Site icon MuslimahHTM News

Apakah Yang Perlu Anda Lakukan Apabila Pasangan Anda Melayan Anda Secara Tidak Wajar?

[Keluarga] Apakah Yang Perlu Anda Lakukan Apabila Pasangan Anda Melayan Anda Secara Tidak Wajar?

 

Penulis: Najmah Saiidah

 

Tiada keindahan selain indahnya pasangan suami isteri yang menjalani kehidupan berumah tangga atas dasar cinta kepada Allah SWT dan sentiasa menjadikan syariat Islam sebagai asasnya. Matlamat yang ingin diraih oleh kedua-duanya dalam melayari kehidupan rumah tangga adalah satu perkara utama iaitu ke syurga bersama. Sudah tentu ini bukan perkara yang mudah untuk dilalui, tetapi ia bukanlah satu perkara yang sukar yang tidak boleh dilakukan juga. Selagi kita bertawakal kepada Allah SWT sebagai tempat sandaran kita serta berbekalkan iman yang teguh, bi idznillah kita akan mampu melepasinya dengan selamat.

 

Hanya saja, dalam menjalani kehidupan rumah tangga, ada kalanya seorang mukmin diuji oleh Allah SWT dengan perlakuan kurang baik daripada pasangan hidupnya. Seorang suami terkadang tergelincir dengan sikap atau akhlak yang tidak terpuji kepada isterinya, begitu juga sebaliknya, kadangkala isteri melakukan perkara yang tidak diterima oleh suaminya. Rumah tangga yang pada mulanya penuh dengan kedamaian dan kebahagiaan, lama kelamaan kadangkala mengalami badai dan goncangan.

 

Sesungguhnya ini adalah ujian yang harus ditempuhi oleh pasangan suami isteri  agar bahtera pernikahan tetap stabil menuju sakinah, mawaddah, dan penuh rahmat Allah SWT. Oleh kerana itu, situasi ini hendaklah segera diselesaikan kerana berbuat makruf kepada pasangan adalah kewajipan yang mest ditunaikan oleh pasangan sehingga ketenangan dalam keluarga akan terwujud.

 

Islam Memerintahkan Bergaul dengan Makruf dalam Kehidupan Berumah Tangga

 

 

Islam amat menitikberatkan kepentingan menjaga keharmonian keluarga kerana pada dasarnya baiti jannati, iaitu rumahku adalah syurgaku. Keharmonian ini direalisasikan melalui interaksi yang baik dan intensif dengan semua ahli keluarga dengan menjadikan hukum Islam sebagai garis panduan. Allah  SWT  telah memerintahkan agar suami bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, begitu juga seorang isteri terhadap suaminya sebagaimana layaknya teman yang sempurna.

 

Firman Allah SWT,

وَعَاشِرُوْهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ ۚ فَاِنْ كَرِهْتُمُوْهُنَّ فَعَسٰٓى اَنْ تَكْرَهُوْا شَيْـًٔا وَّيَجْعَلَ اللّٰهُ فِيْهِ خَيْرًا كَثِيْرًا

“Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka, maka bersabarlah kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [TMQ an-Nisa’(4): 19]

 

Yang dimaksudkan dengan menggauli dengan cara yang patut/baik adalah akhlak yang baik, lemah lembut, bercakap dengan nada perlahan, dan tidak kasar, mengakui kesalahan dan kekhilafan yang semua orang pasti pernah melakukannya.

 

Terdapat beberapa pendapat dalam memahami mu’asyarah bi al-ma’ruf ini, salah satunya menafsirkannya sebagai “memperbaiki ucapan, perbuatan, penampilan”. Imam At-Tabari menafsirkan ayat ini, jika isteri taat kepada Allah SWT dan taat kepada suami, wajib bagi suami memperbaiki pergaulan dengan isteri, menahan diri daripada mengganggu/menyakiti isteri, dan memberi nafkah mengikut kemampuannya [Tafsir Ath-Tabari, jilid 2, m/s 466].

 

Ibnu Kathir berpendapat bahawa mu’asyarah bi al-ma’ruf atau bergaul dengan baik adalah sopan ketika bercakap dengan isteri, sebagaimana kamu suka diperlakukan oleh isteri, maka perlakukanlah isterimu mengikut apa yang hatimu sukai. Hubungan seksual antara suami dan isteri adalah keperluan bersama. Manakala Imam Qurthubi pula berpendapat, memberikan haknya dengan sempurna iaitu membayar mahar, memberi nafkah, tidak berkata-kata kasar.

 

Jelaslah bahawa sesungguhnya Islam memerintahkan pasangan suami isteri untuk bergaul secara makruf antara yang satu dengan yang lain. Lalu, apa yang patut dilakukan, apabila pasangan hidup tidak bertindak dengan cara yang makruf walaupun kehidupan berumah tangga telah dijalankan selama bertahun-tahun?

 

Ketika Diperlakukan Tidak Makruf oleh Pasangan, Apa yang Patut Dilakukan?

 

Wujudnya ujian dalam kehidupan rumah tangga sebenarnya adalah lumrah yang berlaku kepada pasangan suami isteri, baik pasangan baru mahupun yang sudah lama berumah tangga tanpa memilih bulu. Oleh itu, pasangan sepatutnya berusaha keras untuk mengekalkan rumah tangga dan tidak cepat berputus asa dalam keadaan sedemikian. Justeru, apa yang boleh kita lakukan?

 

  1. Muhasabah diri dan minta maaf kepada pasangan.

 

Perubahan yang terjadi pada pasangan kita sudah tentu tidak dengan serta-merta, lebih-lebih lagi jika pernikahan telah berlangsung lama. Kita turut memberi pengaruh terhadap apa yang dilakukannya. Oleh itu, ketika sesuatu masalah terjadi, sudah seharusnya kita melihat diri kita dan berusaha melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik. Boleh jadi ada perkara-perkara yang kurang dalam memenuhi hak-hak pasangan kita yang sepatutnya menjadi kewajipan kita.

 

Kita hendaklah bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT atas segala keburukan dan kesilapan yang mungkin kita lakukan dalam menunaikan hak Allah SWT, hak pasangan kita, atau hak-hak lain. Ini kerana kejadian ini boleh berlaku kepada kita kerana perbuatan maksiat yang telah kita lakukan. Allah SWT berfirman,

 

وَمَآ اَصَابَكُمْ مِّنْ مُّصِيْبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ اَيْدِيْكُمْ وَيَعْفُوْا عَنْ كَثِيْرٍۗ

Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” [TMQ asy-Syu’ara(26): 30].

 

Tidak salah jika kita meminta maaf kepada pasangan kita kerana mungkin ada tingkah laku atau kata-kata kita yang menyinggung perasaan dan hatinya sehinggakan sikapnya berubah terhadap kita.

 

  1. Sabar dan berusaha saling menasihati.

 

Dalam menjalani kehidupan berumah tangga, memang tidak dinafikan kadangkala ada perkara yang membuatkan kita atau pasangan kurang senang atau menimbulkan pendapat yang berbeza malah membawa kepada perselisihan. Salah satu kunci bertahannya sesebuah perkahwinan adalah bersabar dalam berinteraksi dengan pasangan kita. Kesabaran menghasilkan keajaiban, bukan sahaja dalam hubungan itu sendiri, tetapi juga pada orang yang terlibat di dalamnya. Oleh itu, dengan kesabaran akan menjadikan hubungan itu kekal dan bermakna.

Apabila sesuatu sikap atau perbuatan itu masih boleh ditoleransi, selagi tidak bercanggah dengan syariat, maka bertolak ansurlah dan menerima keadaan itu dengan baik. Dimana kesabaran menghasilkan keajaiban, bukan sahaja dalam hubungan itu sendiri, tetapi juga pada orang yang terlibat di dalamnya. Oleh itu, dengan kesabaran akan menjadikan hubungan itu kekal dan bermakna.

 

Apabila berlaku perlanggaran hukum syarak yang tidak disengajakan kerana salah faham atau tersalah faham pasangan, maka yang perlu kita lakukan ialah saling menasihati, beramar makruf nahi mungkar dengan pasangan, kemudian mengembalikannya kepada hukum syarak.

 

Persahabatan suami isteri akan membawa kepada sikap tidak pernah rela pasangan melakukan kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Saling menasihati antara satu sama lain adalah satu bentuk hubungan kasih sayang kerana Allah SWT.Ini kerana matlamatnya adalah untuk menjaga ketaatan kepada Allah SWT dan memelihara pasangannya daripada melakukan kemaksiatan kepadaNya.

 

Nasihat yang disertakan dengan komunikasi yang lemah lembut dan tidak menghalalkan kesilapan akan membuatkan pasangan yang dinasihati berasa nyaman dan tenang dalam menerima nasihat. Seorang suami hendaklah sentiasa mendidik isterinya, bagaimana menjadi wanita yang solehah dan dapat menunaikan hak suami dengan sebaik-baiknya. Apabila kedua-duanya dapat mengikut suruhanNya, insyaAllah rumahtangga akan bahagia.

 

  1. Saling menahan diri dan tidak saling menyalahkan.

 

Sebaik mana pun rumah tangga, sudah tentu terdapat kekurangan dan perkara yang tidak menyenangkan yang menimbulkan masalah. Inilah masanya kedua-dua pihak baik suami isteri menahan diri dan tidak menyalahkan satu sama lain. Sebaliknya, mereka berdua saling menjaga antara satu sama lain.

 

Sesungguhnya semua ini memerlukan usaha tambahan. Di sinilah peranan suami yang soleh dan isteri yang solehah agar dapat mengawal diri, menjaga kestabilan keadaan agar tidak membuka peluang sedikit pun untuk syaitan masuk dan mengganggu suasana. Di sinilah ketabahan iman dan tawakkal seorang mukmin diuji, adakah dia akan melepasi ujian ini?

 

Lebih baik seseorang mengalah kepada yang lain, walaupun tidak mudah untuk dilakukan. Antara sikap yang harus dielakkan oleh suami daripada dicela oleh Allah SWT ialah sering menyalahkan dan mencari kesalahan isteri. Sikap seperti ini tidak akan menyelesaikan masalah dan malah merosakkan lagi keharmonian. Bukankah lebih baik untuk menerima kekurangan isteri dan membimbingnya?

 

Kehidupan rumah tangga yang berjaya, harmoni, sakinah mawaddah wa rahmah sebenarnya hendaklah dihiasi dengan saling melupakan keburukan pasangan dan sebaliknya banyak mengingati kebaikan pasangan kita dan mengutamakan kepentingan masing-masing serta saling memaafkan dan memahami. Memaafkan antara satu sama lain adalah kunci untuk mengekalkan hubungan baik antara suami dan isteri.

 

  1. Saling mendoakan pasangan.

 

Kita dan pasangan hendaklah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah yang hadir dalam kehidupan berumah tangga. Cuma, kita juga perlu terus memohon pertolongan daripada Allah SWT iaitu pemilik hati dan pasangan kita. Namun hanya Allah SWT yang dapat membantu kita keluar dari segala masalah yang menimpa keluarga.

 

Doa merupakan salah satu ibadah paling mulia dan utama di sisi Allah SWT. Boleh dikatakan bahawa doa merupakan senjata atau perisai terbaik bagi orang-orang beriman. Segala persoalan hidup yang rumit dan seolah tidak memiliki titik terang boleh kita adukan kepada Allah SWT. InsyaAllah Dia Yang Maha Pengasih dan Penyayang akan memberikan jalan keluar yang paling baik bagi hubungan kita dengan pasangan.

 

Khatimah

 

Setiap pasangan suami isteri perlu kekal optimis dalam mencari penyelesaian kepada setiap masalah yang menghampiri rumah tangga mereka. Setiap daripada kita hendaklah terus berusaha memperbaiki diri agar rumah tangga kekal selamanya. Memang diakui proses ini tidak mudah, tetapi jika kita dan pasangan berusaha bersungguh-sungguh, Allah SWT akan memberikan kebaikan untuk keluarga kita.

 

Hanya seorang suami yang mempunyai sikap belas kasihan terhadap isterinya dan sebaliknya isterinya juga mempunyai sikap belas kasihan dan hormat kepada suaminya dengan panduan syariat Islam sahaja akan melahirkan pergaulan yang baik dalam kehidupan rumah tangga. Jika ada masalah yang dihadapi, kedua-duanya tetap memuliakan satu sama lain dan bijak menyelesaikan masalah.

 

Jika keadaan rumah tangga begini, Allah SWT akan limpahkan rahmat dan kebahagiaan kepada keluarga ini. Semoga kita semua sentiasa diberi kekuatan untuk sentiasa berusaha untuk merealisasikannya. Amin. Wallahu’alam bissawab.

 

Exit mobile version