Site icon MuslimahHTM News

Tidak Perlu Takut Mati (Bahagian 2)

Tidak Perlu Takut Mati (Bahagian 2/2)
Penulis: M. R. Kurnia

Kematian boleh datang ketika manusia sedang menjalani seminar, kuliah, belajar, mahupun ketika mengambil peperiksaan. Begitu juga kematian boleh tiba ketika manusia sedang tidur, ketika di dalam kereta, terlantar di hospital, berfoya-foya di kelab malam, berbelanja di pasaraya, mencangkul di sawah, berdakwah di masjid, atau di tengah-tengah medan jihad fi sabilillah.

Banyak juga peristiwa yang menunjukkan bahawa kematian boleh menimpa manusia yang sihat dan walafiat, manusia yang mengalami sedikit demam panas, ataupun ketika seseorang menderita penyakit kronik. Tempat meninggal pula ada yang di rumah, pejabat, bas, kenderaan peribadi, kapal terbang, kapal selam, kereta api, motor dan ada pula yang di hospital.

Walhasil, kematian boleh terjadi dalam keadaan apa saja. Pada waktu ajal seseorang tiba, pada ketika itulah kematiannya datang. Dalam erti kata yang lain, pada ketika batas usia seseorang yang ditetapkan Allah SWT telah sampai, ketika itulah dia meninggal tanpa dapat ditangguhkan lagi walau sekejap. Ini kerana satu-satunya sebab kematian adalah datangnya ajal dari Allah SWT. Berkaitan dengan perkara ini, Allah SWT menegaskan,

“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.” [TMQ Ali Imran (3): 145].

“Allah memegang nyawa (seseorang) pada ketika kematiannya dan nyawa (seseorang) yang belum mati ketika ia tidur; maka Dia tahan nyawa (manusia) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan nyawa yang lain sampai waktu yang ditentukan.” [TMQ az Zumar (39): 42].

“Rabbku yang menghidupkan dan mematikan.” [TMQ al-Baqarah (2): 258].

“Wahai manusia-manusia yang beriman! Janganlah kamu seperti manusia-manusia kafir yang mengatakan kepada saudara-saudaranya apabila mereka mengadakan perjalanan di bumi atau berperang, ‘Sekiranya mereka tetap bersama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh.’ (Dengan perkataan) yang demikian itu, kerana Allah SWT hendak menimbulkan rasa penyesalan di hati mereka. Allah SWT menghidupkan dan mematikan, dan Allah SWT Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” [TMQ Ali Imran (3):156].

“Di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kokoh.” [TMQ an-Nisa (4): 78].

“Katakanlah, ‘Malaikat maut yang diserahkan untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikan kamu, kemudian kepada Tuhanmu, kamu akan dikembalikan.” [TMQ as-Sajdah (32): 11].

“Katakanlah, ‘Sesungguhnya kematian yang kamu lari darinya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.’” [TMQ al-Jumu’ah (62): 8].

“Kami telah menentukan kematian di antara kalian.” [TMQ al-Waqiah (56): 60].

Ayat-ayat di atas dengan tegas (qath’iy) menunjukkan bahawa Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dialah yang menetapkan batas usia bagi tiap-tiap manusia. Ketika ajal tiba, hidup seseorang di dunia ini pun akan berakhir. Ini kerana datangnya ajal itulah satu-satunya sebab kematian.

Kematian itu akan terjadi dalam keadaan sakit ataupun sihat, senang ataupun susah, di rumah ataupun di pejabat, ketika manusia berharap ataupun tidak, waktu seseorang bersedia menghadapinya ataupun tidak, tenang ataupun perang. Ringkasnya, kematian pasti datang ketika ajal tiba tanpa melihat keadaan apa pun. Hanya saja, setiap manusia tidak mengetahui bila dan di mana dia akan mati.

“Dan tiada seorang pun mengetahui di belahan bumi mana dia akan mati.”[TMQ Luqman (31): 34].

Berdasarkan hal ini, samada manusia takut mati ataupun tidak, sama saja, iaitu sama-sama akan mati. Takut kepada kematian ataupun tidak, tidak memberikan pengaruh terhadap lebih cepat atau lebih lambatnya kedatangan ajal. Takut ataupun tidak, kematian tetap akan datang.

Oleh itu, tidak perlu takut mati. Sebaliknya, yang perlu ditakuti adalah keadaan ketika datangnya ajal yang entah bila menjelang. Mungkin lima minit lagi, satu jam lagi, dua hari lagi, seminggu lagi, sebulan lagi, setahun lagi, entah bila.

Perkara yang ditakuti seorang mukmin bukanlah kematian itu sendiri, melainkan keadaan ketika mana dia mati. Dia sepatutnya risau andai mati dalam keadaan bermaksiat dan membawa banyak dosa akibat tidak melaksanakan hukum Allah SWT.

Jadi, persoalan terpenting dalam menghadapi kematian adalah mempersiapkan akidah yang jernih lagi lurus, ketaatan kepada Allah SWT dan RasulNya, serta melaksanakan amal soleh yang banyak dengan sentiasa disandarkan pada al-Quran dan As-Sunnah sebagai wahyu dari Zat Pencipta manusia.

Sumber: M. R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam

Exit mobile version