah. Ikhlas itu ertinya tidak terbang ketika dipuji, dan tidak tumbang ketika dimaki. Keikhlasan ini merupakan salah satu syarat amal perbuatan dan ketaatan kita diterima. Ini yang paling sulit.

 

Bahkan para sahabat juga merasa takut amalnya belum cukup, dan tidak diterima oleh Allah. Padahal mereka telah meniru semua perbuatan Nabi SAW, dengan cara mengikuti sunnahnya. Sebabnya, syarat amal diterima ada dua, ikhlas dan mengikuti sunnah, atau hukum syariat.

 

Orang yang ikhlas kerana Allah akan dapat melakukan amalnya dengan istiqamah. Kerana itu, salah satu indikasi keikhlasan dalam beramal, termasuk berdakwah, adalah istiqamah. Orang yang ikhlas juga menjauhi riya’, ujub, dan sum`ah. Orang ikhlas melakukan amal semata-mata untuk mencari redha Allah. Bahkan ini menjadi syarat amal perbuatan kita sepanjang Ramadhan, agar kita mendapatkan ampunan dari Allah,

 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَاً وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَه مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Siapa saja yang melakukan puasa Ramadhan dengan disertai iman serta ikhlas [semata kerana Allah] dan berharap pahala-Nya, maka dosanya yang lalu telah diampuni.” (HR al-Bukhari).

 

Keempat: Tetap istiqamah dalam jemaah dakwah dan komuniti orang-orang soleh. Apalagi ketika jemaah itu benar-benar telah bersumpah menjadi penjaga Islam yang amanah; menjaga kejernihan dan kecemerlangannya. Sebabnya, setiap manusia mempunyai qârin [jin] yang terus-menerus mempengaruhi manusia. Kerana itu, agama seseorang dipengaruhi oleh agama temannya.

 

اَلْمَرْءُ عَلَى دِيْنِ خَلِيْلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنَ يُخَالِطُ

“Seseorang itu mengikuti agama temannya. Kerana itu hendaknya perhatikanlah salah seorang di antara kalian, siapa yang dia jadikan sebagai teman.” (HR Ahmad).

 

Kelima: Mempunyai visi, misi, dan tujuan hidup yang tinggi, bukan kepura-puraan. Inilah yang oleh para ulama disebut himmah ‘aliyah. Dengan visi, misi, dan tujuan hidup yang tinggi, kita akan mengabaikan masalah remeh-temeh yang menimpa kita, seperti kesulitan rezeki, hidup, celaan, dan ucapan orang. Kita bersedia memikul beban yang berat dan terus-menerus memerangi hawa nafsu. Nafsu itu selalu mengajak pada yang enak, malas, mengikuti syahwat, bakhil, dan melanggar perintah dan larangan Allah (Lihat: QS Yusuf [12]: 53).

 

Al-‘Allamah Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah menuturkan, “Siapa saja yang mengetahui hakikat nafsunya, dan bagaimana ia telah dijadikan seperti itu, maka dia tahu bahawa nafsu itu merupakan sumber segala keburukan, dan tempat bersemayamnya semua perkara buruk.”[4]

 

Kerana itu, peperangan yang terus-menerus adalah perang kita dengan nafsu kita, perang sepanjang hayat. Nafsu adalah musuh dan bahaya yang terpendam yang mesti terus diwaspadai. Semak penuturan Muhammad Ibn al-Munkadir,

 

كَابَدْتُ نَفْسِيْ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً حَتَّى اِسْتَقَامَتْ

“Aku telah membuat nafsuku menderita selama 40 tahun sehingga ia mampu istiqamah.”[5]

 

Keenam: Jika suatu saat kita kalah dengan nafsu sehingga meninggalkan kewajipan, atau sunnah, atau melakukan kemaksiatan, maka segera bertaubat kepada Allah, dan mengganti kewajipan atau sunnah yang kita tinggalkan.

 

Ada nasihat yang bagus dari ‘Umar bin al-Khattab ra.,

إِنَّ لِهَذِهِ الْقُلُوْبِ إِقْبَالاً وَإِدْبَارًا، فَإِذَا أَقْبَلَتْ فَخُذُوْهَا بِالنَّوَافِلِ، وَإِنْ أَدْبَرَتْ فَأَلْزِمُوْهَا الْفَرَائِضَ

“Sungguh hati-hati ini mempunyai momen untuk menyambut dan meninggalkan [ketaatan]. Jika ia sedang semangat menyambut [ketaatan], ambillah berbagai amalan sunah. Jika dia meninggalkan [tidak sedang bersemangat menyambut ketaatan], maka tetaplah terikat dengan yang fardhu.” [6]

 

Ini kebiasaan Nabi SAW, ketika meninggalkan kebiasaannya dalam melakukan ketaatan, maka beliau akan menggantinya pada waktu lain.

 

Ibunda ‘Aisyah ra. menuturkan,

كَانَ نَبِيُّ الله صلى الله عليه وسلم إِذَا صَلَّى صَلاَةً أَحَبَّ أَنْ يُدَاوِمَ عَلَيْهَا، وَكَانَ إِذَا غَلَبَهُ نَوْمٌ أَوْ وَجْعٌ عَنْ قِيَامِ الَّليْلِ صَلَّى مِنَ النَّهَارِ ثَنَتَيْ عَشْرَة رَكْعَةً

“Nabi SAW ketika mengerjakan suatu solat, maka beliau ingin mendawamkannya. Jika beliau tertidur, atau tertimpa halangan sehingga tidak bangun malam, beliau akan solat pada siang harinya dengan 12 rakaat.” (HR Muslim).

 

Ketujuh: Mengkaji sirah Nabi, para sahabat, dan orang-orang soleh. Sebabnya, mereka merupakan role model bagi kita dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Misalnya, kitab Hayât ash-Shahâbah, karya al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Kandahlawi, atau kitab Shalahu al-Ummah fi ‘Uluwwi al-Himmah, Fursan al-Nahar, atau Ruhbân al-Layl, karya Syeikh Dr. Sayyid Husein al-‘Affani, dan kitab-kitab Raqaiq yang lainnya. Termasuk kitab-kitab Siyar, seperti Siyâr al-A’lam an-Nubalâ’, karya al-Hafidz adz-Dzahabi, dan al-Thabaqât as-Syâfi’iyyah al-Kubrâ, al-‘Allamah as-Subki.

 

Wallahualam.

 

 

#ibadah #amalsoleh #ramadhan #istiqamah #muslimramadhan #ibadahyangmaqbuldanmabrur

Exit mobile version