Site icon MuslimahHTM News

Menanamkan Adab pada Anak sejak Kecil

[KELUARGA] Menanamkan Adab pada Anak sejak Kecil

Penulis: Najmah Saiidah

 

رَبَّنَا هَبۡ لَـنَا مِنۡ اَزۡوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعۡيُنٍ وَّاجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِيۡنَ اِمَامًا

“Ya Rabbana, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

 

Setelah selesai solat, bahkan dalam apa jua kesempatan, ibu bapa pasti akan membaca doa ini kerana setiap ibu bapa sentiasa menginginkan anak-anaknya menjadi penyejuk hati orang-orang terdekatnya terutama sekali kedua ibu bapa. Apa yang ada di fikiran kita ketika melihat seorang anak yang lembut tutur katanya, sopan dan santun perilakunya, hormat dan patuh kepada ibu bapa beserta guru-guru, pandangannya tidak liar dan wajahnya berseri-seri? Itulah anak yang akan membuatkan sesiapa saja senang hati ketika melihat dan berjumpa dengannya.

 

Anak adalah anugerah Allah SWT sekaligus merupakan amanah dan kiriman paling berharga yang perlu dijaga, dirawat dan dididik agar menjadi penyejuk hati. Kerana itu, merupakan satu keperluan untuk adanya perhatian yang saksama terhadap mereka agar anak-anak Muslim tumbuh menjadi generasi yang berkualiti, generasi yang memiliki keperibadian Islam yang tangguh, yang selalu menjaga sikap dan perilakunya dengan baik sehingga boleh bersedia untuk terjun ke kancah kehidupan dengan membawa Islam dalam setiap langkah-langkahnya.

 

Hanya saja, keperibadian ini tidak dapat disempurnakan kecuali jika diarahkan, dibina dan dibimbing dari segala aspek. Dan masa yang paling subur bagi pembinaan keperibadian ini, baik cara berfikir atau jiwanya, adalah di fasa kanak-kanak. Masa kanak-kanak mempunyai keistimewaan berupa kelenturan, kesucian dan fitrah. Sebab itu, jika masa ini dibina dengan penjagaan, bimbingan dan arahan yang baik, maka kelak ia akan kukuh di hadapan goncangan yang bakal dihadapinya ketika dewasa.

 

Bimbingan atau pembinaan awal yang perlu dilakukan adalah menanamkan akidah Islamiyah yang kukuh dan mengajar, menanamkan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya, Al-Quran beserta hadis-hadis Rasul. Seiring dengan itu, pembinaan perasaan dan kejiwaan anak merupakan perkara yang tidak boleh kita abaikan. Akhlak dan adab juga merupakan hal penting dalam proses pembinaan ini.

 

Banyak ulama telah membahas makna adab dalam pandangan Islam. Anas ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Akrimu auladakum wa-ahsinu adabahum. (Muliakanlah anak-anakmu dan perbaikilah adab mereka).” (HR Ibnu Majah)

 

K.H. Asy’ari membuka karya tulisannya Adabul Alim Wal Muta’allim dengan mengutip sabda Rasulullah SAW, “Haqqul waladi ‘alaa waalidaihi an-yuhsina ismahu, wa yuhsina murdhi’ahu wa yuhsina adabahu. (Hak seorang anak atas ibu bapanya adalah mendapatkan nama yang baik, pengasuhan yang baik dan adab yang baik).

 

Penanaman Adab Adalah Sebahagian dari Hukum Syarak

 

Menanamkan adab pada anak merupakan hal penting dalam Islam. Mengapa? Kerana ia merupakan sebahagian dari hukum syarak. Adab merupakan bahagian dari akhlak Islam yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk dihiasi dalam diri setiap Muslim baik dalam ibadah, muamalat dengan orang lain, mahupun dalam perilaku yang bersifat peribadi. Syariat melarang kaum muslim dari akhlak yang tercela. Abdullah bin Umar ra. berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, ” Sesungguhnya orang yang terbaik di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (Mutaffaq alaih)

 

Lebih dari itu, Islam memerintahkan ibu bapa untuk menanamkan adab kepada anak sejak kecil lagi sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Apabila anak telah mencapai usia enam tahun, hendaklah dia diajarkan adab dan sopan santun.” (HR Ibnu Hibban)

 

. يَا غُلاَمُ سَمِّ اللَّهَ ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

 

“Wahai anak, sebutlah nama Allah, dan makanlah dengan tangan kananmu, serta makanlah yang ada di hadapanmu.” (HR Bukhari, Muslim).

 

“Muliakanlah anak-anak kalian dan perbaikilah adab mereka.”(HR Ibnu Majah).

 

Ibnu Sunni meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Nabi Muhammad SAW pernah melihat seseorang bersama anaknya. Kemudian, Nabi SAW bertanya kepada anak tersebut, “Siapa ini?” Lalu dia menjawab, “Ayahku.” Kemudian Nabi bersabda, “Kamu jangan berjalan di depannya, jangan melakukan perbuatan yang akan membuatnya mengumpatmu kerana marah, dan jangan duduk sebelum dia duduk, dan jangan memanggil dengan menggunakan namanya.”

 

Cara Menanamkan Adab pada Anak

 

Adab memang perlu diberi perhatian yang besar kerana akan mewujudkan akal fikiran yang efektif pada anak-anak kita dan akal fikiran yang efektif pula akan lahir dari kebiasaan, perangai dan perilaku yang baik. Kemudian akan terbentuklah amal soleh dan dari amal soleh inilah munculnya redha Allah SWT. Berikut adalah petuanya :

 

Pertama : Tanamkan akidah yang kuat pada anak. Akidah yang kukuh akan mewujudkan keyakinan bahawa sebagai hamba Allah, kita wajib tunduk dan patuh pada ketetapan Allah. Hanya Allah yang patut diimani dan ditaati. Melalui pendekatan ini, akan tertanam sikap ikhlas dalam diri seseorang untuk berlaku sopan dan menghiasi diri dengan adab yang baik semata-mata kerana Allah. Sikap ini juga akan menjadi pelindung saat berada dalam lingkungan yang kurang baik.

 

Kedua : Menanamkan bahawa adab merupakan bahagian dari akhlak terpuji yang merupakan sebahagian dari hukum syarak. Dengan demikian, akan tertanam dalam diri anak bahawa ketika dia menghiasi dirinya dengan adab yang baik, perilakunya akan mendatangkan pahala dan amal soleh yang akan menghasilkan keredhaan Allah SWT

 

Ketiga : Ajarkan keteladanan Rasulullah SAW dalam memelihara adab baik dan sopan santun (baik terhadap dirinya) seperti makan dengan tangan kanan dan tidak berdiri, cara berpakaian dan sebagainya. Begitu juga dengan adab terhadap orang lain seperti berkata yang baik dan lemah lembut, tidak kasar, tidak mencelah atau memotong perbicaraan orang lain, menghormati ibu bapa, menyayangi yang lebih muda,mendahulukan yang lebih tua dan sebagainya.

 

Keempat : Orang sekeliling perlu memberikan keteladanan yang baik. Usaha menanamkan sikap sopan santun perlu bermula dari ibu bapa sendiri dengan menjadi contoh yang baik bagi anaknya. Apabila ibu bapa sendiri yang kerap bersikap tidak sopan terhadap anak atau orang lain, anak-anak tidak akan pernah memahami apa itu nilai-nilai sopan santun. Anak-anak fitrahnta akan meniru kebiasaan orang-orang di sekelilingnya. Kerana itu, sebaiknya ibu bapa dan orang sekeliling menjaga sikap dan lisan masing-masing. Teladan yang baik akan mencipta lingkungan yang positif buat anak sehingga anak-anak mampu berperilaku dan berbicara dengan baik.

 

Kelima : Biasakan mengucap kalimat toyyibah. Dengan kebiasaan ini, anak-anak tidak ada kesempatan untuk mengatakan hal yang kotor dan sia-sia. Di antara kalimat toyyibah yang boleh diajarkan adalah contohnya menyebut “Bismillah” untuk memulakan sesuatu perbuatan, “Astaghfirullah” apabila anak melakukan kesalahan, “MasyaAllah” jika mendapat sesuatu yang menakjubkan, “Innalillah” jika ditimpa musibah dan sebagainya. Selain kalimat toyyibah, biasakanlah untuk mengungkapkan kata-kata sopan dalam berinteraksi dengan memberi contoh yang baik, misalnya menggunakan perkataan “tolong” ketika meminta bantuan, “terima kasih” atau “jazakallah/illah” ketika sudah dibantu atau “maaf” saat melakukan kesalahan.

 

Keenam : Jauhkan anak dari lingkungan yang tidak baik. Tiada penerapan sistem Islam memang akan memaksa keluarga Muslim untuk lebih berhati-hati menjaga buah hatinya. Walaupun di rumah sudah diajarkan adab yang baik, di luar rumah belum tentu. Sedangkan, secara fitrahnya anak-anak juga memerlukan dunia luar untuk belajar dan bersosial. Kerana itu, ibu bapa perlu mampu mengarahkan dengan siapa anaknya bermain. Jauhkan anak daripada berkawan dengan anak-anak yang mempunyai kebiasaan yang buruk. Berikanlah penjelasan yang bijak kepada anak sehingga anak tidak protes mengapa perlu memilih kawan.

 

Ketujuh : Ibu bapa juga perlu selektif dalam memilih program tayangan media. Jangan biarkan anak menonton adegan keganasan dan sikap tidak sopan atau kasar, serta sering melontarkan kata-kata yang kasar. Berikanlah tontonan yang edukatif untuk merangsang anak melakukan kebiasaan yang baik. Jika ternyata si anak mula berkata kotor atau kasar, tugas ibu bapalah untuk menjelaskan hakikat perilaku tersebut dan mengajak anak untuk menjauhinya.

 

Kelapan : Bijak dalam memberi peringatan atau nasihat. Apabila anak berperilaku atau mengatakan sesuatu yang tidak sesuai dengan syariat, ibu bapa wajib menasihati dan memberikan penjelasan dengan tepat terutamanya buat anak yang menginjak remaja. Hal ini penting untuk mewujudkan rasa bersalah kerana sudah melanggar ketentuan Allah dan Rasul-Nya.

 

Kesembilan: Mewujudkan lingkungan sekitar rumah yang selalu menjaga sikap dan perilakunya. Di antaranya adalah dengan menasihati  anak jiran tetangga yang mempunyai kebiasaan buruk hingga mereka meninggalkan kebiasaannya. Amar makruf nahi mungkar kepada tetangga tentu menjadi kewajipan kita. Hanya saja, perlu dicari cara yang baik agar tidak menimbulkan konflik antara tetangga. Inilah yang dimaksudkan dengan kawalan sosial yang perlu ada untuk menjaga pelaksanaan syariat Islam.

 

Demikian banyak pelajaran yang sangat berharga, teladan yang dicontohkan Rasulullah SAW kepada kita semua. Penanaman adab pada anak merupakan hal yang tidak boleh diremehkan kerana akan mempengaruhi proses pembentukan keperibadian anak kelak pada masa akan datang.

 

“Seorang anak jika sudah diabaikan sejak awal perkembangannya, maka pada galibnya dia akan menjadi seorang yang buruk akhlaknya, pendusta, pendengki, pencuri, pengadu domba, serta bersifat keanak-anakan dan tidak dapat serius dan dewasa. Itu semua hanya dapat diatasi dengan kesatuan yang baik.” (Imam Ghazali)

 

Buruknya kebiasaan berperilaku dan berbicara pada anak juga tidak terlepas daripada akibat kesalahan pola asuhan ibu bapa, lingkungan yang tidak islami, juga sistem pendidikan yang kurang menekankan pelaksanaan syariat secara kaffah, termasuklah dalam perkara akhlak. Oleh kerana itu, usaha penanaman adab dan sopan santun pada anak juga perlu selari dengan usaha memperjuangkan syariat dan Khilafah. Dengan demikian, usaha ibu bapa memikul amanah pendidikan anaknya akan selangkah lebih mudah. Wallahualam bissawab.

Exit mobile version