[Kisah Inspirasi] Laksamana Malahayati, Wanita Didikan Khilafah
Penulis: Ruruh Anjar
Lautan menjadi saksi keberaniannya mempertahankan kedaulatan. Walaupun nyawanya dipertaruhkan, dia tidak gentar bergerak dengan kapal perang dan pedang yang mengancam armada penjajah.
Namanya Keumalahayati atau lebih dikenali sebagai Malahayati. Beliau dilahirkan di Tanah Rencong, Aceh Darussalam (1550 M). Ayahnya bernama Laksamana Mahmud Syah, iaitu anak kepada Laksamana Muhammad Said Syah, putera Sultan Salahuddin Syah yang memerintah Aceh sekitar tahun 1530-1539 Masihi. Sedangkan Sultan Salahuddin Syah adalah putera Sultan Ibrahim Ali Mughayat Syah (1513-1530 M, merupakan pengasas 1514-1528 M), pengasas Kerajaan Aceh Darussalam.
Laksamana Wanita
Malahayati juga tercatat dalam sejarah sebagai laksamana wanita pertama di dunia yang berjaya menghalau Portugis dan Belanda daripada memasuki Aceh. Ini menurut catatan seorang wanita Belanda, Marie Van Zuchtelen, dalam bukunya bertajuk Vrouwlijke Laksamana Malahayati [Malahayati, Laksamana Wanita]. Keberanian dan kepakaran beliau dalam mempertahankan tanah air daripada penjajah Portugis dan Belanda tidak diragui. Pada November 2017, beliau menerima gelaran Pahlawan Negara dan termaktub sebagai nama jalan, hospital, institusi pendidikan, pelabuhan, dan kapal perang KRI Malahayati di negara Indonesia.
Pendidikan yang diterima Malayahati diperolehi daripada sekolah agama Islam di meunasah (madrasah) dan dayah (pesantren). Selepas tamat belajar dari situ, dia ingin merealisasikan impiannya menjadi pelaut yang hebat, lalu mendaftarkan diri dalam penerimaan bakal kadet di Akademi Tentera Ma’had Baitul Maqdis di Bitay, Aceh Darussalam. Akademi ini terdiri daripada dua jabatan iaitu Tentera Laut dan Tentera Darat yang mengandungi kurikulum strategi perang, cara membuat meriam, kraf emas, pelbagai jenis objek seni, dan jenis-jenis senjata lain. Maa’had ini didirikan atas permintaan Kesultanan Aceh pada zaman Sultan Saidil Mukammil Alauddin Ri’ayat Syah (1589-1604 M) kepada Khilafah Uthmaniyyah pada zaman Sultan Selim II. Maa’had Baitul Maqdis disokong oleh 100 tenaga pengajar tentera laut yang dibawa masuk khas dari Khilafah Uthmaniyyah. Tenaga pengajar ini merupakan pegawai Khilafah yang terlatih.
Kesultanan Aceh Darussalam dan Khilafah Uthmaniyyah mempunyai hubungan yang sangat baik sejak sekian lama dan berganding bahu dalam menghalau penjajah dan menyebarkan ajaran Islam. Dari sinilah Kesultanan Aceh mendapat banyak bantuan serta ilmu ketenteraan dan senjata yang sangat kuat pengaruhnya terhadap strategi ketenteraan Aceh. Malah, Kesultanan Aceh Darussalam juga mengiktiraf Khilafah Uthmaniyyah sebagai penguasa wilayah umat Islam. Sebagai seseorang yang mewarisi darah maritim ditambah didikan Islam yang mengajar amar makruf nahi munkar, Malahayati mempunyai semangat yang tinggi untuk melawan Portugis dan Belanda yang sering campur tangan. Pada mulanya, beliau diamanahkan menjadi ketua pengawal peribadi dan protokol di dalam dan di luar istana, bergandingan dengan Cut Limpah yang berkhidmat sebagai pegawai Perkhidmatan Rahsia dan Perisikan Negara.
Tegas dan Tangkas
Berbekalkan pendidikannya, selepas menamatkan pengajian di Jabatan Angkatan Laut di Maa’had Baitul Maqdis, Malahayati dilantik menjadi Panglima Protokol Istana Darud Kesultanan Aceh Darussalam, serta suaminya yang dilantik sebagai Laksamana. Sumber maklumat dari seorang kapten kapal Belanda yang merupakan warga British, John Davis, mendedahkan fakta bahawa di bawah pimpinan tentera Laksamana Malahayati, Kesultanan Aceh mempunyai peralatan tentera laut.
Malahayati merupakan tokoh yang tegas dan tangkas dalam mengkoordinasikan pasukannya di laut, mengawasi pelbagai pelabuhan di bawah kendalian syahbandar, dan mengawasi kapal-kapal milik Kesultanan Aceh Darussalam dengan teliti. Malah, dalam pertempuran di Teluk Haru, Kesultanan Aceh berjaya mengusir Portugis. Namun malangnya, suami Malahayati meninggal dunia di palagan (medan perang, ed.) Selat Melaka bersama-sama dengan kira-kira seribu orang Aceh yang lain.
Mengetuai Inong Balee, Janda-janda Pahlawan yang Telah Mati Syahid
Selepas kematian suaminya, Malahayati mengambil inisiatif memohon kepada Sultan Mukammil supaya membentuk armada perang yang tidak pernah wujud sebelum ini. Askar tersebut merupakan balu pendekar Aceh yang gugur dalam pertempuran di Selat Melaka yang bernama Laskar Inong Balee dengan jumlah 2,000 orang. Pada masa tersebut, Kesultanan Aceh semakin meningkatkan aspek keselamatan akibat campur tangan Portugis sehingga usul untuk membentuk armada dikabulkan. Malahayati dijadikan Komander Armada Inong Balee atau Armada Balu Wanita. Pasukan tersebut berpangkalan di Teluk Lamreh Kraung Raya. Kubu pertahanan Kuto Inong Balee dibina setinggi kira-kira tiga meter lengkap dengan meriam tempur. Armada ini menyusun strategi perang di darat dan di laut. Di laut, pasukan Inong Balee dilengkapi dengan lebih seratus kapal perang. Akibatnya, armada asing yang menyeberangi Selat Melaka menjadi gerun.
Jeneral Belanda Tewas di Tangan Malahayati
Pada 21 Jun 1599, pasukan tentera dari Belanda yang berperang dengan Kesultanan Banten sampai di Aceh. Rombongan yang diketuai oleh Cornelis dan Frederick de Houtman disambut dengan baik. Namun, secara licik kumpulan asing itu malah menyerbu pelabuhan Aceh. Malahayati dan kumpulannya menakluki kapal perang Belanda yang diketuai oleh Jeneral Cornelis de Houtman yang dikenali sebagai seorang yang kejam. Bahkan, Cornelis de Houtman kalah di tangan Malahayati pada perlawanan satu lawan satu di bahagian dek kapal pada 11 September 1599. Adiknya pula, Frederich de Houtman tertangkap dan dipenjarakan selama lebih kurang dua tahun. Dari sinilah akhirnya Malahayati diberi gelaran Laksamana (Admiral).
Kesultanan Aceh dengan Laskar Inong Balee yang diketuai oleh Malahayati menjadi penjaga perlawanan yang paling depan. Pasukan Belanda yang datang juga berjaya dikalahkan. Namun, pada 21 November 1600 Belanda kembali datang untuk berperang dan diketuai oleh komando Paulus van Caerden. Pasukan ini dapat merampas dan menenggelamkan kapal-kapal yang penuh dengan rempah di pantai Aceh.
Pada bulan Jun 1601, Malahayati berjaya menangkap Laksamana Belanda, Jacob van Neck, yang sedang berlayar di pantai Aceh. Setelah berbagai peristiwa yang terjadi, Belanda akhirnya mengirimkan surat diplomatik dan meminta maaf kepada Kesultanan Aceh melalui utusan Maurits van Oranjesent.
Perunding Ulung
Kemudian pada bulan Ogos, Malahayati mengetuai Aceh untuk berbincang dengan dua orang kiriman Maurits van Oranjesent iaitu Laksamana Laurens Bicker dan Gerard de Roy. Pada kesempatan ini, Malahayati menunjukkan kemampuannya sebagai perunding ulung atau orang tengah bagi pihak yang melakukan perundingan. Mereka sepakat untuk melakukan gencatan senjata. Belanda juga perlu membayar 50 ribu gulden sebagai imbalan penyerbuan yang dilakukan oleh Van Caerden.
Sikap elegan Malahayati sampai juga ke telinga Ratu Elizabeth, pemerintah Inggeris. Akibatnya negara raksasa itu memilih cara untuk berbaik ketika hendak melintas Selat Melaka. Pada bulan Jun 1602, Ratu Elizabeth memilih James Lancaster untuk mengirim surat kepada Sultan Aceh agar membuka jalur pelayaran menuju Jawa.
Malahayati merupakan seseorang yang masih memimpin pasukan Aceh ketika berhadapan dengan kumpulan Portugis di bawah Alfonso de Castro yang menyerbu Kreung Raya Aceh pada bulan Jun 1606.
Didikan Kekhalifahan
Beberapa sumber sejarah mengatakan bahawa Malahayati telah tewas dalam pertempuran tersebut. Dia dikuburkan di lereng Bukit Kota Dalam, sebuah kampung nelayan yang berjarak 34 kilometer dari Bandar Aceh, tidak jauh dari Benteng Inong Balee.
Gerak-geri Malahayati untuk membela tanah airnya dari para penjajah, tidak lepas dari peranan pusat Khilafah yang mendidiknya. Semangat jihad dan akidah Islam yang tertanam pada dirinya menjadikannya seorang tokoh yang tidak kenal penat lelah dan berjuang untuk memberikan seluruh kekuatannya. Hingga jiwa terlepas dari raganya. Wallahu’alam.

