HUKUM LELAKI MENGAHWINI IBU MERTUANYA
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan :
Assalamualaikum Ustaz, saya mahu bertanya tentang syarah kitab An-Nizham Al-Ijtima’i, bab wanita yang haram dinikahi. Ada kalimat, mertua, menantu haram untuk untuk berkahwin kerana “semata akad pernikahan”. Bagaimana pula jika keadaannya begini, si A (lelaki) dan si Bagi (perempuan) bercerai, adakah si A boleh berkahwin dengan ibunya si B (bekas ibu mertuanya?). Dalam keadaan lain, si A (lelaki) dan si B (perempuan) telah berpisah, adakah bapa si A boleh berkahwin dengan si B (bekas menantunya?). Termasuk perbahasan pada menantu, ada kalimat “semata-mata kerana adanya akad perkahwinan” dengan si B, apakah maksudnya itu ustaz? Kerana apabila si A dan si B bercerai, sudah tidak ada akad pernikahan, jadi bolehkah bapa si A menikahi si B (bekas menantunya?)
Jawapan :
Wa ‘alaikumus salam warahmatullahi wwabarakatuhu
Haram hukumnya seorang lelaki berkahwin dengan ibu mertuanya walaupun lelaki itu sudah bercerai dengan isterinya. Firman Allah SWT.,
وَاُمَّهٰتُ نِسَاۤىِٕكُمْ
“(Diharamkan atas kamu menikahi) ibu-ibu dari isterimu (ibu mertua).” [TMQ An-Nisaa` (4) : 23]
Ayat tersebut dengan jelas telah mengharamkan seorang lelaki untuk berkahwin dengan ibu mertuanya, hanya dengan akad nikah yang terjadi antara seorang lelaki dengan seorang perempuan. Maksudnya, baik lelaki itu sudah menggauli isterinya ataupun belum, sudah jatuh haram untuk lelaki itu menikahi ibu mertuanya, iaitu ibu dari perempuan itu.
Dalam kitab Al-Nizhām Al-Ijtimā’i fī Al-Islām, Imam Taqiyuddin An-Nabhani menjelaskan ayat tersebut dengan berkata :
وَيَحْرُمُ نِكاحُ أُمَّهاتِ النِّساءِ ، فَمَن تَزَوَّجَ امْرَأَةً حُرِّمَ عَلَيْهِ كُلُّ أُمٍّ لَهَا مِنْ نَسَبٍ أَوْ رَضَاعٍ . . . بِمُجَرَّدِ العَقْدِ ، سَواءٌ دَخَلَ بِهَا أَمْ لَمْ يَدْخُلْ
“Haram hukumnya [seorang lelaki] menikahi ibunya isteri (ibu mertua). Maka barangsiapa [lelaki] yang telah menikahi seorang perempuan, diharamkan atas lelaki itu untuk menikahi setiap ibu dari perempuan itu, baik itu ibu kandung mahupun ibu susuan…hanya dengan adanya akad nikah, baik lelaki itu sudah menggauli perempuan itu mahupun belum menggaulinya.” (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Ijtimā’i fī Al-Islām, hlm. 116).
Jadi, kalimat “hanya dengan adanya akad nikah” (بِمُجَرَّدِ العَقْدِ) maksudnya adalah, tanpa dipersyaratkan adanya jima’ (hubungan seksual) di antara keduanya (lelaki dan perempuan yang dinikahinya), maka ibu si perempuan (iaitu ibu mertua) sudah menjadi mahram abadi (mahram mu`abbad) bagi lelaki tersebut, walaupun lelaki itu belum menggauli (ber-jima’) dengan perempuan yang dinikahinya.
Ini berbeza dengan lelaki yang menikahi seorang perempuan (janda) yang mempunyai anak perempuan hasil perkahwinan sebelumnya. Ketika lelaki tersebut melakukan akad nikah dengan perempuan (janda) tersebut, adakah lelaki itu sudah menjadi mahram buat anak perempuan janda itu? Jawapannya, belum, selagi mana lelaki itu baru sekadar melakukan akad nikah tetapi belum menggauli perempuan (janda) yang dinikahinya. Maksudnya, anak perempuan dari janda itu tadi hanya akan menjadi mahram abadi (mahram mu’abbad) bagi lelaki tersebut setelah lelaki itu menggauli perempuan janda yang dinikahinya. (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Ijtimā’i fī Al-Islām, hlm. 116).
Dalilnya adalah firman Allah SWT :
وَرَبَاۤىِٕبُكُمُ الّٰتِيْ فِيْ حُجُوْرِكُمْ مِّنْ نِّسَاۤىِٕكُمُ الّٰتِيْ دَخَلْتُمْ بِهِنَّۖ فَاِنْ لَّمْ تَكُوْنُوْا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ ۖ
“…dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya)…. ” [TMQ An-Nisaa’ (4) : 23]
Berdasarkan ayat ini, jika seorang lelaki mengahwini seorang perempuan (janda) yang mempunyai anak perempuan, maka lelaki itu hanya akan menjadi bagi anak perempuan tersebut jika lelaki itu sudah menggauli perempuan (janda) itu. Jadi, andai kata lelaki itu sudah melakukan akad nikah dengan janda tersebut tetapi dia belum sempat menggaulinya, kemudian mereka bercerai, maka boleh hukumnya lelaki itu berkahwin dengan anak perempuan dari janda yang sudah diceraikan oleh lelaki tersebut.
Demikianlah penjelasan kami, semoga dapat difahami. Wallāhu a’lam.
HUKUM LELAKI MENGAHWINI IBU MERTUANYA

