[NAFSIYAH] Kemuliaan Wanita
Pada zaman moden ini, ramai wanita yang kehilangan identiti diri. Sebahagian merasakan, wanita mulia dan dihargai adalah apabila dia kelihatan cantik dan menarik. Mereka juga menghabiskan masa, tenaga, dan wang untuk kelihatan cantik dan menarik. Sebahagian lain merasakan mulia dan percaya diri jika bekerja, menduduki jawatan penting, dan kerjaya yang cemerlang. Mereka sanggup bekerja walaupun menempuh jarak yang jauh dan menghabiskan masa dari pagi hingga malam. Akibatnya, mereka jarang bertemu dengan anak mereka. Apabila mereka pergi, anak-anak mereka belum bangun, manakala apabila mereka pulang, anak-anak sudah tidur. Inilah salah satu pengaruh dari ideologi kapitalisme dan liberalisme.
Sebenarnya semua ini tidak memuliakan wanita sebaliknya merendahkan mereka. Sebabnya, wanita dihargai dan dianggap mulia jika mereka diberi kuasa. Maksudnya, kapitalisme-liberalisme hanya memuliakan harta dan kecantikan wanita, tidak menghargai diri wanita itu sendiri.
Begitu juga apabila wanita terpaksa bekerja dan meninggalkan kewajipan utama sebagai ibu dan pengurus rumah tangga. Kerana dengan berbuat demikian boleh menyebabkan suami dan anaknya kurang perhatian dan boleh berakhir dengan keretakan rumah tangga yang pastinya akan menghancurkan masa depan anak.
Dalam Islam, kedudukan wanita mulia bukan kerana kecantikan, harta, atau jawatannya, melainkan kerana ketakwaan iaitu melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Allah SWT. berfirman,
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kalian.” [TMQ Al-Hujurat (49): 13].
Kemuliaan Wanita
Dalam rumah tangga, Allah SWT. memuliakan wanita dengan memberikan mereka peranan sebagai ibu dan pengurus rumah tangga (umm[un] wa rabat al-bayt) yang bertanggungjawab mengurus rumah tangganya di bawah kepimpinan suami. Sebagai pemimpin rumah tangga suami wajib memimpin, melindungi, dan memberi nafkah kepada ahli keluarganya (Lihat: QS An-Nisa’ [4]: 34). Rasulullah SAW. juga bersabda, “Wanita (isteri) adalah bertanggung jawab dalam rumah tangga suaminya dan anak-anaknya.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Wanita yang mulia adalah yang paling bertakwa iaitu wanita yang bertindak sesuai dengan syariat. Oleh itu, wanita yang bertakwa adalah yang mampu menjalankan peranannya dengan baik, melaksanakan kewajipannya sebagai isteri dan ibu sesuai dengan tuntunan syariat. Mereka mengurus rumah tangga dengan baik sehingga mampu menciptakan suasana kondusif bagi suami dan anak-anaknya untuk mencapai kemuliaan iaitu menjadi pemimpin orang-orang yang bertakwa (Lihat: QS Al-Furqan [25]: 74).
Dengan demikian, keluarga yang mulia adalah keluarga yang bertakwa iaitu keluarga yang melaksanakan syariat Islam secara kaffah. Malangnya ketika ini, syariat Islam belum tertegak maka keluarga yang bertakwa adalah keluarga yang melaksanakan hak dan kewajipannya sesuai dengan Islam dan memperjuangkan penegakan syariah secara kaffah di bawah naungan Khilafah Islamiyah.
Keluarga yang bertakwa akan saling menasihati dalam kesabaran dan kebaikan. Suami akan mendidik dan memudahkan isterinya agar dapat melaksanakan kewajipannya kepada Allah, termasuk berdakwah memperjuangkan Khilafah. Begitu juga isteri akan mengingatkan suaminya jika lalai menjalankan kewajipan kepada Allah, contohnya dakwahnya kurang maksimum dan optimum kerana kesibukan kerja.
Dalam rumah tangga, isteri wajib melaksanakan kewajipannya, antaranya ialah mentaati suaminya, meminta izin suami ketika keluar rumah, menyenangkan hati suaminya apabila dipandang, dan mengurus rumah tangganya. Dengan ini semua ahli keluarga dapat merasai ’baytî jannatî’ (rumahku syurgaku). Dia mampu membahagiakan ahli keluarganya. Suami dan anak-anak dalam keadaan riang, penuh kasih sayang, dan semangat dalam menjalankan aktiviti harian mengikut perintah Allah untuk meraih kemuliaan hidup.
Seorang isteri mesti menyiapkan makanan halal dan sihat yang digemari oleh keluarganya, bukan sekadar untuk dimakan. Dia juga perlu membiasakan ahli keluarga menyukai makanan yang sihat dan halal dengan pendekatan memujuk. Ini kerana anak dan suami yang sihat mencerminkan kualiti pengurusan rumah tangga oleh isteri.
Demikian juga dengan pakaian, kerana anak-anak dalam masa pertumbuhan maka mesti diperhatikan sama ada terdapat baju yang sudah tidak sesuai lagi sama ada kerana koyak, butang hilang, tidak muat atau ’ketat’ sehingga auratnya kelihatan. Begitu juga pakaian suami mesti diperhatikan kesesuaian dan syarie atau tidak. Ini kerana pakaian yang dipakai oleh anak-anak dan suami juga mencerminkan kualiti pengurusan rumah tangga oleh isteri.
Tugas Mulia Mendidik Anak
Sebelum membincangkan peranan ibu dalam mendidik anak, marilah kita perhatikan beberapa tokoh Islam yang mencatat sejarah dengan tinta emas antara lain,
1. Ali asy-Syaukani, seorang ulama besar, mujtahid dan pakar pendidikan yang telah menulis 348 judul buku.
2. Jabir Ibn Hayyan, pakar kimia yang mencipta skala timbangan yang tepat dan mendefinisikan sebatian kimia. Dia menulis 200 buku, 80 buku daripadanya dalam bidang kimia.
3. Imam al-Bukhari meneliti 300,000 hadis yang diriwayatkan 1,000 orang dan hadis yang dipilih hanya yang sahih sahaja iaitu 7,275.
4. Imam Syafie (150 H-204 H), ahli fikih, hafal Al-Quran berumur 7 tahun, karyanya sangat banyak, salah satu karyanya adalah kitab Al-Umm.
5. Imam Hanbali (164 H-241 H), ahli hadis, ahli fikih, dan mujtahid. Karya beliau termasuklah: Musnad Ahmad Hanbali. Beliau memeriksa 750,000 hadis dan beliau memilih 40,000 yang sahih.
Memperhatikan ketokohan mereka, sebagai seorang ibu tentu kita akan terdorong untuk menjadi seperti mereka iaitu para ibu yang mampu melahirkan para tokoh yang membawa kejayaan Islam dan umat Islam. Sudah tentu mereka dididik oleh ibu yang mulia, ibu yang memahami kewajipannya untuk mengasuh dan mendidik anak-anaknya menjadi orang mulia. Walaupun setelah anak besar akan dididik orang lain, tetapi ibulah asas pendidikan mereka; ibulah madrasah utama dan pertama mereka.
Ibu bertanggungjawab terhadap tugas yang mulia iaitu mengurus rumah tangga dan menjaga serta mendidikan anak (sebagaimana sabda Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh Bukhari-Muslim).
Bersama ayah, seorang ibu wajib mendidik anak-anaknya agar menjadi anak yang soleh, mujtahid, inovator, dan pejuang tangguh yang dapat membawa kepada kejayaan Islam dan umat Islam dengan tegaknya Khilafah. Kedua-duanya sedang mempersiapkan generasi yang bersedia menjadi pemimpin dan mampu menjalankan roda pemerintahan mengikut syariat. Tiada ada yang lebih bermanfaat untuk anak-anak, umat Islam dan Islam kecuali memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak. Rasulullah SAW. bersabda,
مَا نَحَلَ وَالِدٌ وَلَدًا مِنْ نَحْلٍ أَفْضَلَ مِنْ أَدَبٍ حَسَنٍ
“Tidak ada pemberian seorang ayah (ibu bapa) yang lebih utama daripada pendidikan yang baik.” (HR at-Tirmidzi).
Peranan ini adalah peluang besar bagi seorang ibu untuk mendapat pahala yang besar kerana ia merupakan amal jariah iaitu amalan yang pahalanya terus mengalir walaupun dia sudah meninggal dunia. Ilmu yang diberikan kepada anak-anak mereka akan menjadi amal jariah jika anak-anak mereka mengamalkan dan menyampaikan kepada yang lain. Dengan itu, ibu akan sentiasa mendapat pahala daripada setiap orang yang mengamalkan ilmunya. Pahala ini tanpa mengurangi pahala orang yang melaksanakannya. Begitu juga amal jariah iaitu anak soleh yang sentiasa mendoakan ibu bapanya. Wallahualam.
Sumber:
#Nafsiyah #KemuliaanWanita #SebagaiIbu #WanitaSolehah #PengurusRumahtangga

