[KELUARGA] Hasad dan Hasud Dikalangan Anak-Anak
إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
“Berhati-hatilah kalian terhadap hasad kerana ia memakan kebaikan laksana api memakan kayu”. (HR Abu Daud)
Hasad adalah salah satu penyakit hati yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa dan guru kerana ia bukan sahaja menyerang orang dewasa, tetapi juga boleh berjangkit kepada kanak-kanak dan remaja. Ini kerana secara fitrah, manusia dikurniakan oleh Allah SWT. rasa cemburu dan persaingan. Ini ialah penampakan dari naluri pertahanan diri (gharizah al-baqa) pada manusia, termasuk anak-anak.
Para ulama menjelaskan pengertian hasad sebagai keinginan hati seseorang agar nikmat yang Allah berikan pada saudaranya itu hilang. Sebahagian ulama lain menjelaskan hasad sebagai kebencian seseorang terhadap nikmat yang Allah berikan kepada orang lain. Kenikmatan itu boleh bermacam-macam; harta, pencapaian, rupa dan penampilan, ramai kawan, dsb.
Permulaan hasad ialah rasa cemburu anak kepada saudara atau kawannya. Boleh jadi disebabkan masalah kecil seperti makanan ringan, mainan, jumlah kawan, dsb. Cuba sesekali mendengar kata-kata anak;
“Untung abang ya, minta belikan kasut futsal, kalau aku belum ada kasut untuk main bola.”
Atau, “Kalau Nisa ramai kawan sebab dia orang kaya, aku cuma ada sedikit kawan,” dll.
Cemburu boleh berubah menjadi hasad atau dengki pada anak sekiranya ibu bapa tidak segera meneutralkan dan memberi motivasi kebaikan kepada anak. Hasad pada anak-anak boleh naik secara berperingkat-peringkat sekiranya ibu bapa mempertahankan perasaan “cemburu” terhadap anak dan berlaku tidak adil antara anak-anak.
Ramai ibu bapa yang tidak memahami perkembangan mental anak-anak, lalai dalam memupuk adab berkawan, atau keliru dalam memberikan layanan mengakibatkan sikap hasad itu semakin membesar dan terbawa hingga ke alam dewasa. Ada segelintir ibu bapa beranggapan bahawa perkara itu lumrah berlaku pada anak-anak kemudiannya membiarkan perkara itu terus berlaku. Tanpa disedari, ibu bapa sebenarnya sedang menanamkan penyakit hati yang tahapnya boleh terus meningkat.
Kenapa hasad pada anak-anak mesti segera dihancurkan?
Pertama, kerana hasad adalah penyakit hati dan membawa implikasi dosa bagi setiap muslim. Sebagaimana hadis di atas, hasad dapat menghilangkan kebaikan. Dalam kitab Aunul Ma’bud dijelaskan mengapa kerana hasad itu menjadikan seseorang membenci nikmat Allah yang dikurniakan kepada saudara atau sahabatnya.
Kedua, hasad boleh mendorong anak-anak untuk melakukan tindakan tercela yang lain. Dalam kitab Faidul Qadir dijelaskan mengapa hasad dapat merosakkan kebaikan kerana hasad dapat membuat pelakunya memburukkan orang yang dibencinya, menghinanya, dan kadang-kadang mendorongnya untuk memusnahkan harta benda atau menganiayanya dan pelbagai kezaliman lain.
Hasad, Hasud dan Buli
Seperti yang dijelaskan dalam kitab Faidul Qadir, hasad boleh membuat seseorang melakukan pelbagai perbuatan anti sosial. Kes buli yang sering berlaku pada kanak-kanak adalah antara pencetusnya ialah penyakit hasad. Sebagai contoh, sikap cemburu segelintir pelajar terhadap kawannya yang mempunyai ramai kawan atau berprestasi hingga disayangi oleh guru, boleh berkembang menjadi hasad yang membawa kepada buli. Contohnya, mangsa dipulaukan dengan cara menghasut kawan-kawan yang lain dengan menyebarkan aibnya atau menghinanya walaupun pun ditambah pembohongan.
Dalam sesetengah kes, kerana halusnya penghasutan di antara anak-anak, ibu bapa dan guru juga boleh terpedaya hingga merasakan bahawa mangsa buli sememangnya anak yang bermasalah. Contohnya, kanak-kanak atau pelajar sebulat suara mengatakan bahawa si fulan itu sombong, memilih kawan, tidak mahu berkongsi ilmu dsb. Tekanan terhadap mangsa buli ini boleh meningkat jika ibu bapa atau pihak guru tidak melakukan penjelasan dan tidak segera meneutralkan keadaan.
Dalam sejarah, kita dapat membaca betapa halusnya hasutan dan fitnah yang ditimpakan oleh orang terkenal munafik iaitu Abdullah bin Ubay bin Salul kepada Ummul Mukminin Aisyah ra., sehingga sebahagian sahabat mempercayai hasutannya, sebahagian lagi keliru, bahkan Nabi SAW. juga tidak berdaya jika tidak dibantu oleh wahyu Allah SWT. yang menjelaskan fakta sebenar.
Serius bukan akibat hasad dan hasut ini? Sehingga orang yang menjadi mangsa itu diposisikan sebagai pelaku keburukan. Malah, Ummul Mukminin turut menjadi mangsa hasad dan hasutan orang jahat.
Menangani dengan Segera
Oleh itu, hasad bukan masalah ringan yang boleh diabaikan begitu sahaja oleh ibu bapa mahupun guru dan jurulatih di sekolah atau di pondok. Hasad begitu halus dan boleh berkembang menjadi hasutan untuk menzalimi orang lain. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa dan guru untuk mencegah perkara ini daripada berkembang, di antaranya ialah:
1- Mengajar rasa syukur kepada anak-anak. Hasad muncul kerana cemburu, maka tanamkan dalam diri anak-anak untuk mensyukuri nikmat Allah yang diberikan kepada mereka dan tidak perlu membandingkan dengan orang lain.
2- Mengajar anak-anak untuk menjaga persahabatan yang Islami, tidak saling membenci, tidak saling dengki tetapi saling membantu. Fahamkan bahawa syaitan berusaha untuk memecah belah orang beriman dan menjadikan mereka saling bermusuhan, maka jangan membantu syaitan dengan memusuhi saudara atau kawan.
3- Mengajar anak-anak untuk bersaing dalam kebaikan. Jika ada kawannya yang dicemburui kerana kebaikan dan pencapaian, maka galakkan anak-anak untuk mencontohi mereka yang baik dan bersaing menjaringkan pencapaian.
4- Melakukan tabayyun apabila anak atau pelajar melaporkan tingkah laku buruk daripada kawan mereka. Ada sesetengah anak-anak yang memang berani berbohong atau membesar-besarkan masalah persahabatan sehingga akhirnya memudaratkan kawan mereka.
Semoga Allah SWT. melindungi anak-anak kita dan umat Islam agar jauh dari penyakit hasad sehingga berbuat zalim kepada orang lain dengan hasutan yang berisi kebencian.
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
“Ya Rabb kami, ampunilah dosa kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang” [TMQ. Al-Hasyr (59): 10]
Sumber:
#Keluarga #HasadDengki #PenyakitHati #DidikAnak

