Site icon MuslimahHTM News

Ketika Hadir Rasa Kecewa terhadap Pasangan

[KELUARGA] Ketika Hadir Rasa Kecewa terhadap Pasangan

 

Penulis: Najmah Saiidah

 

Ketika akad nikah sudah dilangsungkan, secara rasmi seorang lelaki dan seorang wanita menjadi pasangan suami isteri. Bermulalah bahtera rumahtangga mengharungi lautan kehidupan. Berjuta harapan, impian dan doa dipanjatkan agar Sakinah, Mawaddah wa rahmah senantiasa hadir.

 

Gambaran indahnya kehidupan rumahtangga menari-nari di pandangan untuk meneruskan hari esok yang penuh makna dan keberkatan. Akankah semua harapan ini akan terwujud nyata?

 

Kekecewaan terhadap Pasangan Bukan Perkara yang “Luar Biasa”

 

Setiap pasangan suami isteri pastinya mengharapkan perkahwinan yang dibina dipenuhi rasa cinta dan kebahagiaan serta tentu saja bertabur pahala dari Allah SWT. sehingga dengan izin-Nya akan membawa keduanya ke syurga Allah. Ini kerana, berkahwin adalah salah satu bentuk ibadah seorang Muslim kepada Sang Maha Pencipta.

 

Setiap pasangan yang bernikah tentu saja ingin mendapatkan yang terbaik dari pasangan hidupnya dan berusaha untuk memberikan yang terbaik juga untuk pasangannya. Hanya saja, perjalanannya tidak semuanya sesuai dengan harapan. Terkadang muncul rasa kecewa terhadap pasangan.

 

Sesungguhnya adanya kekecewaan ini merupakan perkara yang biasa terjadi. Hanya saja, tentu perlu segera dibicarakan bersama pasangan tanpa menyinggung perasaannya. Walaubagaimanapun, tidak ada manusia yang sempurna di muka bumi ini termasuklah kita dan pasangan.

 

Terkait dengan pasangan hidup, beberapa kali kita mendengar ungkapan, “Jika kamu belum memiliki kualiti sebaik Nabi SAW., maka jangan berangan hendak memiliki isteri seperi Aisyah Ra.. Dan kalau kamu belum seperti Ali Ra., maka jangan bermimpi ingin mendapatkan isteri seperti Fatimah binti Rasulullah.”

 

Ungkapan ini tentu saja tidak bersifat mutlak kerana memang bukan hadis. Namun, setidaknya ungkapan ini dapat menjadikan diri kita tidak pesimis terhadap pasangan kita, tetapi sebaliknya, juga menjadi pendorong bagi kita untuk melayakkan diri menjadi orang-orang terbaik.

 

Allah Memerintahkan Bersabar

 

Allah telah memerintahkan agar suami bergaul dengan isterinya dengan cara yang makruf sebagaimana layaknya seorang sahabat secara sempurna iaitu dengan  memberikan hak-haknya. Antara hak-haknya adalah nafkah serta mahar baginya, tidak bermasam muka hadapan isteri dan tidak menampakkan kecenderungan kepada wanita lain.

 

Firman Allah SWT.

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا يَحِلُّ لَكُمْ اَنْ تَرِثُوا النِّسَاۤءَ كَرْهًا ۗ وَلَا تَعْضُلُوْهُنَّ لِتَذْهَبُوْا بِبَعْضِ مَآ اٰتَيْتُمُوْهُنَّ اِلَّآ اَنْ يَّأْتِيْنَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ ۚ فَاِنْ كَرِهْتُمُوْهُنَّ فَعَسٰٓى اَنْ تَكْرَهُوْا شَيْـًٔا وَّيَجْعَلَ اللّٰهُ فِيْهِ خَيْرًا كَثِيْرًا

“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” [TMQ An-Nisaa’ (4): 19]

 

Ayat ini dengan tegas memerintahkan pasangan suami isteri untuk bersabar ketika ada kekecewaan atau perkara yang tidak disukai dari pasangan dan selalu berbaik sangka. Boleh jadi terdapat kebaikan lain dari pasangan yang kita sukai.

 

Allah juga menegaskan dalam ayat lainnya,

 

وَعَسٰٓى اَنْ تَكْرَهُوْا شَيْـًٔا وَّهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَعَسٰٓى اَنْ تُحِبُّوْا شَيْـًٔا وَّهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللّٰهُ يَعْلَمُ وَاَنْتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ

“… dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” [TMQ Al-Baqarah (2): 216]

 

Nasihat Rasulullah SAW. ketika Kecewa terhadap Pasangan

 

Rasulullah SAW. adalah contoh terbaik dalam menjalankan kehidupan berumahtangga. Baginda sangat menjaga komunikasi dengan isterinya walaupun ketika ada hal yang tidak disukai dari isterinya. Baginda tetap bersabar dan memberikan nasihat kepada isterinya.

 

Rasulullah SAW. mengajarkan kepada kita agar ketika kita melihat ada sikap atau perilaku pasangan yang tidak menyenangkan, alangkah baiknya jika kita redha terhadap akhlaknya yang lain dengan terus saling menasihati. Hal ini kerana memang tidak ada manusia yang sempurna. Manusia memiliki kesalahan, keburukan atau kekurangan, tetapi di sisi yang lain, manusia juga memiliki (banyak) kebaikan dan kelebihan.

 

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW., “Janganlah seorang mukmin membenci mukminah (isterinya). Jika dia membenci salah satu perangainya, nescaya dia akan redha dengan perangainya yang lain.” (HR Muslim)

 

Selain nasihat kepada suami, Rasulullah SAW. juga menasihati kita, para isteri untuk bersabar dan tidak memanggil suami dengan panggilan yang jelek atau mencaci-makinya ketika hadir rasa kecewa atau tidak suka pada suami kerana hal ini dapat menyakiti hati suami.

 

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud, “Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia melainkan isterinya dari para bidadari syurga akan berkata, ‘Jangan engkau menyakitinya, Celakalah dirimu! Kerana dia hanya sejenak berkumpul denganmu yang kemudian akan meninggalkanmu untuk kembali kepada kami.'” (HR Tarmidzi)

 

Nasihat Umar bin Khattab

 

Umar bin Khattab adalah seorang mukmin yang memiliki karakter tegas dan keras dalam membela kebenaran. Akan tetapi, hatinya penuh kelembutan ketika bermuamalah dengan isterinya. Beliau sangat menonjol jiwa kewibawaannya, tetapi tahap tawaduk serta bersabar dalam berinteraksi dengan pasangan hidupnya.

 

Sungguh romatika kehidupan rumahtangganya penuh dengan pesona dan sangat layak dijadikan teladan lebih-lebih lagi ketika timbul bibit-bibit persoalan dalam rumahtangga. Sifatnya arif bijaksana dan beliau juga seorang suami yang bertanggungjawab.

 

Diriwayatkan bahawa seorang lelaki datang ke rumah Umar bin Khattab kerana hendak mengadakan keburukan akhlak isterinya. Dia berdiri di depan pintu menunggu Umar keluar.

 

Kemudian dia terdengar isteri Umar bersuara keras pada suaminya dan membantahnya, Umar pula diam tidak membalas ucapan isterinya. Lelaki itu kemudian mahu berpatah balik sambil berkata, “Jika begini keadaan Umar dengan sikap keras dan tegasnya, dan dia seorang Amirul Mukminin, maka bagaimana keadaanku?”

 

Umar keluar dan melihat lelaki itu berbalik (pergi) dari pintunya. Umar memanggilnya dan berkata, “Wahai Fulan, apa keperluanmu?” Kemudian lelaki itu menjawab, “Wahai Amirul Mukminin! Aku datang hendak mengadukan kejelekan akhlak isteriku dan sikapnya yang membantahku. Kemudian aku terdengar isterimu berbuat demikian, maka aku berniat untuk pulang sambil berkata, ‘jika demikian keadaan Amirul Mukminin bersama isterinya, maka bagaimana dengan keadaanku?'”

 

Umar berkata, “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar atas sikapnya itu kerana hak-haknya padaku. Dia yang memasakkan makanan kumpulan, yang membuatkan rotiku, yang mencuci pakaianku, yang menyusui anak-anakku dan hatimu tenang dengannya dari perkara yang haram kerana itu aku bersabar atas sikapnya.”

 

Lelaki itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, demikian juga isteriku.” Berkatalah Umar, “Bersabarlah atas sikapnya wahai saudaraku…”(kitab Al-Kabair oleh Adz-Dzahabi)

 

Sikap diamnya Umar bukan bermaksud dia tidak membela diri, justeru sebaliknya. Inilah sifat mulia seorang suami sekaligus sebagai pemimpin rumahtangga. Dia telah memberikan teladan dalam kebaikan akhlak. Dia jika  membiarkan kesalahan isterinya, tetapi di saat keadaan sedang memanas, sama sekali tidak kondusif untuk menasihati isteri.

 

Lebih-lebih lagi jika dia segera membalas kemarahan isteri, maka pasti akan terjadi perang mulut di mana ledakan emosi-emosi negatif akan menjadikan kedua-duanya terjebak dalam pertengkaran kerana masing-masing akan mengemukakan alasan.

 

Di sinilah perlunya sebagai seorang suami yang soleh untuk mengawal diri, menjaga keadaan agar tetap stabil sehingga tidak membuka kesempatan sekecil apa pun untuk syaitan masuk dan merosakkan suasana.

 

Nabi SAW. bersabda, “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan orang yang paling baik akhlaknya di antara kalian adalah yang paling baik pergaulan terhadap isteri.” (HR Imam Ahmad)

 

Umar bin Khattab juga mengingatkan kita agar ketika seorang suami melihat kekurangan atau keburukan isteri, hendaklah dia segera mengingati kelebihan dan kebaikan isterinya. Begitu juga dengan isteri, hendaklah sentiasa mengingat kebaikan suaminya.

 

Demikianlah nasihat Umar bin Khattab kepada kita semua ketika muncul kekecewaan terhadap pasangan. Ini semua agar kita tidak fokus pada kekurangan pasangan yang menyebabkan kita terjerumus pada penyesalan dan menumbuhkan kebencian. Nauzubillah.

 

Khatimah

 

Jika kita lihat beberapa nasihat yang diberikan, baik dari Al-Quran, hadis-hadis Nabi dan nasihat Umar Al-Khattab, ada hal yang sama yang perlu dilakukan oleh suami isteri ketika kecewa terhadap pasangan, tentu saja selama masih dalam koridor syarak, iaitu bersabar terhadap pasangan dan berlapang dada serta selalu mengingati kebaikannya. Ini kerana, boleh jadi kita tidak menyukai satu perangainya, tetapi di sebalik itu, ada perangainya yang kita sukai.

 

Kerana itu, tidak dapat dinafikan bahawa salah satu kunci lestarinya perkahwinan adalah sabar dalam berinteraksi dengan pasangan ketika ada perkara-perkara yang membuatnya kurang berkenan. Ketika sebuah sikap atau perbuatan masih boleh ditoleransi, sebatas tidak bertentangan dengan syariat, maka berlapang dadalah dan terimalah keadaan dengan berbaik sangka.

 

Semoga Allah selalu melindungi dan menjaga rumahtangga kita agar selalu berada dalam kebaikan dan keberkatan. Aamiin.

Exit mobile version