Site icon MuslimahHTM News

BOLEHKAH PUASA SUNNAH SYAWAL SEBELUM MENG-QADHA’ PUASA RAMADHAN?

BOLEHKAH PUASA SUNNAH SYAWAL SEBELUM MENG-QADHA’ PUASA RAMADHAN?

Oleh: Ust M Shiddiq Al Jawi

 

Soalan :

Ustaz, bolehkah seseorang yang masih mempunyai hutang puasa Ramadhan misalnya perempuan yang haid, berpuasa sunnah 6 hari di bulan Syawal terlebih dahulu baru meng-qadha’ puasa Ramadhannya? (Fauzi Saifurrahman).

 

Jawapan :

            Para ulama berbeza pendapat mengenai boleh tidaknya seseorang berpuasa sunnah 6 hari di bulan Syawal sebelum meng-qadha’ puasa Ramadhannya dalam dua pendapat.

 

Pertama, jumhur ulama, iaitu ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’i secara global membolehkannya. Ulama mazhab Hanafi membolehkan secara mutlak tanpa disertai kemakruhan, sedangkan ulama mazhab Maliki dan Syafi’i membolehkan disertai kemakruhan (jaa`iz ma’a al karaahah).

 

Kedua, ulama mazhab Hanbali mengharamkan puasa sunnah 6 hari bulan Syawal sebelum meng-qadha’ puasa Ramadhan. (Ibnu Qudamah, Al Mughni, Juz III, hlm. 145; Al Mausu’ah Al Fiqhiyyah, Juz XXVIII, hlm. 92-93).

 

Pendapat yang lebih kuat (rajih) adalah pendapat jumhur ulama yang membolehkan seseorang berpuasa sunnah 6 hari di bulan Syawal sebelum meng-qadha’ puasa Ramadhannya. Hal itu disebabkan meng-qadha’ puasa Ramadhan adalah kewajipan yang longgar waktunya (wajib muwassa’), iaitu dapat dikerjakan mulai bulan Syawal hingga bulan Syaaban.

 

Dalil bahawa meng-qadha’ puasa Ramadhan adalah kewajipan yang longgar waktunya (wajib muwassa’) adalah hadis dari ‘Aisyah RA yang berkata, ”Saya pernah mempunyai kewajipan [qadha’] puasa Ramadhan, maka saya tidak mampu meng-qadha’-nya kecuali di bulan Syaaban.” (kaana yakuunu ‘alaiyya shaum min ramadhan, fa-maa astathii’u an aqdhiyahu illaa fii sya’baan) (HR Bukhari dan Muslim). Hadis ini menunjukkan bahawa meng-qadha’ puasa Ramadhan itu waktunya longgar dari bulan Syawal hingga bulan Syaaban, yakni hanya satu bulan sebelum Ramadhan tahun berikutnya. Padahal sudah diketahui bahawa ‘Aisyah RA adalah orang yang sangat gemar melaksanakan ibadah-ibadah yang sunnah termasuk puasa sunnah 6 hari di bulan Syawal.

 

Imam Ibnu Baththal berkata mengenai kelonggaran waktu meng-qadha’ puasa Ramadhan, ”Para ulama telah sepakat bahawa barangsiapa yang meng-qadha’ puasa Ramadhan yang ditinggalkannya di bulan Syaaban sesudahnya, maka dia dapat disebut orang yang telah menunaikan kewajipannya berpuasa Ramadhan tanpa melalaikan kewajipan itu.” (Ibnu Baththal, Syarah Al Bukhari, Juz IV, hlm. 95).

 

Imam Ibnu Rajab Al Hanbali berkata mengenai bolehnya mendahulukan kesunnahan (an nafl) dari kewajipan yang longgar waktunya (wajib muwassa’), ”Kaedah nombor 11;’Barangsiapa yang mempunyai kewajipan, apakah dia boleh melakukan kesunnahan (an nafl) sebelum menunaikan kewajipan itu dalam jenisnya [yang sama] ataukah tidak? Ini ada dua jenis, yang pertama, dalam ibadah mahdhah. Jika ibadah mahdhah ini waktunya longgar (muwassa’), maka boleh melakukan kesunnahan sebelum menunaikan kewajipan seperti halnya solat menurut kesepakatan ulama, dan boleh pula melakukan kesunnahan itu sebelum meng-qadha’ suatu kewajipan seperti halnya puasa Ramadhan menurut pendapat yang lebih sahih.” (Ibnu Rajab Al Hanbali, Al Qawa’id, hlm. 13).

 

Berdasarkan penjelasan ini, maka boleh hukumnya seseorang yang masih mempunyai hutang puasa Ramadhan disebabkan uzur syarie, misalnya kerana haid, sakit atau perjalanan (safar), untuk melakukan puasa sunnah 6 hari pada bulan Syawal walaupun dia belum meng-qadha’ puasa Ramadhannya. Namun yang lebih afdhal (meski tidak wajib) adalah dia meng-qadha’ puasa Ramadhan lebih dahulu, baru kemudian berpuasa sunnah 6 hari pada bulan Syawal. Wallahu a’lam.

 

Sumber: fissilmi kaffah

Exit mobile version