Site icon MuslimahHTM News

Kehidupan Perkahwinan yang Sentiasa Diimpikan

[KELUARGA] Kehidupan Perkahwinan yang Sentiasa Diimpikan

Penulis: Najmah Saiidah

Kehidupan suami isteri dalam rumah tangga adalah kehidupan yang dipenuhi dengan ketenangan, ketenteraman, kasih sayang, dan persahabatan. Interaksi suami isteri adalah berdasarkan prinsip tolong-menolong, saling menyokong, persahabatan, keharmonian, tidak kaku dan formaliti.

Hubungan suami isteri adalah interaksi yang penuh kemesraan, kesejukan, dan jauh dari kekakuan. Sebagaimana dijelaskan dalam Masyru’ud Dustur Pasal 120, “Kehidupan suami isteri adalah kehidupan yang penuh dengan ketenangan. Pergaulan suami isteri adalah pergaulan penuh dengan persahabatan. Kepimpinan suami terhadap isteri adalah kepimpinan peraturan (bertanggungjawab), bukan kepimpinan seperti seorang pemerintah. Seorang isteri wajib taat kepada suaminya. Seorang suami wajib memberi nafkah yang layak mengikut standard yang makruf.”

Cuma pada hakikatnya, kadang kala keinginan ini tidak mudah untuk direalisasikan. Malah apa yang berlaku adalah rumah tangga yang berantakan, dipenuhi dengan kebencian. Seorang isteri berasa sangat dikawal oleh suaminya, sebaliknya di sisi lain, suami berasa tidak dihargai oleh isterinya. Jika keadaan begini, sukar untuk mengharapkan wujudnya kehidupan rumah tangga yang tenteram.

Ada juga yang berpendapat, apabila seorang wanita sudah berkahwin, maka suka tidak suka dia mesti menuruti segala perintah suaminya tanpa ada hak untuk dia berbincang, walaupun suami melakukan kemaksiatan. Atau sebaliknya, isteri menuntut hak sepenuhnya dari suaminya, sedangkan dia enggan memberikan hak-hak suami ke atasnya. Jika keadaan seperti ini, sukar untuk mengharapkan wujudnya kehidupan rumah tangga yang harmoni.

Mengapa keadaan ini boleh berlaku? Banyak perkara yang menjadi puncanya, salah satu di antaranya ialah kurangnya kefahaman pasangan suami isteri tentang kehidupan perkahwinan dan bagaimana pandangan Islam tentang hak dan kewajipan suami isteri. Lalu bagaimana Islam memandang tentang perkahwinan?

Perkahwinan adalah Kehidupan Persahabatan

Perkahwinan dan kewujudannya merupakan keinginan semulajadi manusia yang berkait rapat dengan naluri untuk melestarikan keturunan. Perkahwinan bukanlah ikatan kontrak seumur hidup antara seorang suami dan isteri, yang memaksa isteri untuk hidup bersamanya sepanjang hayatnya, yang tidak boleh dipisahkan pada bila-bila masa.

Kehidupan perkahwinan adalah kehidupan persahabatan antara suami dengan isterinya, suami adalah sahabat isterinya dan isteri adalah sahabat suaminya secara sempurna dalam semua aspek kehidupan. Kerana Allah telah menjadikan perkahwinan sebagai tempat ketenangan bagi pasangan suami isteri, sebagaimana firman Allah dalam QS Ar-Rum: 21 yang bermaksud,“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang yang berfikir.”

“Dialah yang menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isterinya agar dia merasa senang kepadanya, maka setelah dicampurinya, isterinya mengandung kandungan yang ringan, dan teruslah merasa ringan (beberapa waktu). Kemudian tatkala dia merasa berat, kedua-duanya (suami isteri tersebut) memohon kepada Allah seraya berkata, ‘Sesungguhnya jika Engkau memberi anak yang sempurna, tentulah kami termasuk orang-orang yang bersyukur.’” [TMQ Al-A’raf (7): 189]

Perkahwinan adalah Saling Memberi Hak dan Memenuhi Kewajipan

Kehidupan perkahwinan akan memberikan kebahagiaan dan ketenteraman di antara pasangan suami isteri apabila kedua-duanya saling memenuhi kewajipan dan memberi hak pasangan masing-masing. Isteri memenuhi hak suaminya dan sebaliknya suami memenuhi hak isterinya dengan cara yang makruf (baik).

Islam telah menjelaskan bahawa isteri mempunyai hak ke atas suaminya dan suami mempunyai hak ke atas isterinya. Allah berfirman, “… Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.” [TMQ Al-Baqarah (2): 228]

Dan Ibnu Abbas berkata, “Sesungguhnya aku akan berhias untuk isteriku, sebagaimana dia berhias untukku. Dan aku suka jika dia menyampaikan secara bersih segala sesuatu yang merupakan hakku ke atasnya sebagaimana aku menyampaikan secara bersih apa-apa yang menjadi haknya ke atasku.”

Oleh itu Allah berfirman: “Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.”

Dari Ibnu Abbas, “Hak dia (isteri) adalah persahabatan dan pergaulan yang baik dari suami terhadapnya sesuai dengan kewajipan isteri dalam bentuk ketaatan kepada suami yang diwajibkan ke atasnya.”

Allah SWT. telah mewasiatkan agar bergaul dengan cara yang makruf antara suami dan isteri seperti dalam firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali apabila mereka melakukan pekerjaan keji secara nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara baik. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka, maka bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 19].

Allah telah memerintahkan bahawa apabila seorang lelaki telah melangsungkan akad nikah dengan seorang wanita, maka hendaklah dia bergaul dengan wanita tersebut dengan cara yang makruf, sebagaimana layaknya seorang sahabat yang sempurna. Memberi hak, nafkah, dan mahar kepadanya, tidak bermuka masam di hadapan isterinya, dan tidak menunjukkan kecenderungan kepada wanita lain.

Kita lihat hadis berikut, daripada Muawiyah al-Qusyairi bahawa sesungguhnya Nabi pernah ditanya oleh seorang lelaki, “Apakah hak seorang wanita ke atas suaminya?” Lalu Rasulullah menjawab, “Engkau memberinya makan apabila engkau makan dan engkau memberi pakaian apabila engkau berpakaian. Janganlah engkau memukulnya pada wajah, jangan mencaci maki, dan jangan menjauhinya, melainkan dalam rumah.” (HR Ahmad, Abu Daud, dan Ibnu Majah).

Rasulullah juga pernah berwasiat ketika khutbah semasa haji wada’, “Maka bertakwalah kepada Allah kerana isteri, kerana sesungguhnya kalian mengambil mereka kerana amanah Allah dan dihalalkan bagi kalian farji mereka dengan kalimat Allah dan hak kalian ke atas wanita tersebut untuk tidak memasukkan orang-orang yang kalian benci, jika isterimu melakukan yang demikian, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak membekas dan bagi mereka rezekinya dan pakaian dengan makruf.”

Juga sabdanya, “Sebaik-baik kalian adalah berbuat makruf kepada keluarganya dan aku berbuat baik kepada keluargaku.” Banyak juga periwayatan yang menggambarkan bahawa Rasulullah bergaul dengan sangat baik kepada keluarganya, bergurau-senda dan lemah lembut terhadap mereka. Rasulullah sering berbual sebentar dengan keluarganya selepas solat Isyak, sebelum beliau tidur dengan percakapan yang menyenangkan.

Islam mewajibkan suami dan isteri supaya kedua-duanya menjaga pergaulan dan hubungannya dengan baik. Islam menyimpan cinta dan kasih sayang di antara keduanya.

Bagaimana mungkin cinta dan kasih sayang dapat direalisasikan jika kedua-duanya tidak memenuhi hak pasangannya? Kerana dengan memenuhi hak pasangannya, maka perasaan cinta dan sayang akan bertambah subur di antara kedua-duanya.

Suami tidak seharusnya memutuskan hubungan silaturahmi antara isteri dengan keluarga isterinya, sebaliknya hendaklah menguatkan kerana ini akan menguatkan jalinan cinta dan kasih sayang mereka, agar isterinya dapat menjadi pasangan hidup yang baik yang dapat membantunya dalam mentaati Allah.

Perkahwinan Memerlukan Pemimpin yang juga sebagai Pelindung Keluarga

Memang kehidupan perkahwinan itu tidak selalu berjalan lancar, kadangkala ditimpa gangguan. Oleh itu, Allah menjadikan lelaki (suami) sebagai pemimpin dan pelindung bagi isteri dan keluarga mereka, sebagaimana firman-Nya, “Lelaki adalah pemimpin bagi wanita.” [TMQ An-Nisaa’ (4):34]

Rasulullah juga mewasiatkan agar seorang isteri taat kepada suaminya, “Apabila seorang isteri enggan ke tempat tidur suaminya, maka malaikat akan melaknatnya sehingga dia kembali kepada suaminya.”

Jika isteri menderhaka (tidak taat) kepada suaminya, Islam telah memberi kewenangan kepada suami untuk memberi hukuman kepada isterinya, kerana suami adalah pemimpin bagi wanita dan sebagai pemelihara urusan rumah tangganya. Islam juga memerintahkan kepada suami agar tidak membuat isterinya gelisah dan terguncang apa-apa, tetapi wajib bagi suami untuk bersahabat erat dengan isterinya, memperlakukan lemah lembut dalam menginginkan sesuatu daripada isterinya, sehingga jika dia ingin mendekati isterinya, dia mesti mencari suasana dan keadaan yang selesa. Hal ini sebagaimana Rasulullah bersabda, “Janganlah kalian menemui isteri kalian di malam hari sehingga kamu menyikat rambutmu dan mencukur buku kemaluanmu.”

Ini kerana makna qawwamah (pemimpin) seorang suami terhadap isterinya bukanlah bermakna suami boleh bertindak secara autoritarian dalam rumah tangga atau sebagai penguasa yang tidak boleh dibetulkan oleh sesiapa pun pendapatnya. Namun, maksudnya ialah suami menguruskan hal rumah tangganya dan berhak bagi isteri untuk berdebat dengan suaminya atau berbincang dan mengajukan pendapat atau cadangan kepada suaminya.

Kedua-duanya adalah dua orang sahabat yang sempurna, bukan seorang yang memerintah dengan yang diperintah. Allah memberikan kepimpinan kepada salah seorang dari keduanya, iaitu suami untuk mengurus dan mengelola rumah tangga keduanya serta memelihara urusan rumah tangganya.

Dari sini jelaslah bahawa makna kepimpinan lelaki ke atas wanita ialah isteri memberikan urusan tersebut kepada suami, tetapi urusan ini adalah persahabatan, bukan autoritarian atau berkuasa penuh ke atas isterinya. Boleh sahaja isteri berdebat atau berbincang dengan suaminya asalkan dia tidak menderhaka kepada suaminya.

Wajib bagi suami bergaul dengan cara yang makruf kepada isterinya dan demikian juga sebaliknya kerana suami adalah sahabat isterinya dan isteri adalah sahabat suaminya. Dengan itu, kehidupan rumah tangga yang penuh kedamaian dan ketenangan akan tercapai. Terpenuhilah firman Allah SWT. dalam QS Ar-Rum:21, iaitu terciptanya keluarga yang mawaddah wa rahmah.

Perkahwinan adalah Berkongsi Tugas dan Kewajipan Rumah Tangga

Manakala dari segi menjalankan aktiviti-aktiviti rumah tangga, bagi aktiviti dalam rumah tangga, isteri wajib untuk melayani suaminya. Contohnya membuat doh, memasak, menyapu rumah, dan menyusun ruangannya. Wajib baginya untuk memberi air ketika suaminya meminta minum atau memberinya makanan dan segala perkhidmatan terhadap segala yang ada di dalam rumah.

Kadang-kadang Rasulullah menyuruh isterinya untuk melayaninya, maka beliau berkata, “Ya Aisyah, aku mahu minum, ya Aisyah aku mahu makan, ya Aisyah aku minta pisau dan tajamkanlah pisau tersebut dengan batu.”

Sebaliknya bagi suami, wajib baginya untuk membawa segala keperluannya yang berasal dari rumah. Contohnya memberi nafkah, menyediakan air bersih, dan sebagainya.

Dapat disimpulkan bahawa segala aktiviti yang wajib dijalankan di rumah adalah kewajipan bagi isteri, walau apa pun bentuknya. Sedangkan segala aktiviti yang wajib dijalankan di dalam dan di luar rumah adalah kewajipan suami.

Hal ini seperti dalam hadis Rasulullah SAW.,

قَضَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ عَلَى اِبْنَتِهِ فَاطِمَةَ بِخِدْمَةِ الْبَيْتِ وَ قَضَى عَلَى عَلِيٍّ بِمَا كَانَ خَارِجًا مِنَ الْبَيْتِ

“Rasulullah SAW. telah menetapkan atas puterinya, Fathimah ra. untuk mengerjakan tugas-tugas (di dalam rumah) dan telah menetapkan atas ‘Ali ra, mengerjakan tugas-tugas di luar rumah.” (HR Ibnu Abiy Syaibah dalam Mushannif Ibnu Abiy Syaibah)

Khatimah

Inilah gambaran kehidupan perkahwinan dalam Islam yang sentiasa didamba oleh setiap keluarga muslim. Realiti seperti ini menunjukkan bahawa institusi kekeluargaan yang tegak di atas syariat Islam benar-benar mampu mewujudkan ketenangan, kedamaian, keadilan, dan rasa selamat.

Suami isteri hidup berdampingan, saling menyayangi dan menjaga, menunaikan kewajipan dan memenuhi hak pasangan, memposisikan peranan dalam keluarga mengikut tuntunan syariat dan menjalinkan hubungan yang makruf dengan pasangan. Kedua-duanya, pasangan suami isteri menjalankan bahtera keluarga seperti dua sahabat sejati yang sentiasa berkongsi suka dan duka dalam bimbingan hukum-hukum syarak. Wallahualam bissawab.

Sumber:
https://muslimahnews.net/2023/01/11/16586

#Keluarga #Perkahwinan #SuamiIsteri #Peranan

Exit mobile version