Site icon MuslimahHTM News

Keutamaan Umrah Saat Ramadhan

[TSAQAFAH] Keutamaan Umrah Saat Ramadhan

Penulis: Wiwing Noeraini

 

Tidak terasa kita sudah melalui penghujung Ramadhan. Sekalipun badan mulai lelah, tetapi tidak boleh mengurangi semangat untuk memperbanyak amal soleh pada bulan ini.

 

Salah satu amal soleh yang banyak diburu umat Islam saat Ramadhan adalah ibadah umrah. Sejak awal Ramadhan, Masjidil haram mahupun Masjid Nabawi telah diserbu oleh gelombang besar jemaah umrah. Ramadhan memang merupakan puncak musim umrah tahunan bagi umat muslim dunia. Diberitakan, tempahan ibadah umrah Arab Saudi saat ini sudah penuh hingga sampai akhir Ramadhan.[1]

 

Sedangkan bagi muslim di Asia seperti di Indonesia misalnya, hasrat masyarakat terhadap ibadah umrah Ramadhan yang begitu tinggi, sebahagian disebabkan oleh sukarnya untuk dapat menunaikan ibadah haji. Sudahlah usia tidak muda lagi, masih perlu menunggu panggilan ibadah haji hingga berpuluh tahun. Bahkan, ada daftar tunggu yang hampir menembus angka 100 tahun! Sungguh tidak realistik.[2] Oleh sebab itu, umrah Ramadhan pun menjadi pilihan.

 

Pahala Umrah Setara dengan Ibadah Haji

 

Kenapa banyak orang berlumba-lumba melakukan umrah saat Ramadhan? Ini kerana pahalanya yang sangat besar. Jumhur ulama berpendapat bahawa umrah saat bulan suci Ramadhan sangat diutamakan sebab menjadi jalan untuk mendapatkan pahala setara haji.

 

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, dia berkata, “Rasulullah saw. bersabda kepada seorang wanita dari kalangan Anshar, ‘Apa yang menghalangimu untuk melakukan haji bersama kami?’ Dia berkata, ‘Kami hanya ada dua ekor unta, yang satu dibawa oleh bapa dan anaknya, yang satu lagi kami gunakan untuk menyiram kebun.’ Maka Nabi saw. berkata, “Jika datang bulan Ramadhan, lakukanlah umrah kerana umrah itu sama dengan haji.” Dalam riwayat Muslim, “Sama dengan menunaikan haji bersamaku.”

 

Sebahagian ulama berpendapat bahawa keutamaan hadis tersebut berlaku bagi orang yang telah niat berhaji, tetapi dia tidak mampu, kemudian diganti dengan umrah saat Ramadhan. Akan tetapi, para ulama dalam empat mazhab dan yang lainnya berpendapat bahawa keutamaan dalam hadis ini bersifat umum bagi siapa saja yang umrah saat Ramadhan. Umrah di dalamnya sama dengan berhaji bagi semua orang, tidak khusus bagi orang tertentu dalam keadaan tertentu. Inilah pendapat yang lebih kuat, lebih mendekati kebenaran. Hal tersebut dilandasi sebagai berikut.

 

Pertama, terdapat hadis dari beberapa sahabat, Tirmidzi berkata, “Dalam bab ini terdapat riwayat dari Ibnu Abbas, Jabir, Abu Hurairah, Anas, dan Wahab bin Khanbasy. Dalam kebanyakan riwayat, mereka tidak menyebutkan kisah penanya wanita tersebut.”

 

Kedua, amalan manusia sepanjang masa, baik dari kalangan sahabat, tabiin, ulama, mahupun muslih, mereka sangat mementingkan menunaikan umrah saat Ramadhan untuk mendapatkan pahalanya.[3]

 

Oleh sebab itu, jelaslah, pahala umrah Ramadhan setara dengan pahala menunaikan ibadah haji.

 

Umrah Ramadhan Tidak Menggugurkan Kewajipan Haji

 

Sekalipun ibadah umrah saat Ramadhan setara dengan berhaji, hanya saja hal itu tidak menggugurkan kewajipan ibadah haji apabila yang bersangkutan sebelumnya belum pernah berhaji. Ini kerana umrah Ramadhan setara dengan haji dalam hal pahalanya saja.

 

Hal ini dijelaskan Ibnu Hajar al-Asqalani dalam karyanya, Fath al-Bari juz 3, hlm. 604,

 

أَنَّ الْعُمْرَةَ فِي رَمَضَانَ تَعْدِلُ الْحَجَّةَ فِي الثَّوَابِ لَا أَنَّهَا تَقُومُ مَقَامَهَا فِي إسْقَاطِ الْفَرْضِ لِلْإِجْمَاعِ عَلَى أَنَّ الِاعْتِمَارَ لَا يُجْزِئُ عَنْ حَجِّ الْفَرْضِ

 

“Bahawa umrah Ramadhan itu setara haji dalam pahalanya saja, bukan bererti umrah dapat menggantikan haji sehingga kewajipan haji dapat gugur, sebab ulama telah bersepakat (ijmak) bahawa umrah tidak dapat menggugurkan kewajipan haji.”

 

Adapun kesamaan antara pahala umrah saat Ramadhan dan pahala haji adalah dari ukuran pahala, bukan dari jenis dan kualiti. Ini kerana ibadah haji tidak diragukan lagi, lebih mulia daripada ibadah umrah dari sisi jenis amal. Siapa pun yang umrah saat Ramadhan, dia akan meraih seukuran pahala ibadah haji. Hanya saja, beribadah haji memiliki berbagai keutamaan dan keistimewaan, serta kedudukan yang tidak terdapat dalam umrah, seperti berdoa di Arafah, melontar jamrah, menyembelih haiwan korban, dan lain-lain.

 

Oleh sebab itu, jelas, siapa pun yang memiliki kemampuan sehingga sudah terkena taklif wajibnya beribadah haji, tetapi terhalang untuk menjalankannya, maka dia tetap wajib terus mengusahakannya. Dia tidak boleh mencukupkan diri hanya dengan melakukan umrah saat Ramadhan saja.

 

Umrah Ramadhan, Umrah Istimewa

Selain memiliki keutamaan setara dengan haji, umrah Ramadhan juga adalah umrah yang istimewa kerana beberapa perkara.

 

Pertama, meningkatkan iman Islam kerana dengan hadir langsung di Mekah dapat menyaksikan kebesaran Allah yang luar biasa. Bahkan, baru melihat Kaabah saja, nescaya air mata akan jatuh berlinang. Kita akan merasakan benar-benar berjumpa Allah kerana telah memasuki rumah-Nya.

 

Beribadah Ramadhan bersama jutaan orang di satu tempat semata mencari redha-Nya, juga bersama mencari Lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir Ramadhan, pasti akan memberikan pengalaman spiritual yang luar biasa yang menyemaikan rasa rindu mendalam untuk selalu ingin kembali ke tanah suci.

 

Kedua, memotivasi untuk lebih banyak beribadah. Ini kerana keyakinan bahawa saat Ramadhan, semua amal ibadah dilipatgandakan pahalanya oleh Allah Taala. Ini akan memotivasi diri untuk melakukan banyak ibadah selama umrah Ramadhan. Menjalankan solat-solat sunat, seperti sunat rawatib, Dhuha, Tarawih, tahajud, dan witir, akan terasa ringan kerana keyakinan akan pahalanya yang dilipatgandakan oleh Allah SWT. saat Ramadhan. Terlebih, semua solat itu dilakukan di Masjidil haram dan Masjid Nabawi yang pahalanya berlipat kali ganda dibandingkan solat di masjid yang lain.

 

Rasulullah saw. bersabda, “Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih utama daripada 1000 solat di masjid lainnya selain Masjidil haram. Solat di Masjidil haram lebih utama daripada 100,000 solat di masjid lainnya.” (HR Ahmad dan Ibnu Majah).

 

Dapat bayangkan, betapa banyaknya pahala yang diperoleh ketika solat di kedua masjid tersebut saat Ramadhan. Walhasil, semua itu menjadi dorongan untuk terus dan terus beribadah selama berada di sana. Semua ini akan membentuk bi’ah (kebiasaan) baik yang akan terus berlanjut saat seseorang sudah sampai di kampung halaman.

 

Ini pun sekaligus menjadi petanda, apakah ibadah umrah kita diterima oleh Allah atau tidak? Ketika pulang umrah menjadi lebih baik, lebih banyak beribadah, dan lebih taat kepada Allah, maka itu adalah salah satu petanda bahawa Allah menerima ibadah umrah kita. Akan tetapi sebaliknya, jika sepulang umrah tidak mengubah sikap perilaku dan ibadah, bahkan lebih buruk, boleh jadi itu petanda umrah kita tidak bernilai di sisi Allah Taala. Na’udzubillahi min dzalik.

 

Ketiga, memperoleh kesempatan berdoa di tempat-tempat mustajab sehingga kita dapat bermunajat kepada Allah dengan sepuasnya. Di Masjidil haram ada bebrapa tempat yang mustajab untuk berdoa. Iaitu Multazam, tempat atau jarak antara sudut Hajar Aswad dan pintu Kaabah. Juga ada Hijir Ismail, Rukun Yamani, dan Maqam Nabi Ibrahim as.. Sedangkan di Masjid Nabawi, salah satu tempat mustajab berdoa adalah di Raudhah. Letak Raudhah dijelaskan oleh Nabi saw., “Antara rumahku dan mimbarku terdapat taman di antara taman syurga (Raudhah).” (HR Bukhari dan Muslim).

 

Dengan demikian, umrah Ramadhan hakikatnya telah menggabungkan waktu dan tempat yang mustajab. Inilah saat yang tepat untuk merenung dan mengevaluasi diri, betapa banyak kesalahan dan dosa yang sudah kita buat selama ini. Kemudian bermohon semoga Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya, dan semoga umrah ini menjadi penghapus semua dosa dan kesalahan yang sudah kita lakukan.

 

Diriwayatkan dari Abu Hurairah, Rasulullah saw. bersabda, “Umrah hingga umrah berikutnya merupakan penebus kesalahan antara keduanya dan haji mabrur, tidak ada balasan baginya kecuali syurga.” (HR Malik, Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, An-Nasai, Ibnu Majah).

 

Yang tidak kalah penting, umrah Ramadhan juga saat yang penting untuk meminta agar Allah memberikan kekuatan dan kemudahan untuk dapat menerapkan hukum-hukum-Nya secara kaffah. Juga meminta pertolongan-Nya agar Khilafah segera tertegak sehingga syariat-Nya dapat diterapkan secara sempurna. Tidak ada yang tidak mungkin ketika Allah telah berkehendak. Hanya dengan izin-Nyalah syariat Islam kaffah dalam naungan Khilafah dapat segera terwujud.

 

Keempat, umrah Ramadhan menjadi sarana meningkatkan ukhuwah islamiyyah, yakni memupuk persaudaraan di antara kaum muslim dari berbagai belahan dunia. Siapa pun yang pernah umrah, lebih-lebih lagi umrah Ramadhan, akan merasakan betapa besarnya rasa persaudaraan di antara jemaah umrah. Mereka saling berbagi makanan dan minuman untuk berbuka puasa mahupun sahur. Semua berlumba-lumba untuk memberikan apa pun yang mereka miliki, juga saling membantu ketika ada yang mengalami kesulitan. Sekalipun tidak jarang ada cabaran bahasa dalam berkomunikasi, tetapi imanlah yang menyatukan. Semua terasa indah sekalipun hanya dengan isyarat dan bahasa kalbu.

 

Khatimah

 

Demikianlah, begitu besarnya pahala umrah saat bulan yang mulia ini. Sangat disayangkan, bahkan merugi, bagi siapa pun di antara kaum muslim yang memiliki kemampuan fisik maupun finansial, tetapi tidak terpanggil untuk menunaikan ibadah umrah ini. Boleh jadi hati dan fikirannya telah tertutup oleh dosa-dosa yang menggunung. Oleh sebab itu, bersegeralah untuk meminta ampun kepada-Nya. Semoga Allah segera memanggil kita menjadi tamu-tamu-Nya.

 

Labbaik allahumma labbaik. Labbaik laa syarika laka labbaik. Innal hamda, wan ni’mata laka wal mulk, laa syarika lak.

 

“Ya Allah, aku memenuhi panggilan-Mu. Ya Allah, aku memenuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya pujian dan kenikmatan hanya milik-Mu, dan kerajaan hanyalah milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.”

 

Wallahualam bissawab.

 

Senarai Rujukan:

  1. https://www.okezone.com/tren/read/2023/04/05/620/2793633/diserbu-jamaah-reservasi-ibadah-umrah-arab-saudi-sudah-penuh-sampai-akhir-ramadhan
  2. https://www.ventour.co.id/3-alasan-mengapa-antrian-haji-lama-hingga-puluhan-tahun/
  3. https://islamqa.info/id/answers/104926/makna-umrah-di-bulan-ramadan-sama-dengan-haji
Exit mobile version