[Kaffah] Al-Quran Pembawa Perubahan Menuju Kemuliaan
Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya al-Quran diturunkan. Fungsinya adalah sebagai petunjuk bagi umat manusia. Sudah tentu agar mereka tidak tersesat di dunia. Allah SWT berfirman,
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
“Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya Al-Quran diturunkan, sebagai petunjuk bagi manusia, yang mengandungi pelbagai penjelasan atas petunjuk tersebut, sekaligus sebagai pembeza (hak dan batil).” [TMQ al-Baqarah (2): 185].
Al-Quran bukan hanya turun pada bulan Ramadhan, sebagai bulan yang amat istimewa, al-Quran juga turun pada malam yang sangat istimewa, iaitu Lailatulqadar. Allah SWT berfirman,
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sungguh Kami menurunkan Al-Quran pada saat Lailatulqadar.” [TMQ al-Qadr (97): 1].
Sesungguhnya turunnya al-Quran adalah peristiwa yang amat dahsyat. Secara tidak langsung, hal demikian boleh kita fahami dari ayat lain, iaitu firman Allah SWT seperti berikut,
لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآنَ عَلَى جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُتَصَدِّعًا مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَتِلْكَ الْأَمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
“Andai al-Quran ini Kami turunkan di atas gunung, kamu (Muhammad) pasti menyaksikan gunung itu tunduk dan pecah berkeping-keping kerana takut kepada Allah. Perumpamaan itu Kami buat untuk manusia agar mereka mahu berfikir.” [TMQ al-Hasyr (59): 21].
Saat menafsirkan ayat ini, Imam Ath-Thabari menyatakan, “Gunung itu tunduk dan terpecah-belah kerana begitu takutnya kepada Allah meskipun gunung itu amat keras. Tidak lain kerana gunung tersebut sangat risau dan tidak sanggup menunaikan hak-hak Allah yang diwajibkan atas dirinya, iaitu mengagungkan al-Quran.” [Ath-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta’wîl al-Qur’ân, 23/300].
Adapun Imam Al-Baidhawi menafsirkan ayat ini dengan menyatakan, “Ayat ini merupakan gambaran betapa besarnya kehebatan dan pengaruh al-Quran.” [Al-Baidhawi, Anwâr at-Tanzîl wa Asrâr at-Ta’wîl, 3/479].
Oleh kerana itulah, menurut Abu Hayan al-Andalusi, ayat ini merupakan celaan kepada manusia yang keras hati dan perasaannya tidak terpengaruh sedikit pun oleh al-Quran. Sedangkan jika gunung yang tegak dan kukuh tersebut pasti tunduk dan patuh pada al-Quran, sepatutnya manusia lebih perlu untuk tunduk dan patuh pada al-Quran (Abu Hayan al-Andalusi, Bahr al-Muhîth, 8/251).
Sayangnya, apa yang dinyatakan oleh Abu Hayan al-Andalusi ini justeru banyak terjadi pada saat ini. Ramai manusia tidak tunduk dan patuh pada al-Quran. Ramai yang bahkan tidak bergetar langsung saat al-Quran dibacakan.
Perkara itu boleh terjadi kerana banyak hati manusia yang sudah keras. Bahkan lebih keras dari batu. Tidak sedikit pun terpengaruh oleh bacaan al-Quran. Apalagi tergerak untuk mengamalkan al-Quran dan menerapkan hukum-hukumnya, iaitu syariat Islam.
Bahkan saat ini terdapat usaha mengaitkan penegakan syariat Islam dengan radikalisme. Secara tidak langsung mereka ini telah bersikap jahat terhadap al-Quran sebagai sumber syariat Islam.
Al-Quran dan Perubahan
Sejarah membuktikan bahawa al-Quran benar-benar membawa perubahan besar bagi umat manusia. Dahulu, sebelum al-Quran diturunkan, bangsa Arab terkenal sebagai bangsa yang dipenuhi dengan kebodohan dan kezaliman. Pelbagai kemaksiatan yang mereka lakukan. Di antaranya: perzinaan, perjudian, mabuk, penipuan dalam jual beli, riba, pembunuhan terhadap bayi-bayi yang baru lahir, peperangan antara suku, dll..
Semua itu adalah di antara pelbagai kemaksiatan yang telah mendarah daging di tengah-tengah masyarakat. Kemaksiatan mereka yang paling besar tentu saja kemusyrikan dengan tradisi penyembahan terhadap berhala. Berhala ini mereka pertuhankan. Padahal mereka sendiri yang membuat berhala tersebut. Itulah mengapa zaman itu disebut sebagai zaman jahiliah (kebodohan).
Namun demikian, saat baginda Rasulullah SAW diutus kepada mereka dengan membawa al-Quran, dalam waktu yang singkat, hanya sekitar 23 tahun, bangsa Arab—yang kemudian menjadi bangsa muslim—berubah 180 darjah. Dari kegelapan menuju cahaya. Dari kejahiliahan menuju kemuliaan. Dari kebiadapan menuju peradaban. Dari sebuah bangsa yang tidak dijangka akan menjadi bangsa yang memimpin peradaban selama tempoh waktu yang amat panjang.
Tiada henti, selama tidak kurang dari 14 abad kaum muslimin menguasai dua pertiga dunia dengan peradabannya yang tinggi dan mulia. Hal itu telah diakui ramai bahkan oleh para cendekiawan Barat yang jujur. Emmanuel Deutscheu, seorang cendekiawan Jerman, pernah berkata, “Semua ini (iaitu kemajuan peradaban Islam, red.) telah memberikan kesempatan baik bagi kami (Eropah) untuk mencapai kebangkitan (renaissance) dalam ilmu pengetahuan moden. Justeru itu, sewajarnyalah kami senantiasa menitiskan air mata tatkala kami teringat akan saat-saat jatuhnya Granada.” (Granada adalah benteng terakhir Kekhalifahan Islam di Andalusia yang jatuh ke tangan bangsa Kristian Eropah).
Hal yang sama diungkapkan oleh Montgomery Watt, “Adalah munasabah untuk mengatakan bahawa tamadun Eropah tidak dibina oleh proses penjanaan semulanya sendiri. Tanpa sokongan tamadun Islam yang menjadi ‘dinamo’nya, Barat bukanlah apa-apa.”
Perkara yang sama juga dinyatakan oleh Will Durrant, Jacques C. Reister, dan masih ramai yang lain. Bahkan mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, semasa berpidato pada tarikh 5 Julai 2009, antara lain menyatakan, “Peradaban dunia berhutang besar pada Islam. Islamlah—di tempat-tempat seperti Universiti Al-Azhar—yang membawa cahaya ilmu sepanjang berabad-abad dan membuka jalan bagi era kebangkitan dan era pencerahan di Eropah.”
Apa yang tidak diakui secara jujur oleh Barat, malah mereka cenderung untuk menutupi hakikat bahawa segala pencapaian tamadun Islam dan umat Islam selama berabad-abad telah berlaku pada era Khalifah Islam. Bahkan boleh dikatakan, semua pencapaian kemajuan ini tidak boleh dipisahkan daripada peranan pusat Khilafah. Kecemerlangan sejarah ini berlaku apabila umat Islam melaksanakan sistem pemerintahan Islam iaitu Khilafah yang menjadikan al-Quran sebagai sumber hukum yang mengatur segala aspek kehidupan manusia.
Berkat Al-Quran
Semua pencapaian kemajuan peradaban Islam dan kaum muslim selama berabad-abad itu tentu dari keberkatan al-Quran. Ini pun diakui bahkan oleh para cendekiawan Barat sendiri. “Hendaklah diingat, al-Quran memegang peranan yang lebih besar bagi kaum muslim daripada Bible dalam agama Kristian… Sungguh, sebuah kitab seperti ini patut dibaca secara meluas di Barat, terutama pada masa kini…” (E. Denisen Ross, seperti dikutip dalam buku Kekaguman Dunia terhadap Islam)
Prof. G. Margoliouth dalam De Karacht van den Islam juga menulis, “Penyelidikan telah menunjukkan bahawa yang diketahui oleh sarjana-sarjana Eropah tentang falsafah, astronomi, matematik, dan ilmu pengetahuan seumpama itu, selama beberapa abad sebelum renaissance, secara garis besar datang dari buku-buku dalam bahasa Arab. Al-Quranlah yang memberikan dorongan pertama untuk kajian-kajian tersebut di antara orang-orang Arab dan kawan-kawan mereka.”
Itu sebabnya, W.E. Hocking memberikan komentar, “Oleh kerana itu, saya merasakan benar dalam penegasan saya bahawa al-Quran mengandung banyak prinsip yang diperlukan…” (The Spirit of World Politics, 1932, hlm. 461).
Pentingnya Kembali pada Al-Quran
Sebagai konsekuensi keimanan pada al-Quran, sudah jelas yang kaum muslim wajib merujuk pada al-Quran; baik dalam kehidupan peribadi, bermasyarakat, mahupun bernegara. Apalah ertinya mengimani al-Quran sebagai petunjuk kehidupan, tetapi dalam kehidupan seharian, petunjuk al-Quran itu dicampakkan. Isinya tidak diamalkan. Hukum-hukumnya tidak diterapkan dalam seluruh aspek kehidupan.
Sedangkan realitinya, saat al-Quran dicampakkan, sebagaimana terjadi pada saat ini, kehidupan kaum muslim nyaris porak peranda di pelbagai sisi. Kemiskinan, misalnya, masih terus terjadi, justeru di tengah-tengah kekayaan yang melimpah ruah di negeri ini. Angka pengangguran masih tinggi. Ketidakstabilan sosial dan ekonomi makin tidak terkawal.
Korupsi semakin menjadi-jadi. Jenayah (seperti pencurian, pemerkosaan, pembunuhan, dll) semakin menghiris hati. Kerosakan moral (seperti seks bebas, LGBT, dll.) semakin terbuka dan semakin berani. Ketidakadilan hukum semakin terang-terangan dipertontonkan.
Semua kerosakan ini tidak lain adalah sebagai akibat dari sikap umat Islam, khususnya para penguasanya, yang enggan diatur oleh al-Quran. Allah SWT berfirman,
وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى
“Siapa saja yang berpaling dari peringatanKu (al-Quran) maka bagi dia kehidupan yang sempit dan pada hari kiamat nanti Kami akan membangkitkan dia dalam keadaan buta.”[TMQ Taha (20): 12]
Oleh kerana itu, agar bangsa ini tidak terus-menerus hidup dalam kesempitan hidup dan kemerosotan, mahu tidak mahu, mereka wajib kembali pada al-Quran. Mereka wajib mengamalkan al-Quran dan menerapkan seluruh hukumnya.
Apalagi mengamalkan al-Quran dan menerapkan seluruh hukumnya merupakan bukti hakiki dari ketakwaan sebagai hikmah yang mesti diraih dari puasa Ramadhan. Saat takwa benar-benar diwujudkan secara kolektif di negeri ini, yang dibuktikan dengan mengamalkan dan menerapkan al-Quran dalam seluruh aspek kehidupan, pasti pelbagai keberkahan yang akan Allah SWT berikan kepada bangsa ini. Allah SWT berfirman,
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan membukakan untuk mereka keberkahan dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (ayat-ayat- Kami). Kerana itu Kami mengazab mereka kerana apa yang telah mereka lakukan itu.” [TMQ al-A’raf (7) 96].
Wallahu’alam bissawab.
Hikmah:
Uthman bin Affan RA w. 35 H berkata,
لَوْ طَهَرَتْ الْقُلُوْبُ لَمْ تَشْبَعْ مِنْ قِرَاءَةِ الْقُرْآنِ
“Jika hati bersih, ia tidak akan kenyang dari membaca al-Quran.” (Al-Ghazali, Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, 3/ 5).
Sumber: Buletin Kaffah No. 289 (16 Ramadhan 1444 H/7 April 2023 M)

