[Politik Syawal] Islam Memberi Kesejahteraan Kepada Manusia
Allah SWT berfirman,
إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰۤ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُوا۟ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا یَعِظُكُم بِهِۦۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِیعَۢا بَصِیرࣰا
“Sesungguhnya Allah menyuruhmu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik pemberi pengajaran kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Maha Melihat.” [TMQ an-Nisa’ (4):58]
Ayat di atas memberi pemahaman bahawa setiap manusia wajib menunaikan amanat dan sentiasa berusaha menegakkan keadilan dalam melaksanakan segala amanat. Perkara yang paling utama dalam menunaikan amanat ialah para pemimpin dan penguasa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal rakyatnya. Maka mereka berkewajipan untuk memutuskan setiap perkara dalam pengurusan rakyatnya dengan adil agar kesejahteraan dan keamanan hidup terwujud.
Apakah Isunya?
Keadilan hanya boleh dicapai dengan melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh. Namun realiti hari ini menunjukkan manusia hidup dalam kesempitan dan kesusahan kerana pemimpin tidak memerintah mengikut syariat Islam. Sejak wabak Covid-19 melanda, ekonomi di seluruh dunia berada dalam keadaan teruk, termasuk Malaysia. Ramai orang kehilangan pekerjaan dan perniagaan lumpuh.
Malah sehingga hari ini, masih ramai pihak yang mendesak kerajaan membenarkan lagi pengeluaran duit caruman dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ada yang sangat memerlukannya untuk menampung perbelanjaan kehidupan seharian, keperluan sekolah anak-anak, membayar hutang dan sebagainya. Bagaimanapun, kerajaan tidak membenarkannya kerana pengeluaran tambahan itu boleh membawa lebih banyak masalah kepada pencarum selain menjejaskan pendapatan KWSP.
Menjawab soalan mengenai isu ini pada sidang Parlimen, Menteri Kewangan Malaysia berkata lebih dua pertiga atau 71 peratus pencarum KWSP aktif berumur 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang yang cukup untuk bersara atas paras kemiskinan sehingga dianggarkan ahli perlu bekerja antara empat hingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik (Selangorkini, 23/2/23).
Hidup rakyat umpama sudah jatuh ditimpa tangga. Malah ada yang tidak mampu untuk bangkit semula kerana tekanan yang sangat berat sehingga sanggup melakukan jenayah atau membunuh diri. Walaupun kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP, tindakan ini tidak akan menyelesaikan masalah rakyat seperti langkah yang pernah diambil sebelum ini. Masalah kemiskinan di negara ini tidak akan selesai kerana ia adalah masalah kemiskinan berstruktur, iaitu kemiskinan yang berpunca daripada kelemahan sistem yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin dalam mengurusi umat. Sistem yang rosak tersebut ialah sistem kapitalisme yang menjalankan pengagihan kekayaan yang tidak seimbang di kalangan masyarakat. Malangnya, yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin.
Muhasabah Syawal
Dalam Islam, masalah kemiskinan boleh diselesaikan seperti pada era Khalifah Umar Abdul Aziz. Ketika itu tidak ditemui golongan asnaf, iaitu golongan yang layak menerima zakat. Untuk merealisasikannya, syariat Islam mestilah dilaksanakan dalam aspek sistem ekonomi iaitu dengan memastikan:
(i) Jaminan kecukupan keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi setiap individu,
(ii) Memberi peluang kepada individu untuk memenuhi keperluan sekunder dan tertiari mengikut tahap kemampuannya.
Sistem ekonomi Islam ini juga hanya boleh dilaksanakan di negara (Daulah Islamiyyah) yang menerapkan Islam secara kaffah (keseluruhan), bukan di negara yang menggunakan sistem kapitalis-demokrasi ciptaan kuffar Barat.
Sesungguhnya pemimpin yang adil ialah pemimpin yang mengutamakan kemaslahatan rakyat daripada kepentingan diri sendiri atau hal-hal lain. Inilah perintah Allah SWT dan ajaran yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Pelaksanaan syariat Islam secara kaffah ini telah diteruskan oleh para sahabat Baginda dan khilafah Islamiyyah seterusnya dan wajib diteruskan oleh pemimpin-pemimpin umat Islam hari ini. Ingatlah sabda Rasulullah SAW,
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dimintai pertanggungjawaban atas kepimpinannya.” [HR al-Bukhari dan Muslim].

