Site icon MuslimahHTM News

Membina Komuniti Dakwah di Kawasan Sekeliling

[NAFSIYAH] Membina Komuniti Dakwah di Kawasan Sekeliling

Dalam pandangan Islam masyarakat diibaratkan sebagai penumpang kapal sebagaimana yang digambarkan dalam hadis Rasulullah SAW.,

“Perumpamaan keadaan suatu kaum yang menjaga hukum-hukum Allah adalah seperti satu rombongan yang menaiki sebuah kapal. Mereka membahagikan tempat dan masing-masing telah mendapat tempatnya; ada yang di atas dan ada yang di bawah. Orang-orang yang berada di bawah, jika hendak mengambil air, mesti melepasi orang-orang yang di atas mereka. Orang-orang yang di bawah berkata, “Kalaulah kita membuat lubang di tempat duduk kita, sudah tentu kita tidak akan menganggu orang-orang yang di atas sana.” Jika mereka (para penumpang yang lain) membiarkannya, maka mereka semua akan binasa.” (HR Al-Bukhari, At-Tirmidzi, dan Ahmad).

Besarnya kepedulian ahli masyarakat terhadap apa yang berlaku di tengah-tengah mereka sangat berkait rapat dengan keselamatan masyarakat secara keseluruhan. Untuk itu, Islam amat menitikberatkan kehidupan bermasyarakat, khususnya jiran tetangga. Demikian pentingnya masalah kejiranan ini, Malaikat Jibril selalu berpesan kepada Rasululah sehingga beliau berfikir bahawa baginda akan menetapkan hak pusaka bagi jiran (HR Al-Bukhari).

 

Dalam hadis lain, Rasulullah juga memerintahkan kepada kita untuk memilih jiran terlebih dahulu sebelum memilih rumah (HR Al-Khatib). Sebabnya, di antara kebahagiaan seorang muslim adalah mempunyai jiran yang soleh, di samping rumah yang luas dan kenderaan yang menggembirakan (HR Ahmad dan Al-Hakim).

Hubungan baik sesama jiran merupakan langkah awal dalam membudayakan penyiaran dan kepimpinan Islam dalam persekitaran. Selain itu, adanya komuniti masyarakat yang sedar dan dibina dengan Islam turut membantu memudahkan pelaksanaan kewajipan amar makruf nahi mungkar dalam persekitaran. Hal ini memerlukan aktiviti dakwah yang bermula dari komuniti yang kecil, kemudian berkembang dan berproses ke arah perubahan masyarakat menjadi masyarakat Islam yang hanya boleh dicapai melalui perubahan pemikiran dan perasaan masyarakat dengan pembinaan intensif dan merealisasikan pendapat Islam dalam masyarakat secara umum.

Usaha membentuk komuniti dakwah dalam persekitaran boleh diusahakan dengan cara membudayakan aktiviti keislaman ataupun memanfaatkan potensi masyarakat, seterusnya mengarahkan mereka agar melakukan akses terhadap penyebaran pendapat Islam (Islamic opinion).

Pendapat Islam yang dimaksudkan ialah gambaran bahawa Islam adalah sebuah agama dan peraturan hidup yang lengkap, meliputi pelbagai aspek kehidupan baik yang berkaitan dengan individu, keluarga, masyarakat, mahupun negara. Tambahan pula, hanya peraturan Islamlah yang dapat menyelesaikan masalah kehidupan manusia dan menjamin keselamatan serta kebahagiaan manusia dunia dan akhirat.

Langkah dakwah seperti ini yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW ketika memulakan dakwah di Mekah. Rasulullah SAW menyampaikan Islam kepada kaum Quraisy secara umum untuk pertama kalinya di Bukit Safa. Kemudian orang-orang yang berminat dan masuk Islam dibina dengan lebih intensif di rumah sahabat Arqam bin Abil Arqam. Tujuannya adalah untuk memproses mereka menjadi kader dakwah yang bersedia mengubah masyarakat Jahiliah menjadi masyarakat Islam. Rasulullah membina para Sahabat dengan memantapkan akidah mereka dan mengajarkan syariat Islam. Selama lebih kurang tiga belas tahun Rasulullah berdakwah di Mekah, beliau juga berhijrah ke Madinah dan berjaya membentuk masyarakat Islam.

Dengan merenung apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sangat penting bagi kita untuk membentuk komuniti dakwah di persekitaran sekeliling demi mempercepatkan perubahan masyarakat. Langkah-langkah praktikal adalah seperti berikut,

1. Bergaul dan bersatu padu dengan persekitaran dalam aktiviti seharian serta membantu menyelesaikan kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat khususnya dari sudut pandang Islam. Dengan cara ini, masyarakat akan melihat kita sebagai wakil Islam yang mengambil berat tentang masalah mereka. Selaras dengan kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat, mereka secara automatik akan menjadikan kita tempat bertanya tentang solusi-solusi Islam. Dari sinilah tampak orang-orang yang mempunyai perhatian dan rasa minat, seterusnya dilakukan interaksi yang lebih intensif.

2. Melakukan pendekatan melalui shillah ukhuwah dengan tokoh-tokoh masyarakat dari pelbagai golongan di kawasan sekitar seperti jiran, ahli persatuan, ahli kesihatan, para ustazah, dan pimpinan Majlis Taklim; jika ada, para bidan, pengurus yayasan dan institusi pendidikan atau orang yang mempunyai pengaruh dan dihormati oleh masyarakat. Tujuannya adalah untuk menjalin ukhuwah Islam dan memupuk kepercayaan dan sokongan terhadap aktiviti keislaman di persekitaran.

3. Mengembangkan siaran Islamik yang melibatkan seisi keluarga pada hari raya, tarbiah untuk pelajar pada hari cuti, latihan keislaman, dll. Pada bulan Ramadhan aktiviti boleh dimeriahkan lagi dengan mengadakan solat sunat tarawih, ceramah, tadarus, solat subuh berjemaah diikuti dengan kuliah subuh, berbuka puasa bersama, itikaf pada sepuluh malam terakhir Ramadhan, dll. Tujuannya adalah untuk mewujudkan suasana perasaan Islam dalam kalangan masyarakat di bulan yang penuh keberkatan, dengan harapan ia akan terus dikekalkan pada bulan-bulan berikutnya.

4. Membesarkan kumpulan tadarus dan pengajian Al-Quran di masjid, surau atau  rumah berserta tafsirnya. Kecintaan kepada al-Quran akan mendorong kecintaan kepada Nabi SAW dan mempelajari hadis serta sirah Nabi. Ini merupakan cara yang sangat berkesan untuk menyampaikan kandungan al-Quran dan hadis yang mengandungi ajaran Islam yang sangat lengkap. Mereka yang berminat boleh diproses untuk dibina dengan lebih intensif.

5. Dalam melihat peluang untuk menyebarkan pendapat, kaji potensi tempat berkumpul masyarakat yang ada di persekitaran berserta ciri-cirinya; contohnya Majlis Taklim, baik di persekitaran masyarakat kampung atau kompleks perumahan, Taman Tadika, Remaja Masjid, dll. Kemudian buat sasaran yang lebih spesifik untuk setiap segmen masyarakat tersebut.

6. Dalam memberikan pendapat Islam, mulakan dengan pendekatan kepada masalah yang wujud dalam kehidupan seharian mereka agar mudah terperangkap dan merasakan bahawa Islam sememangnya solusi terbaik untuk masalah tersebut. Sebagai contoh, apabila berhadapan dengan suri rumah, kita boleh menyediakan topik tentang peranan ibu, keluarga sakinah, pendidikan anak, dll. Bagi remaja mahupun pra-remaja disesuaikan dengan keperluan dan masalah yang sedang berkembang pada dunia remaja seperti pergaulan, trend fesyen, memanfaatkan teknologi yang sesuai digunakan, dll. Bagi topik-topik dalam pembinaan yang lebih intensif boleh dilakukan dengan membentuk kerangka berfikir Islam yang merangkumi penanaman akidah, penggambaran syariat Islam, dakwah Islam dan pembentukan keperibadian Islam. Selain itu, kepekaan dan kefahaman terhadap masalah yang berlaku dalam masyarakat akibat adanya dasar tertentu perlu terus diasah dengan piawaian Islam melalui pengedaran buletin, perbincangan, dan penulisan.

7. Apabila pendapat dan suasana Islam telah dirasai, seterusnya masyarakat mula menjadikan Islam sebagai tolok ukur untuk menilai suka dan benci mereka. Sebagai contoh, apabila dalam persekitaran itu terdapat bentuk kemungkaran seperti berjudi, minum arak, pergaulan bebas, atau perbuatan maksiat yang lain, mereka secara bersama mengingatkan dan berusaha untuk mengubahnya, juga dengan melibatkan tokoh masyarakat. Secara beransur-ansur masyarakat berasa malu dan berbahaya untuk melakukan maksiat sehingga persekitaran berpeluang menjadi lebih baik.

Demikian langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mula membentuk komuniti dakwah di persekitaran kita. Sudah tentu kerjasama dengan suami dan anak-anak sebagai satu pasukan sangat membantu untuk menjayakan langkah ini.

Semoga Allah SWT. memudahkan segala usaha kita untuk mengubah masyarakat ke arah masyarakat Islam.

“Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka melakukan amar makruf nahi mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [TMQ At-Taubah (9): 71].

Wallahualam.

Sumber:

[Nafsiyah] Membangun Komunitas Dakwah di Lingkungan Sekitar

#Nafsiyah
#KomunitiDakwah #DakwahPersekitaran
#MasyarakatIslam

Exit mobile version