[SOAL JAWAB] CONTOH UNTUK KAEDAH TARJIH “HADIS MUTAWATIR LEBIH KUAT DARIPADA HADIS AHAD”
Oleh: KH. M. Shiddiq Al Jawi
Soalan:
Ustaz, mohon jelaskan contoh untuk kaedah tarjih hadis yang disebutkan oleh Imam Taqiyuddin An-Nabhani di kitab Al-Syakhshiyyah Al-Islamiyyah pada Juz I (hlm. 241), yang berbunyi sebagai berikut:
يُرَجَّحُ الْخَبَرُ الْمُتَوَاتِرُ عَلىَ خَبَرِ اْلآحَادِ
“Khabar (hadis) mutawātir lebih kuat daripada Hadis Āhād.” Mohon diberikan contohnya sekali. (Faiz, Klaten).
Jawapan:
Memang dalam kitab karya Imam Taqiyuddin An-Nabhani tersebut, tidak disebutkan contoh aplikasi dari kaedah tarjih yang ada. Hal ini sebenarnya bukanlah suatu aib, kerana beliau mengikuti kaedah mutakallimin dalam persoalan perumusan kaedah ushuliyah, iaitu merumuskan kaedah ushuliyah terlebih dulu secara murni, tanpa melihat apakah furū’-nya, iaitu contoh dan aplikasinya, ada atau tidak. Kaedah mutakallimin ini merupakan kaedah jumhur ulama, iaitu kaedah para ulama Malikiyah, Syafieyyah, dan Hanabilah. (Muhammad Husain Abdullah, Al-Wāḍih fī Uṣūl al-Fiqh, hlm. 32).
Kaedah tersebut berbeza dengan kaedah fuqaha`, iaitu kaedah ulama Hanafiyah yang merumuskan kaedah ushuliyah berdasarkan furū’-nya, yakni contoh-contoh kesnya, yang sudah ada terlebih dahulu. Sebuah kaedah ushuliyah yang dirumuskan berdasarkan kaedah fuqaha`, sudah tentu akan banyak contoh dan aplikasinya. (Muhammad Husain Abdullah, Al-Wāḍih fī Uṣūl al-Fiqh, hlm. 33).
Namun terlepas dari kaedahnya, memang benar bahawa ketiadaan contoh dari suatu kaedah, akan dapat menimbulkan kesulitan tersendiri, khususnya bagi mereka yang mungkin tidak sabar membaca kitab-kitab ushul fiqh karya para ulama yang jumlahnya sangat banyak yang mungkin melelahkan dan menjemukan bagi orang yang tidak terbiasa menekuni disiplin ilmu yang pelik dan kompleks seperti ilmu ushul fiqh ini. Kesulitan tersebut muncul kerana kaedah tarjih yang ada hanyalah menjadi informasi (ma’lūmāt) bagi mereka itu, tetapi belum menjadi persepsi (mafāhīm) yang sempurna dalam benak mereka mengenai kaedah tarjih tersebut, kerana kaedah tersebut belum dipertemukan dengan fakta (al-wāqi’) yang dimaksudkan, iaitu contoh aplikasinya. (Taqiyuddin An-Nabhani, al-Shakhshiyyah al-Islāmiyyah, 1/12; Al-Tafkīr, hlm.20-21).
Maka dari itu, kami sajikan 2 (dua) contoh berikut ini, sejauh yang dapat kami peroleh dari kitab-kitab ushul fiqh para ulama. Mudah-mudahan dengan contoh yang ada kita lebih memahami kaedah tarjih tersebut.
Contoh pertama, terdapat kontradiksi (al-ta’āruḍ) antara dua hadis berikut ini:
Pertama, hadis dari Ibnu ‘Umar RA berikut ini:
عن ابن عُمرَ رضي الله عنهما أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ إِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ، وَإِذَا كَبَّرَ لِلرُّكُوعِ، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ… رواه البخاري (735).
“Dari Ibnu ‘Umar RA, bahawa Rasulullah SAW mengangkat tangannya sejajar dengan bahunya ketika memulai solat, dan ketika takbir untuk rukuk, dan ketika bangkit dari rukuk…” (HR Bukhari, no. 735).
Kedua, hadis dari Abdullah bin Mas’ud RA sebagai berikut:
عن عبدالله بن مَسْعُودٍ رضي الله عنه، قال : أَلَا أُصَلِّي بِكُمْ صَلَاةَ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم؟ فَصَلَّى، فَلَمْ يَرْفَعْ يَدَيْهِ إِلَّا فِي أَوَّلِ مَرَّةٍ. رواه الترمذي (257)، وحسنه، وصحَّحه الألباني
Dari Abdullah bin Mas’ud RA, dia berkata,” Mahukah kamu bila aku solat bersama kamu dengan cara Rasulullah SAW solat?” Lalu Ibnu Mas’ud RA pun melaksanakan solat dan dia tidak mengangkat kedua tangannya, kecuali takbir pada saat yang pertama kali (saat takbiratul ihram).” (HR Tirmidzi, no. 257, dan Imam Tirmidzi menilainya sebagai hadis hasan. Syeikh Nashiruddin Al-Albani menilai hadis ini hadis shahih).
Hadis pertama bertentangan dengan hadis kedua, kerana hadis pertama menetapkan bahawa Rasulullah SAW bertakbir pada saat takbiratul ihram, pada saat rukuk, dan pada saat bangkit dari rukuk. Sedangkan hadis kedua, menetapkan bahawa Rasulullah SAW bertakbir pada saat takbiratul ihram saja, tidak ada yang lain.
Tarjihnya, hadis pertama lebih kuat (rājih) daripada hadis yang kedua, kerana hadis pertama adalah hadis mutawatir, sedangkan hadis yang kedua adalah hadis Ahad.
Berkata Imam Ibnu Rusy Al-Jadd dalam kitab Al-Bayān wa al-Taḥṣīl (1/261):
وَالصَّحِيحُ فِي المَذْهَبِ إِيجَابُ الرَّفْعِ فِي ذَلِكَ بِالسُّنَّةِ ، فَهُوَ تَوَاتَرَتْ بِهِ الْآثَارُوَأَخَذَ بِهِ جَمَاعَةُ فُقَهَاءِ الأَمْصَارِ
“Menurut pendapat yang sahih dalam mazhab (Maliki), wajib hukumnya mengangkat tangan pada yang demikian itu berdasarkan As-Sunnah, cara takbir ini telah diriwayatkan secara mutawatir dalam berbagai hadis, dan telah diambil oleh sekumpulan para fuqaha’ di berbagai kota.” (Ibnu Rusy Al-Jadd, Al-Bayān wa al-Taḥṣīl, 1/261).
Bertakbir di tiga tempat tersebut (saat takbiratul ihram, saat rukuk, dan saat bangkit dari rukuk) juga merupakan pendapat dalam mazhab Syafie. Imam Syafie berkata dalam kitabnya Ikhtilāf al-Hadīth:
بِهَذِهِ اْلأَحَادِيْثِ – أَيْ أَحَادِيْثُ رَفْعِ الْيَدَيْنِ – تَرَكْنَا مَا خَالَفَهَا مِنْ حَدِيْثٍ، لِأَنَّهَا أَثْبَتُ إِسْنَادًا، وَأَنَّهُ حَدِيْثُ عَدَدٍ، وِالْعَدَدُ أَوْلىَ بِالْحِفْظِ
“Dengan hadis-hadis ini –iaitu hadis-hadis tentang mengangkat tangan – kami meninggalkan hadis yang menyalahi hadis-hadis tentang mengangkat tangan, kerana hadis-hadis itu lebih kuat isnad-nya, dan hadis-hadis itu merupakan hadis yang diriwayatkan oleh banyak orang (hadis mutawatir), padahal hadis yang diriwayatkan oleh banyak orang (hadis mutawatir), lebih layak untuk dipelihara.” (Imam Syafie, Ikhtilāf al-Hadīth, hlm. 127).
(Sumber: https://www.asjp.cerist.dz/en/downArticle/793/1/2/166080).
Contoh kedua, terdapat kontradiksi (al-ta’āruḍ) antara dua hadis berikut ini:
Pertama, hadis dari ‘Abdullah Ibnu ‘Abbas RA berikut ini:
عَنْ عبدالله بن عَبَّاسٍ رضي الله عنهما، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: إِذَا دُبِغَ الْإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ. رواه الترمذي (5/ 221)، وابن حبان في صحيحه (5440)، وصححه الألباني
Dari Ibnu Abbas RA, dia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Jika kulit binatang telah disamak, maka ia menjadi suci.” (HR Tirmidzi, 5/221; Ibnu Hibban dalam Sahih Ibnu Hibban (nombor 5440), dan hadis ini dinilai sahih oleh Syeikh Nashiruddin Al-Albani).
Kedua, hadis dari ‘Abdullah bin’Ukaim RA berikut ini:
وعَنْ عبدالله بن عُكَيْمٍ رضي الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم: (لَا تَنْتَفِعُوا مِنَ المَيْتَةِ بِإِهَابٍ، وَلَا عَصَبٍ) . رواه البزار، مسند البزار (13/ 50)، وشرح مشكل الآثار، للطحاوي (12/ 509)، والكفاية، للخطيب البغدادي، صـ (168).
Dari ‘Abdullah bin’Ukaim RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu memanfaatkan dari bangkai mahupun urat bangkai, dengan melakukan penyamakan.” (HR Al-Bazzār, Musnad Al-Bazzār, 13/50; Al-Thahāwi, Sharah Mushkil al-Āthār; Al-Khaṭīb al-Baghdādi, Al-Kifāyah fī ‘Ilmi al-Riwāyah, hlm. 168).
Hadis pertama bertentangan dengan hadis kedua, kerana hadis pertama menetapkan bahawa kulit bangkai menjadi suci dengan cara menyamaknya. Sedangkan hadis kedua, menetapkan kulit bangkai tidak menjadi suci, baik dengan cara menyamaknya mahupun dengan cara yang lainnya.
Tarjihnya, hadis pertama lebih kuat (rājih) daripada hadis yang kedua, kerana hadis pertama adalah hadis mutawatir, sedangkan hadis yang kedua adalah hadis Ahad.
Imam Al-Thahāwi menegaskan bahawa hadis pertama dari Ibnu Abbas RA di atas adalah hadis mutawatir dengan berkata:
قال الإمام الطحاوي: (فقد جاءت هذه الآثار متواترة في طهور جلد الميتة بالدباغ، وهي ظاهرة المعنى…) شرح معاني الآثار، للطحاوي 1/ 471
Imam al-Thahāwi berkata, “Sungguh telah terdapat hadis-hadis yang datang secara mutawatir mengenai sucinya bangkai dengan penyamakan, dan ini sangat jelas maknanya. Hadis ini lebih utama daripada hadis Abdullah bin ‘Ukaim …” (Al-Thahāwi, Sharah Mushkil al-Āthār, 1/471).
(Sumber: https://www.alukah.net/sharia/0/145067/المرجحات-عند-التعارض-ثلاثة-وعشرون-مرجحا-1ixzz7qNGIujQy).
Hanya saja, perlu kami tambahkan bahawa memang sebahagian ulama telah meletakkan kedua hadis di atas bukan dalam konteks tarjih hadis, melainkan dalam konteks nasakh (penghapusan hukum) hadis. Sebahagian ulama itu berpendapat, bahawa hadis kedua yang melarang penyamakan kulit bangkai secara mutlak, merupakan hadis yang secara kronologi waktunya lebih belakangan (muta`akhkhir) daripada hadis pertama. Maka dari itu, hadis kedua ini dianggap menasakh hadis pertama yang membolehkan menyamak kulit bangkai binatang.
(Sumber: https://www.dorar.net/hadith/sharh/28519).
Hanya saja, pendapat tersebut tidak dapat diterima, kerana hadis pertama adalah hadis mutawatir, sedang hadis kedua adalah hadis Ahad, padahal terdapat kaedah ushuliyah yang sudah menetapkan bahawa Hadis Mutawatir tidak dapat dinasakh oleh hadis Ahad. Imam Taqiyuddin An-Nabhani dalam masalah ini menyatakan:
أَمَّا الْمُتَوَاتِرُفَلاَ يَجُوْزُ أَنْ يُنْسَخَ إِلاَّ بِالْمُتَوَاتِرِ، فَلاَ يُنْسَخُ الْمُتَوَاتِرُ بِاْلآحَادِ
“Adapun Hadis Mutawatir, maka dia tidak boleh dinasakh kecuali oleh Hadis Mutawatir pula, maka tidak boleh terjadi nasakh Hadis Mutawatir oleh Hadis Ahad.” (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Syakhshiyyah Al-Islamiyyah, 3/282).
Demikianlah penjelasan kami, semoga bermanfaat. Āmīn. Wallāhu a’lam.
Jogjakarta, 25 Januari 2023
Muhammad Shiddiq Al-Jawi
#soaljawab #hukumfiqh #hadis

