[SOAL-JAWAB] DUA MALAIKAT – HARUT DAN MARUT DALAM SURAH AL-BAQARAH (BAHAGIAN 2/3)
- Kitab-kitab sihir itu telah ditulis oleh ahli-ahli sihir dari dua jalur:
Pertama, sihir yang dibisikkan oleh syaitan kepada mereka.
Kedua, apa yang diajarkan oleh dua malaikat Harut dan Marut kepada manusia. Allah SWT telah menurunkan kedua-duanya di Babylonia mengajarkan sihir kepada manusia dan memperingatkan manusia daripada melakukan sihir dan memberitahu manusia bahawa kedua-duanya adalah fitnah (ujian) dan cubaan bagi manusia.
﴿وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ﴾
“Sedang keduanya tidak mengajar seseorang melainkan setelah mereka menasihatinya dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji keimananmu), kerana itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. [TMQ al-Baqarah (2): 102].
Dan Allah SWT menurunkan kebaikan dan keburukan di muka bumi untuk menguji hamba-hambaNya dengan kebaikan dan keburukan.
﴿وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً﴾
“Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya).” [TMQ al-Anbiya’ (21): 35].
Mengajar sihir kepada manusia adalah ujian bagi mereka. Siapa yang beriman kepada sihir dan melakukannya maka dia telah kafir. Sedangkan siapa yang tidak beriman kepada sihir dan tidak melakukannya maka dia benar-benar selamat.
﴿ إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ﴾
“Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir”. [TMQ al-Baqarah (2): 102].
- Allah SWT membebaskan nabi-Nya iaitu Sulaiman AS daripada kedustaan dan pembohongan yang diada-adakan oleh orang-orang Yahudi. Sulaiman AS tidak kafir. Kenyataan ini di sini untuk menunjukkan bahawa Sulaiman AS bukanlah seorang ahli sihir dan tidak beriman kepada sihir, maka dia bukanlah seorang kafir. Jadi Sulaiman AS adalah Nabi Allah ﴿وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ﴾ –dan Sulaiman AS tidaklah kafir– iaitu Sulaiman AS bukan ahli sihir dan tidak beriman kepada sihir sehingga dia seorang kafir.[2] Dalalah (konotasi) ini sudah tertentu kerana orang-orang Yahudi menuduh Sulaiman AS dengan sihir: “Ibnu Jarir telah mengeluarkan dari Syahr bin Hawsyab, dia berkata: “Orang-orang Yahudi berkata: “lihatlah kepada Muhammad, dia mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan, dia menyebut Sulaiman AS bersama para nabi, padahal Nabi Sulaiman AS tidak lain adalah seorang ahli sihir yang menunggangi angin”.[3] Padahal Sulaiman AS bukan kafir. Maka Allah SWT menjawab mereka ﴿وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ﴾ iaitu Sulaiman AS tidak melakukan sihir. Tetapi penggunaan secara majaz lafaz ﴿كَفَرَ﴾ dalam ayat ini menunjukkan bahawa siapa yang beriman kepada sihir dan melakukan sihir adalah kafir, sesuai hubungan al-musabbabiyah, menurut bahasa arab sebagaimana yang telah kami sebutkan.
Begitulah, Sulaiman AS tidaklah kafir. Tetapi yang kafir adalah syaitan.
﴿وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ ۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ﴾
“…padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. [TMQ al-Baqarah (2): 102].
- Sihir adalah menampakkan sesuatu yang tidak sesuai dengan hakikatnya sebagai ilusi. Makna ini datang dari firman Allah SWT:
﴿سَحَرُوا أَعْيُنَ النَّاسِ﴾
“mereka menyilap mata orang ramai” [TMQ al-A’raf (7): 116].
﴿يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِن سِحْرِهِمْ أَنَّهَا تَسْعَىٰ﴾
“Terbayang kepada Musa seolah-olah ia merayap dengan cepat, lantaran sihir mereka.” [TMQ Taha (20): 66].
Yakni bahawa tongkat tetaplah tongkat menurut hakikatnya tetapi nampak pada penglihatan orang-orang yang melihatnya sebagai ular hidup yang merayap.
Di dalam bahasa, al-Jawhari berkata: “sihir adalah al-akhzu (pengambilan) dan setiap yang pengambilan yang lembut dan samar adalah sihir. Dikatakan, saharta as-shabiy jika anda menipunya. Sihir dinyatakan dalam beberapa diwan arab dengan maksud al-‘idhdhah. Dan al-‘idhdhah menurut orang Arab ialah syiddatu al-buhti (kuatnya kebohongan) dan tamwîh al-kazib (menyamarkan kebohongan). Seorang penyair berkata:
أَعُوْذُ بِرَبِّيْ مِنَ النَّافِثَاتِ مِنْ عِضَّةِ الْعَاضَةِ الْمُعِضَّةِ
Saya berlindung kepada Rabbku dari orang-orang yang meniupkan
Dari kuatnya kebohongan yang samar menyamarkan
Orang Arab juga menggunakan perkataan as-sihr dalam erti kata al-khafâ` (tersembunyi). Sebab ahli sihir melakukannya secara sembunyi. Adapun apakah bahan sihir, ilmu pemilik sihirlah yang dapat mengelabui mata orang ramai sehingga sesuatu itu dilihat tidak pada hakikatnya (bukan kenyataannya). Maksudnya, hakikat itu tidak berubah menjadi hakikat baru yang lain, dengan makna sihir tidak menghapuskan hakikat yang pertama dan membentuk hakikat baru menggantikannya. Atas dasar itu, jika seseorang memegang ular yang kelihatan dari tongkat, dia akan mendapatinya sebagai tongkat. Dan jika dia menganalisisnya di makmal, dia akan mendapati ia adalah komponen yang sama dari tongkat yang dilemparkan, dan dikhayalkan kepada kita bahawa ia adalah ular yang berjalan. Oleh itu, ahli-ahli sihir apabila melemparkan tongkat mereka, mereka masih melihatnya sebagai tongkat tetapi mereka menyihir mata orang ramai sehingga orang ramai melihatnya sebagai ular. Maka tatkala Musa AS melemparkan tongkatnya, yang mereka lihat sebagai ular yang hakiki dan bukan tongkat kemudian menelan tongkat-tongkat mereka, dan menghilangkan sepenuhnya hakikatnya, maka mereka faham bahawa ini bukanlah sihir, kerana sihir tidak menghilangkan hakikat sesuatu. Maka mereka mengetahui bahawa apa yang berlaku itu bukanlah sihir dan itu adalah kebenaran yang datang dari Rabb semesta alam sebagaimana yang dikatakan oleh Musa AS, lalu mereka pun beriman dan keimanan mereka sangat menakjubkan.
- Firman Allah SWT:
﴿وَاتَّبَعثوْا مَا تَتْلُوْا الشَّيَاطِيْنُ﴾
“Mereka mengikuti apa yang dibacakan oleh syaitan-syaitan”.
Dan firman Allah SWT:
﴿ وَلَٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ﴾
“Hanya syaitan-syaitan lah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia” [TMQ al-Baqarah (2): 102].
Ini menunjukkan bahawa sihir itu dilakukan dengan membaca kalam (ucapan) kufur. Ini bermakna pelaksanaan sihir yang merupakan ilmu adalah dengan menggunakan lafaz-lafaz kufur dalam mantera-manteranya atau pelaksanaannya. Adapun selain itu, ia tidak dinamakan sihir dengan makna yang telah diketahui dalam ayat ini, misalnya menampakkan perkara yang tidak pada hakikatnya dengan wasilah-wasilah teknikal -seperti kecepatan tangan atau seumpamanya- atau menggunakan sebahagian ucapan menggunakan lafaz-lafaz yang bukan lafaz kufur untuk memasukkan kekeliruan kepada orang dengan menampakkan perkara-perkara yang bukan hakikatnya -misalnya sesetengah bomoh melumuri (menyapu sesuatu pada badan seperti minyak, bau-bauan dll [pent]) orang-orang tua-, maka perbuatan ini dan seumpamanya bukanlah sihir dengan maksud yang telah disebutkan.

