[Fikrul Islam] Mengingati Kematian dan Akhirat
Penulis: M. R. Kurnia
Percaya kepada kematian tidak berguna tanpa beriman kepada hari akhirat. Orang yang beriman sangat memahami bahawa kematian merupakan pintu gerbang menuju kehidupan akhirat. Di akhiratlah adanya kehidupan yang kekal, kehidupan yang ditentukan tempat kediaman yang sebenar iaitu nikmat jannatun na’im atau neraka jahim. Oleh sebab itu, seseorang yang sedang bersiap sedia untuk menghadapi kematian akan berusaha tanpa henti untuk merakamkan gambaran kehidupan di masa hadapan sebagaimana yang dimaklumkan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan hadis nabi. Seseorang yang meyakini bahawa ajal akan datang, tetapi dalam fikiran dan jiwanya tidak terbetik hakikat dunia akhirat yang bakal dihadapinya, keyakinannya tidak akan meninggalkan sebarang kesan dan mahupun pengaruh apa pun.
Uthman bin Affan dalam salah satu khutbahnya pernah berkata, “Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan dunia kepadamu agar dengannya kamu memperoleh akhirat. Dia tidak memberikan dunia kepada kalian untuk kalian berlutut kepadanya. Sesungguhnya dunia itu fana, sedangkan akhirat itu kekal abadi. Janganlah yang fana itu melalaikan dan membuatkan kalian lupa kepada akhirat yang kekal. Utamakan yang kekal daripada yang fana. Sesungguhnya dunia pasti akan terputus dan sesungguhnya tempat kembali hanyalah kepada Allah SWT.”
Rasulullah SAW memerintahkan umatnya untuk mengingati kematian dalam hadis riwayat At-Turmudzi,
“Perbanyakkanlah mengingati pemusnah kenikmatan (kematian).”
Malah, kerana pengaruh besar mengingati kematian ini,
Nabi memberitahu, “Seandainya haiwan ini mengetahui kematian sebagaimana yang diketahui oleh anak Adam, nescaya kamu tidak akan memakan dagingnya dalam keadaan gemuk.” [Riwayat Al-Baihaqi].
Rasulullah SAW dan para sahabat memiliki karakter yang sentiasa mengingati kematian. Al-Baihaqi meriwayatkan suatu waktu turunlah ayat,
ۡ هٰذَا الۡحَدِيۡثِ تَعۡجَبُوۡنَۙ ٥٩
وَتَضۡحَكُوۡنَ وَلَا تَبۡكُوۡنَۙ ٦٠
“Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)?” [TMQ an-Najm(53): 59-60].
Ketika ayat ini diturunkan, para ahlu suffah menangis hingga air mata mereka membasahi janggut mereka. Rasulullah SAW pun turut menangis bersama mereka. Seraya baginda bersabda,
“Api neraka tidak akan menyentuh orang yang menangis kerana takut kepada Allah, dan tidak akan masuk syurga orang yang terus-menerus bergelumang dengan kemaksiatan.”
Umar bin Khattab dikenali sebagai seorang yang tegas dan kuat dalam berpegang kepada kebenaran. Namun begitu, dalam hal kematian beliau pun senantiasa teringat padanya. Beliau menangis apabila mendengar ayat-ayat atau peringatan tentang akhirat. Bahkan cincin yang dipakainya turut terpahat tulisan, “Cukuplah kematian sebagai peringatan, wahai Umar!”
Bukan hanya sahabat, para generasi penerus mereka juga demikian. Diceritakan bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengumpulkan para fuqaha setiap malam. Mereka saling mengingatkan tentang kematian, hari kiamat, dan akhirat. Mereka juga menangis seolah-olah sedang menghadapi kematian.
Begitulah Rasulullah SAW, para sahabat, dan pengikut-pengikutnya yang soleh setelah baginda, yang sentiasa berusaha untuk mengingati kematian. Di siang hari mereka berjuang sebagai mujahid, mencari nafkah, berdakwah, dan aktiviti-aktiviti lain. Pada masa yang sama, apabila mereka diingatkan tentang kehidupan akhirat dan kematian, hati mereka tenggelam, mata mereka basah berlinangan dengan air mata. Betapa banyaknya pengorbanan yang mereka lakukan, betapa besar kebaikan mereka, betapa luhur ilmu Islam mereka, tetapi mereka takut dan sentiasa mengingati kematian dan akhirat. Sedangkan kita yang tidak mempunyai apa-apa, ilmu sikit, amal pun kurang, perjuangan hampir-hampir jadi aktiviti sampingan, tidak pernah pun mengingat kepada kematian.
Sumber: M. R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam
[Fikrul Islam] Mengingati Kematian dan Akhirat

