[NAFSIYAH] Pentingnya Rasa Malu
Setiap wanita solehah pasti mempunyai perasaan malu. Sebagaimana sabda Nabi SAW., “Rasa malu itu hanya mendatangkan kebaikan.” (HR Bukhari dan Muslim).
Malangnya, pada hari ini perasaan malu semakin terhakis dan tidak lagi dihiraukan dalam kalangan wanita. Contohnya, membuka aurat secara sengaja, bergaul bebas dengan lelaki, mencium pipi kiri dan kanan apabila bertemu dengan lawan jenis, hingga berpegangan tangan dengan pasangan yang belum halal di khalayak ramai. Semua ini adalah kerana suasana kehidupan sekularisme yang melanda umat Islam hari ini.
Bukan itu sahaja, maraknya perzinaan juga berlaku kerana mereka sudah tidak ada rasa malu lagi. Lelaki dan wanita berani berzina dan tidak ingat lagi dosa dan azab neraka. Malah, seorang selebriti dengan lantang mengatakan, “Selepas saya berzina saya mandi wajib kemudian mengerjakan solat.” Astagfirullah, dia secara terbuka mengakui perbuatan maksiat tanpa ragu dan merasa malu.
Rasulullah SAW. bersabda, “ Iman itu terdiri daripada 70 sekian atau 60 sekian cabang. Cabang iman yang paling utama ialah ucapan la ilaha illallah. Sedangkan cabang iman yang paling rendah ialah menyingkirkan gangguan dari tempat yang lalu lalang. Rasa malu adalah sebahagian daripada iman.” (HR Bukhari dan Muslim).
Maksudnya, jika seseorang berani mengatakan dosa zina yang dilakukannya di khalayak ramai, dia sudah tidak lagi mempunyai keimanan yang benar kerana sudah tidak lagi mempunyai rasa malu.
Rasa malu itu ada dua; pertama, rasa malu kepada Allah Taala. Seseorang merasa malu jika Allah melihatnya sedang melakukan kemaksiatan dan mengingkari perintah-Nya. Kedua, rasa malu dengan sesama manusia.
Dalam perkara pertama, Nabi SAW. menjelaskan, “Malulah kalian kepada Allah dengan sebenar-benarnya.” ‘Kami sudah malu wahai Rasulullah,’ jawab para sahabat. Nabi SAW. bersabda, “Bukan begitu tetapi yang dimaksudkan malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya ialah menjaga kepala dan anggota badan yang terletak di kepala, menjaga perut dan anggota badan yang berhubungan dengan perut, mengingati mati dan apabila badan hancur dalam kubur. Sesiapa yang menginginkan akhirat hendaklah meninggalkan kesenangan dunia. Sesiapa yang melakukan hal-hal tersebut, maka dia telah merasa malu kepada Allah sebenar-benarnya.” (HR Tirmidzi).
Menjaga badan agar tidak digunakan untuk bermaksiat kepada Allah dan mengingati mati. Itulah yang dimaksudkan oleh Nabi SAW. dalam hadis di atas. Kemudian, tidak panjang angan-angan di dunia, tidak sibuk dengan kesenangan hawa nafsu, dan hanyut dalam kilauan kehidupan dunia sehingga lalai dari akhirat.
Perkara kedua ialah rasa malu dengan sesama manusia, maksudnya mencegah manusia daripada melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya. Dia berasa tidak selesa jika ada orang lain yang mengetahui kekurangan yang dia miliki. Ini akan mencegahnya dari melakukan perbuatan dan akhlak yang buruk.
Saudariku, rasa malu kepada Allah juga merupakan tanda keimanan yang paling tinggi, bahkan hingga darjat ihsan yang paling tinggi. Nabi SAW. bersabda, “Ihsan adalah beribadah kepada Allah seakan-akan memandang Allah. Jika tidak boleh seakan memandang-Nya, maka dengan meyakini bahawa Allah melihatnya.” (HR Bukhari).
Setiap muslim yang mempunyai rasa malu dengan sesama manusia akan menjauhi segala sifat tercela dan tindakan yang buruk. Kerana itu, dia tidak akan suka mencela, mengadu domba, mengumpat, berkata-kata kasar, dan tidak akan secara terang-terangan melakukan perbuatan maksiat. Nabi SAW. pernah bersabda, “Di antara perkataan para Nabi terdahulu yang masih diketahui banyak orang sehingga kini ini ialah jika engkau tidak lagi mempunyai rasa malu, maka lakukanlah sesuka hatimu.” (HR Bukhari).
Salman al-Farisi mengatakan, “Sungguh jika Allah berkehendak untuk membinasakan seseorang, maka Allah akan menghilangkan rasa malu dari diri orang tersebut. Jika rasa malu sudah tercabut dari dirinya, kau tidak akan bertemu orang tersebut melainkan orang yang sangat dimurkai Allah. Setelah itu akan hilang sifat amanah dari diri orang tersebut. Jika dia sudah tidak lagi mempunyai amanah, dia akan menjadi orang yang suka berkhianat dan dikhianati. Setelah itu sifat kasih sayang akan dicabut darinya. Jika rasa kasih sayang telah dicabut, dia akan menjadi orang yang terkutuk. Sesudah itu, ikatan Islam akan dicabut daripadanya.”
Nampaknya kata-kata Salman al-Farisi juga berlaku kepada penguasa atau menteri yang juga tidak mempunyai rasa malu kerana terus menipu dan membiarkan janji kepada rakyatnya. Meskipun begitu, mereka tetap melakukannya setiap kali pertukaran kepimpinan kerana mereka menyasarkan kerusi untuk kekuasaan. Astaghfirullah.
Ibnu Abbas berkata, “Rasa malu dan iman adalah satu ikatan. Jika salah satunya dicabut, maka akan diikuti oleh yang lain.”
Oleh itu, setiap muslim seharusnya mempunyai rasa malu. Jika tidak lagi memilikinya, pelbagai perkara buruk sering dilakukan secara ringan. Dia juga tidak akan teragak-agak melakukan perkara yang haram dan tidak takut akan dosa. Lisannya juga turut berkata buruk dan mudah menipu orang lain.
Semoga Allah sentiasa menjaga kita dengan memiliki rasa malu. Malu berbuat maksiat kepada Allah dan malu untuk melakukan keburukan kepada sesama manusia. Tidak berbangga telah melakukan maksiat dan membiarkannya di media sosial, sebaliknya dia akan tertunduk malu kerana mengenangkan begitu banyak dosa yang dilakukan, tetapi Allah masih membuka pintu taubat untuknya. Wallahul muwafiq.
Sumber:
#Nafsiyah #Wanita
#Malu

