Site icon MuslimahHTM News

Syawal, Saat Keluarga Muslim Meraih Pahala (Lagi)

[KELUARGA] Syawal, Saat Keluarga Muslim Meraih Pahala (Lagi)

Penulis: Najmah Saiidah

 

Penuh haru dan syukur, bulan suci Ramadhan sudah kita lalui dengan segenap usaha untuk menjalankan amal kebaikan pada bulan yang mulia itu. Aidilfitri juga mempunyai keistimewaan tersendiri dan kita juga sudah melaluinya dengan berbagai amal. Bermula dengan mencari hilal Syawal, memberikan zakat fitrah, menunaikan solat sunat Aidilfitri, mendengar khutbah, saling bermaafan, ziarah menziarahi dan sebagainya.

 

Saat ini kita sedang berada di bulan Syawal, bulan yang istimewa kerana di dalamnya terdapat berbagai aktiviti yang mendatangkan pahala yang banyak. Tentu saja kita perlu memanfaatkan situasi ini dengan baik, di tengah-tengah semasa taqarrub kita kepada Allah yang masih tinggi. Semoga kita dapat meraih pahala dan menuai banyak keberkatan dengan melakukan ibadah dan kebaikan di bulan Syawal.

 

Syawal Bulan Istimewa

 

Syawal merupakan bulan yang istimewa buat umat Islam. Dalam bahasa Arab, Syawal berasal dari perkataan skala yang bermaksud naik atau meninggi. Di bulan Syawal ini, kedudukan dan darjat umat Islam meninggi di sisi Allah SWT kerana telah berjaya melalui bulan ujian dan ibadah iaitu Ramadhan.

 

Syawal juga merupakan bulan pembuktian nilai-nilai takwa seorang hamba. Bulan ini menjadi ‘medan’ untuk membuktikan adakah umat Islam mampu mempertahankan dan meningkatkan keimanannya sebagaimana yang telah mereka lakukan sewaktu Ramadhan. Selama sebulan melakukan ibadah puasa, solat sunat, qiyamulail, tadarus, tafakur dan ibadah lainnya di bukan Ramadhan, maka pastinya semua itu dapat dikekalkan dan ditingkatkan pada bulan seterusnya.

 

Sesungguhnya Rasulullah SAW., melalui bimbingan wahyu Allah SWT. telah menjadikan bulan Syawal sebagai momentum yang tepat untuk mengawali dan menjaga konsistensi ketaatan umatnya pasca Ramadhan. Baginda telah mensyariatkan beberapa aktiviti serta menjelaskan keutamaan beserta fadhilat dan ganjarannya. Inilah yang menjadikan bulan Syawal sebagai salah satu bulan yang istimewa.

 

Kerana itu, merupakan hal yang penting untuk sebuah keluarga Muslim agar tidak membiarkan bulan ini berlalu begitu saja. Lebih-lebih lagi jika setiap anggota keluarga melakukannya bersama-sama.

 

Jadi, amalan apakah yang disyariatkan oleh Allah SWT. untuk dilakukan pada bulan Syawal ini?

 

Keluarga Muslim Berlumba Menambah Amal Kebaikan di Bulan Syawal

 

Banyak amalan kebaikan yang dapat kita lakukan di bulan Syawal untuk mengukuhkan ketaatan dan ketakwaan kita kepada Allah, antara lain adalah :

 

1- Puasa 6 hari di bulan Syawal

 

Keistimewaan bulan Syawal yang pertama adalah puasa 6 hari. Puasa ini biasanya dimulakan pada hari kedua Syawal kerana pada hari pertama, iaitu pada saat hari raya Aidilfitri, kita diharamkan untuk berpuasa. Puasa 6 hari di bulan Syawal ini menjadi pelengkap ibadah puasa yang dilakukan pada bulan Ramadhan.

 

Umat Islam yang melakukan ibadah puasa 6 ini akan mendapatkan pahala seperti telah berpuasa selama setahun. Keutamaan puasa Syawal terdapat dalam hadis yang diriwayatkan Muslim. Hadis itu berasal dari Abu Ayyub Al Ashari yang pernah mendengar Sabda Nabi Muhammad SAW.,

 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

 

“Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.” (HR Muslim).

 

Mengerjakan puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal mengiringi puasa fardhu pada bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan pengiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah Hadi riwayat Tsauban, bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “Berpuasa sebulan (pada bulan Ramadhan) disamakan dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari setelahnya (pada bulan Syawal) disamakan dengan 12 bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.” (HR Imam Al-Darimi).

 

Di sinilah sesungguhnya ibu dan ayah memiliki peranan besar dalam mengajak keluarganya untuk melanjutkan amalan kebaikan pada bulan-bulan seterusnya. Bermula dengan puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal.

 

  1. Mengeratkan Silaturrahim dengan Kerabat

 

Bersilaturrahim merupakan salah satu amal kebaikan yang biasa dilakukan di bulan Syawal. Biasanya dirai dengan pulang ke kampung halaman, berjumpa sanak-saudara, jiran tetangga dan saling bermaaf-maafan. Jadi, tidak hairanlah jika Syawal begitu istimewa kerana menjadi salah satu bulan yang kebanyakan umat Islam berkumpul dan ziarah-menziarahi. Bahkan, ada yang menempuh perjalanan yang jauh demi bertemu dengan kaum kerabat dan sahabat handai. Bulan Syawal merupakan bulan yang penuh keberkatan dari Allah SWT kerana adanya aktiviti bermaaf-maafan dan saling menziarahi di kalangan umat Islam.

 

Adat bersilaturrahim merupakan amalan Sunnah yang dilakukan pada bulan Syawal untuk menyambung tali ikatan persaudaraan antara keluarga dan saudara seislam. Menjaga dan mengeratkan tali persaudaraan merupakan kunci syurga sebagaimana yang disebutkan dalam hadis, “Engkau menyembah Allah dan tidak mempersekutukan sesuatu dengan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat dan menyambung tali persaudaraan.” (HR Bukhari dan Muslim)

 

Dalam salah satu riwayat, Rasulullah SAW. juga menjelaskan tentang apa yang dimaksudkan dengan silaturahmi untuk menambah pemahaman umatnya,

 

لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ، وَلَكِنِ الْوَاصِلُ الَّذِي إِذَا قَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

“Silaturahmi bukanlah yang saling membalas kebaikan. Akan tetapi, seorang yang berusaha menjalinkan hubungan baik walaupun lingkungan terdekat (keluarga) merosakkan hubungan persaudaraan dengan dirinya.” (HR Bukhari).

 

Sedangkan keutamaan menyambung tali silaturahmi ini juga sesuai dengan ajaran Rasulullah SAW.,

 

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ عَلَيْهِ فِي رِزْقِهِ وَأَنْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ، أخرجه البخاري.

“Siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaknya dia menyambung silaturahminya (dengan kerabat).“ (HR Bukhari).

 

Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika bulan Syawal menjadi salah satu bulan di mana umat Islam saling menyambung silaturahmi.

 

  1. Tahniah (memberi ucapan selamat).

 

Hari raya adalah hari yang penuh dengan kegembiraan. Kerana itu, dianjurkan untuk saling mengucapkan selamat atas kebahagiaan yang diraih ketika hari raya. Antara dalil sunnahnya adalah beberapa hadis yang disampaikan oleh Al-Imam Al-Baihaqi. Dalam kitab Sunannya, beliau menginventorikan beberapa hadis dan ucapan para sahabat tentang tradisi ucapan selamat pada hari raya.

 

Dari Jubair bin Nufair, ia berkata bahawa jika para sahabat Rasulullah SAW. berjumpa dengan hari raya (Aidilfitri atau Aidiladha), mereka akan mengucapkan “Taqabbalallahu minna wa minka (semoga Allah menerima amalku dan amalmu).”

 

Al Hafizh Ibnu Hajar mengatakan bahawa sanad hadis ini hasan. Imam Ahmad  berkata, “Tidak mengapa (maksudnya boleh-boleh saja) satu sama lain pada hari raya mengucapkan, ‘Taqabbalallahu minna wa minka.’

 

Salah seorang ulama, Harb mengatakan, “Imam Ahmad pernah ditanya mengenai apa yang mesti diucapkan (pada Aidilfitri dan Aidiladha), adakah dengan ucapan, ‘Taqabbalallahu minna wa minkum’?” Imam Ahmad menjawab, “Tidak mengapa mengucapkan seperti itu.” Kisah tadi diriwayatkan oleh penduduk Syam dari Abu Umamah.

 

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menjelaskan, “Adapun tentang ucapan selamat (tahniah) ketika hari raya seperti sebahagian orang mengatakan pada yang lainnya ketika berjumpa setelah shalat raya, ‘Taqabbalallahu minna wa minkum wa ahaalallahu ‘alaika,’ dan semacamnya, maka ucapan seperti ini telah diriwayatkan oleh beberapa sahabat Nabi. Mereka biasa mengucapkan ucapan seperti itu dan para imam juga memberikan keringanan dalam melakukan hal ini sebagaimana Imam Ahmad dan lainnya. Akan tetapi, Imam Ahmad mengatakan, ‘Aku tidak mahu mendahului mengucapkan selamat hari raya pada seorang pun. Namun kalau ada yang mengucapkan selamat padaku, aku akan membalasnya.’ Imam Ahmad melakukan seperti ini kerana menjawab ucapan selamat adalah wajib.”

 

Begitulah antara keistimewaan Syawal dan sudah sepatutnya keluarga Muslim mengisinya dengan beberapa aktiviti kebaikan yang akan menyempurnakan dan mengukuhkan ketaatan kita setelah sebulan penuh melakukan berbagai ibadah dan amal kebaikan pada bulan Ramadhan iaitu dengan berpuasa 6 hari pada bulan Syawal, bersilaturrahim dan mengucapkan tahniah kepada Muslim lainnya setiap kali bertemu. Wallahu alam bissawab.

Exit mobile version