Site icon MuslimahHTM News

Hanya Khalifah yang Akan Menjadi Perisai Umat

[HADIS] Hanya Khalifah yang Akan Menjadi Perisai Umat

 

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadis dari jalur Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda,

 

إِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَعَدْلٌ كَانَ لَهُ بِذَلِكَ أَجْرٌ ، وَإِنْ يَأْمُرُ بِغَيْرِهِ كَانَ عَلَيْهِ مِنْهُ [رواه البخاري ومسلم]

“Sesungguhnya seorang imam itu [laksana] perisai. Ia akan dijadikan perisai saat orang akan berperang di belakangnya, dan digunakan sebagai perisai. Jika ia memerintahkan takwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan adil, maka dengannya, ia akan mendapatkan pahala. Namun, jika ia memerintahkan yang lain, maka ia juga akan mendapatkan dosa/azab kerananya.” (HR Bukhari dan Muslim).

 

Yang dimaksud dengan al-imâm adalah khalifah. Para ulama menjadikan tiga lafaz: imam, khalifah, dan amirul mukminin sebagai sinonim, dengan konotasi yang sama. Imam An-Nawawi menjelaskan,

 

«يَجُوْزُ أَنْ يُقَالَ لِلْإِمَامِ: اَلْخَلِيْفَةُ، وَالْإِمَامُ، وَأَمِيْرُ المُؤْمِنِيْنَ»

“Untuk seorang imam [ketua negara], boleh disebut dengan menggunakan istilah: khalîfah, imam, dan amirul mukminin.”

 

Lebih lanjut Imam Nawawi menjelaskan makna al-Imâm Junnat[un] (imam/khalifah itu laksana perisai) dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim, ”Sabda Rasulullah SAW: (الإمام جنة), yakni seperti al-sitr (pelindung). Ini kerana imam (khalifah) mencegah musuh dari perbuatan mencelakai kaum muslim dan mencegah sesama manusia (melakukan kezaliman-pen.), memelihara kemurnian ajaran Islam, rakyat berlindung di belakangnya, dan mereka tunduk di bawah kekuasaannya.”

 

Sementara itu, Imam Al-Mala’ al-Qari menjelaskan hadis ini bahawa kedudukan al-Imam dan yang diungkap dalam hadis yang agung ini juga tidak terbatas dalam peperangan semata, seperti penegasan beliau:

 

”Frasa (وَيُتَّقَى بِهِ) sebagai penjelasan dari kedudukan al-Imam sebagai junnah (perisai), yakni menjadi pemimpin dalam peperangan yang terdepan dari kaumnya untuk mengalahkan musuh dengan keberadaannya dan berperang dengan kekuatannya, seperti keberadaan perisai bagi orang yang dilindunginya dan yang lebih tepat bahawa hadis ini mengandungi konotasi dalam seluruh keadaan. Ini kerana kerana seorang al-Imam menjadi pelindung bagi kaum muslim dalam memenuhi keperluan-keperluannya secara berterusan.”( ‘Ali bin Sulthan Muhammad Abu al-Hasan Nuruddin al-Mala’ al-Qari, Mirqât al-Mafâtiih Syarh Misykât al-Mashâbiih, juz VI, hlm. 2391).

 

Menjadi junnah (perisai) bagi umat Islam, khususnya, dan rakyat umumnya, menescayakan imam mesti kuat, berani, dan terdepan. Bukan orang yang pengecut dan lemah. Kekuatan ini bukan hanya pada peribadinya, tetapi juga pada institusi negaranya. Kekuatan ini dibangun kerana asas peribadi dan negaranya sama, iaitu akidah Islam.

 

Kedudukan imam sebagai perisai tampak jelas ketika ada wanita muslimah yang dinodai kehormatannya oleh orang Yahudi Bani Qainuqa’ di Madinah, Nabi SAW melindunginya, menyatakan perang kepada mereka dan mereka pun diusir dari Madinah. Selama 10 tahun, tidak kurang 79 kali peperangan dilakukan Nabi SAW, demi menjadi junnah bagi Islam dan kaum muslim. Ini tidak hanya dilakukan oleh Nabi, tetapi juga para khalifah setelahnya. Harun ar-Rasyid, di era Khilafah ‘Abbasiyyah, telah menyumbat mulut liar Nakfur, Raja Romawi, dan memaksanya berlutut kepada khalifah. Al-Mu’tashim di era Khilafah Abbasiyyah memenuhi jeritan wanita muslimah yang kehormatannya dinodai oleh tentera Romawi, melumat Amuriah yang mengakibatkan 9000 tentera Romawi terbunuh dan 9000 yang lainnya menjadi tawanan. Begitu juga dengan Sultan ‘Abdul Hamid di era Khilafah Uthmaniyyah, semuanya melakukan hal yang sama. Ini kerana mereka adalah junnah (perisai).

 

Imam di dalam hadis tersebut adalah penguasa kaum muslim yang memimpin negara yang sangat kuat, ditakuti kawan dan lawan. Bukan hanya agama, kehormatan, darah dan harta mereka pun terjaga dengan baik. Tidak ada satu pun musuh yang berani mengancam.

 

Bandingkan dengan saat ini, ketika al-Quran, dan Nabinya dinista, justeru negara dan penguasanya membela penistanya. Ketika kekayaan alamnya dikuasai negara kafir penjajah, jangankan mengambil balik dan mengusir mereka, melakukan rundingan semula pun mereka tidak berani. Bahkan, merekalah yang memberikan kekayaan alamnya kepada negara kafir, sedangkan di negerinya sendiri rakyat terpaksa mendapatkannya dengan susah payah, dan dengan harga yang sangat mahal.

 

Tanpa imam yang kuat yang sanggup menyatukan umat di seluruh dunia, kaum muslim saat ini terpenjara dalam sempadan nasionalisme. Ketika saudara-saudaranya di negara lain dibantai, dimusnahkan, dan para muslimah direnggut paksa kehormatannya, kaum muslim yang lain hanya sanggup terdiam, menangis, dan mengecam tanpa memiliki daya untuk memberikan pertolongan.

 

Tidak ada Mu’tashim yang datang untuk menolong suku Uighur dari genosida China. Tidak ada Harun ar-Rasyid yang datang untuk menegakkan keadilan atas kaum muslim Rohingya. Tidak ada Shalahuddin al-Ayyubi yang datang untuk membebaskan Palestin dari cengkeraman Israel. Tidak ada Muhammad al-Fatih yang mencabar keangkuhan AS serta membungkam mulut besarnya.

 

Tidak ada khalifah yang sanggup menjadi junnah, melindungi kaum muslim dari kezaliman dan memimpin mereka berperang melawan musuh. Malah idea khilafah dimusuhi, didemonisasi, dan dikriminalisasi. Sedangkan hanya khalifah yang mampu menyatukan umat dan mengembalikan kemuliaannya dengan dakwah dan jihad. Oleh kerananya, menjadi kenescayaan bagi kita untuk berjuang mewujudkannya di tengah umat.

 

Sumber: Suaramubalighah.com

 

#khilafahperisaiumat #syarahhadis #Hadis

Exit mobile version