HUKUM MELIHAT WANITA (BAHAGIAN 1)
Islam memberi hak kepada wanita untuk menjalani kehidupan di luar rumahnya sama seperti lelaki. Wanita berhak keluar membeli-belah, menziarahi sanak-saudara, mendapatkan rawatan di hospital, bekerja, beriadah dan pelbagai lagi aktiviti yang dibenarkan oleh Islam. Walau bagaimanapun, apabila wanita mahu melangkah keluar dari rumahnya, beberapa perkara mesti diperhatikan. Wanita perlu mengetahui hukum-hukum yang berkaitan dengannya apabila keluar dari rumah kerana dia akan terdedah kepada interaksi dengan lelaki ajnabi. Oleh itu, lelaki dan wanita sama-sama perlu memahami kewajipan masing-masing dalam interaksi yang wujud antara kedua-dua jantina ini agar fitnah dan kemaksiatan dapat dielakkan.
Pertama sekali, wanita hendaklah menutup aurat apabila bertemu lelaki ajnabi sama ada di tempat khusus atau di tempat umum. Hal ini demikian kerana seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan telapak tangannya. Perkara ini telah dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya seorang anak perempuan jika telah haid (baligh), tidak boleh terlihat dari dirinya kecuali wajah dan kedua tangannya hingga pergelangan tangan.” [HR Abu Dawud]. Selain itu, Allah SWT juga berfirman: “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.” [TMQ an-Nur (24): 31]. Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda: “Wanita adalah aurat” [HR Ibnu Hibban dalam Sahîh Ibnu Hibban, dari jalur Ibnu Mas’ud]. Oleh itu, wanita perlu memelihara auratnya daripada terdedah kepada pandangan lelaki ajnabi walau di mana-mana seorang wanita itu berada.
Jadi, setiap wanita perlu mengenal pasti lelaki yang dibenarkan oleh syarak untuk melihat selain daripada muka dan telapak tangan mereka sepertimana firman Allah SWT: “…“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita” [TMQ an-Nur (24): 31]. Hanya lelaki-lelaki yang termaktub dalam dalil di atas sahaja yang dibenarkan melihat anggota badan wanita mahramnya seperti rambut, leher, pergelangan tangan, pergelangan kaki dan anggota-anggota badan yang lain yang biasanya menjadi tempat terletaknya perhiasan ketika wanita memakai pakaian harian mereka di rumah. Selain mereka yang dinyatakan ini adalah tergolong lelaki ajnabi atau bukan mahram bagi wanita, maka adalah diharamkan melihat selain muka dan telapak tangannya.
Selain lelaki-lelaki yang disebutkan dalam ayat di atas, terdapat keadaan tertentu yang memerlukan seseorang itu melihat anggota aurat lawan jenisnya. Dalam keadaan ini, hanya bahagian anggota badan tersebut sahaja boleh dilihat iaitu sebatas keperluan. Pihak yang dibenarkan oleh syarak untuk melihatnya ialah doktor, paramedik, pemeriksa (penyiasat) atau mereka yang mempunyai keperluan penting untuk melihat anggota badan sama ada termasuk aurat ataupun bukan aurat.
Seterusnya, seorang lelaki ajnabi juga boleh melihat wajah dan kedua telapak tangan wanita yang bukan mahramnya dengan tujuan untuk mengetahui identiti wanita tersebut bagi mengelakkan kesilapan. Situasi ini banyak berlaku dalam aktiviti-aktiviti seperti berjual beli, kesaksian, akad ijarah, memberi pinjaman dan menuntut hutang serta pelbagai urusan kehidupan yang lain. Namun, dengan syarat pandangan lelaki terhadap wanita dalam situasi di atas mestilah pada selain aurat dan tanpa disertai niat untuk mencari kenikmatan dan kepuasan syahwat.
Selain itu, terdapat juga perintah untuk menundukkan atau menahan pandangan (ghadhdhul bashar), iaitu tidak melihat kepada aurat. Allah SWT berfirman: “Katakanlah kepada orang yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya.” [TMQ an-Nur (24): 30]. Namun, jika pandangan (selain wajah dan telapak tangan) tersebut adalah tidak disengajakan maka ia dimaafkan dan hendaklah segera mengalihkan pandangannya sebagaimana sabda Nabi SAW: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai pandangan yang tiba-tiba (tidak disengajakan). Maka Beliau menyuruhku untuk memalingkan pandanganku.” [HR Muslim]. Begitu juga dalam hal mengulang-ulang pandangan yang dapat membangkitkan syahwat. Ia adalah dilarang dalam Islam seperti yang dinyatakan dalam sabda Baginda SAW: “Janganlah engkau ikuti pandangan pertama dengan pandangan berikutnya. Kerana pandangan pertama adalah untukmu, sedangkan pandangan berikutnya bukanlah untukmu.” [HR Ahmad, dari jalur Buraidah].
Sebagai seorang Muslim, benteng ketakwaan dan rasa malu sepatutnya mampu memelihara lelaki dan wanita daripada terjebak ke lembah kehinaan. Ketakwaan diri yang tunduk kepada perintah dan kewajipan pastinya menjaga setiap tingkah laku kita daripada tersasar dari batas-batas yang dibenarkan syarak. Negara juga berperanan menjadikan al-Quran dan hadis sebagai undang-undang negara untuk mengawal pergaulan antara lelaki dan wanita.
Wallahua’alam.
*Bersambung ke bahagian 2.

