[Tarikh Khulafa] Peperangan yang Dilakukan Khalifah Harun ar-Rasyid terhadap Empayar Rom
Penulis: Nabila Ummu Anas
Kekuatan pasukan umat Islam pada masa pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid sangat kuat dan hebat sehingga menjadi susuk yang menakutkan pemerintahan Empayar Rom. Ini disebabkan oleh khalifah memimpin peperangan secara langsung dan berturut-turut. Peperangan umat Islam juga disertai komandan militer terkemuka, para pegawai tinggi negara, tokoh-tokoh terkemuka Arab, serta penduduk Khurasan.
Pada 181 H, Harun ar-Rasyid melancarkan serangan secara langsung ke Sha’ifah dan Berjaya menaklukkan benteng As-Safsaf setelah bertempur dengan sengit. Kemudian dia melancarkan serangan kembali dan berjaya menaklukkan benteng Qarah dan mengepungnya.
Ratu Irene Berdamai dengan Kekhalifahan
Empayar Rom ketika itu diperintah oleh Ratu Irene. Irene sepakat untuk melakukan gencatan senjata dan berdamai dengan Khalifah Harun ar-Rasyid dengan pampasan pembayaran upti yang mesti dibayar oleh Empayar Rom kepada kekhalifahan Harun ar-Rasyid.
Hal itu dilakukan ketika Irene melihat pasukan Islam terus melancarkan serangan dan tekanan terhadap wilayah kekuasaannya, sedangkan pemerintahannya tidak mampu mempertahankan diri. Rom saat itu berada di antara dua serangan, umat Islam di satu pihak dan pemerintahan Charlamague di pihak lain. Kedua-dua pemerintahan ini saling menyerang kerana Charlamague ingin memperluaskan kekuasaannya dan mengembalikan Empayar Rom kepada mereka.
Perang, Jawapan atas Penghinaan Empayar Rom
Ketika terjadi pemberontakan terhadap pemerintahan Irene, dia dipaksa untuk turun takhta dan kedudukannya digantikan oleh Naqfur yang kemudian mengadakan perjanjian dengan Charlamague. Naqfur menulis surat kepada Khalifah Harun ar-Rasyid, “Sesungguhnya Ratu Irene yang berkuasa sebelum aku telah menempatkan dirimu di dalam adunan roti. Sedangkan, dia menempatkan dirinya di antara tentera dan petunjuk jalan. Oleh kerana itulah, dia membawakan banyak harta kepadamu yang tentunya aku tidak akan membawakan jumlah yang sama kepadamu. Akan tetapi, semua itu tidak lain kerana kelemahan perempuan dan kebodohan mereka. Apabila anda membaca suratku ini, maka kembalikanlah harta benda yang telah dikirimkannya kepadamu dan tebuslah dirimu kerana melakukan penyitaan harta benda. Jika tidak, maka yang ada di antara kita hanyalah pedang.”
Setelah membaca surat tersebut, kemarahan Khalifah Harun ar-Rasyid serta merta memuncak, kemudian beliau menulis surat balasan, ”Bismillahirrahmannirrahim, dari Harun pemimpin orang-orang yang beriman kepada Naqfur anjing Rom. Aku telah membaca suratmu dan jawapannya akan segera kamu saksikan tanpa harus kamu dengar.”
Saat itu juga dia segera mempersiapkan diri bersama pasukannya dan bergerak hingga mencapai pintu gerbang Heraklia dan berjaya menaklukkan serta memperolehi banyak ghanimah. Harun ar-Rasyid juga banyak membawa tawanan. Dia sentiasa memimpin peperangan dan memusnahkan kota sampai ke akarnya.
Akhirnya Naqfur meminta berdamai dengan kesediaannya membayar cukai dan upti yang mesti dibayarkan setiap tahun kepada kekhalifahan Abbasiyah di Baghdad. Khalifah Harun ar-Rasyid menerima permintaan tersebut.
Peperangan yang Terus Berlangsung
Namun, ketika kembali dari peperangannya dan bergerak hingga sampai di Riqqah, Naqfur melanggar perjanjian dan bersikap khianat. Cuaca dingin yang sangat ekstrem menyebabkan pasukan muslim enggan kembali ke sana hingga cuaca ekstrem mereda.
Peperangan yang berlangsung antara kedua-dua belah pihak setelah pelanggaran perjanjian tersebut terus terjadi. Pada 189 H terjadilah penebusan tawanan perang antara pemerintahan umat Islam dengan Empayar Rom sehingga tiada seorang pun tersisa di wilayah Empayar Rom, kecuali ditebus.
Pada 190 H, Khalifah Harun Ar-Rasyid memimpin pasukan untuk menyerang Sha’ifah dan berjaya menaklukkan Heraklia dan menyebarkan tentera dan mata-matanya ke wilayah Rom secara keseluruhan. Khalifah Harun ar-Rasyid memimpin pasukan yang memiliki kekuatans sebanyak 135 ribu orang. Kejayaannya dalam menaklukkan Heraklia terjadi pada Syawal dan memusnahkan serta menawan seluruh warganya setelah menetap di sana selama tiga puluh hari.
Pada 191 H, Harun ar-Rasyid kembali menyerang Sha’ifah yang dipimpin oleh Hartsamah bin A’yun, salah seorang komandan perang terkemuka dan didukung dengan kekuatan tiga puluh ribu pasukan dari Khurasan, dibantu Masrur sang pembantu yang bertugas sebagai menteri perbelanjaan negara dan segala persoalan teknikal.
Khalifah Harun ar-Rasyid bergerak ke Darb al-Hadats dan menempatkan Abdullah bin Malik di sana dan juga Sa’id bin Salam bin Qutaibah di Mar’asy. Kemudian Empayar Rom melancarkan serangan ke wilayah tersebut dan berjaya menewaskan sejumlah pasukan umat Islam.
Khalifah mengutus Muhammad bin Mazid ke Tharasus, sedangkan khalifah sendiri menetap di Darb al-Hadats selama tiga hari pada bulan Ramadhan. Setelah itu, khalifah kembali ke Riqqah.
Sumber: Syeikh Muhammad al-Khudari, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Abbasiyah, Puncak Keemasan dan Kejayaan Kekhilafahan Islam, Pustaka Al Kautsar

