Site icon MuslimahHTM News

Kewajipan Memisahkan Lelaki dan Wanita Dalam Kehidupan Islam

Kewajipan Memisahkan Lelaki dan Wanita Dalam Kehidupan Islam

Penulis: Syafinaz Safar

 

Islam adalah agama yang sempurna dan memberi rahmat ke seluruh alam. Penganutnya diwajibkan mentaati suruhan dan larangan Allah SWT. Penciptaan manusia di dunia ini pula adalah bukti kebesaran Allah SWT ke atas makhlukNya dan Dia menjadikan manusia ini berbilang bangsa, kaum dan berlainan jantina agar saling mengenal dan menyebarkan dakwah Islam ke seluruh alam

 

Manusia diciptakan Allah dengan dua jantina; lelaki dan wanita. Penciptaan kedua-duanya adalah sangat berbeza dari segi bentuk fizikal, emosi, perasaan bahkan tanggungjawab yang ditaklif semasa hidup di dunia ini. Walaupun begitu, perbezaan kedua jantina ini merupakan suatu keistimewaan kerana lelaki dan wanita adalah saling memerlukan bagi memenuhi keperluan jasmani dan tuntutan fitrah (gharizah) setiap darinya. Oleh kerana perbezaan yang sangat ketara ini, maka wajarlah lelaki dan wanita diatur dengan pemisahan yang sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya salah laku dalam memenuhi tuntutan fitrah yang telah dikurniakan Allah dan juga mengelakkan fitnah.

 

Realiti yang ada sekarang adalah amat menakutkan di mana boleh dikatakan langsung tiada pemisahan di dalam hampir kesemua aktiviti yang melibatkan lelaki dan wanita. Kebanyakan aktiviti dilakukan bersama-sama dengan pelbagai alasan yang tidak syar’ie. Antaranya keluar makan bersama-sama, bercuti, melancong, berhibur, bersukan dan banyak lagi aktiviti yang tidak syarie. Peraturan untuk memisahkan jantina dipandang remeh dan tidak dipedulikan malah ia dianggap kolot. Justeru, percampuran kedua jantina ini sudah menjadi kebiasaan, lelaki dan wanita bukan muhrim bergaul tanpa batas antara keduanya. Natijahnya, berlakulah pergaulan bebas, kerosakan akhlak, dan kemuncaknya adalah penzinaan, lahirnya anak luar nikah dan pembuangan bayi.

 

Oleh itu, Islam sebagai sebuah agama ideologi yang sangat praktikal pada setiap zaman mempunyai penyelesaian yang sangat tuntas dalam membendung masalah di atas daripada terus berlaku. Pemisahan antara jantina lelaki dan wanita dalam kehidupan seharian (kehidupan umum dan khusus/ peribadi), terbukti dapat membentuk masyarakat yang lebih bertamadun dan bertakwa. Ini kerana hukum pemisahan antara lelaki dan wanita ini telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW dan hukum mengenainya tidak pernah berubah.

 

Keperluan memisahkan lelaki dan wanita dalam kehidupan Islam adalah berdasarkan sekumpulan hukum Islam (majmu’ al-ahkam) berkaitan lelaki dan wanita. Hukum ini telah dilaksanakan dalam kehidupan masyarakat Islam dari zaman Rasulullah SAW sehinggalah ke kurun-kurun kegemilangan Islam. Antara hukum syara’ yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah adalah:

 

 

Rasulullah SAW memisahkan lelaki dan wanita dalam kehidupan dengan tujuan untuk menunjukkan bahawa kehidupan Islam sebenar sememangnya terpisah antara lelaki dan wanita dan keterpisahan kedua-duanya bersifat mutlak sama ada dalam kehidupan khusus (private life) atau kehidupan umum (public life). Ini kerana, hukum asal lelaki dan wanita dalam kehidupan umum ini adalah terpisah, tidak boleh bercampur dan tidak boleh ada interaksi di antara keduanya melainkan pada perkara-perkara tertentu sama ada muamalat atau ibadat yang dibolehkan oleh syariat Islam. Misalnya, dibolehkan wanita melakukan aktiviti jual beli, memiliki dan mengembangkan harta, menuntut ilmu, dibolehkan solat berjemaah di masjid, menunaikan haji (jika mampu) dan lain-lainnya tetapi sebatas yang diperlukan sahaja tanpa berlebih-lebihan dengan lelaki. Hal ini kerana, jika suatu urusan itu tidak memerlukan interaksi, maka haram hukumnya untuk melakukan interaksi tersebut seperti berjalan bersama walaupun ke masjid, bertemasya dan lain-lain aktiviti yang menjurus kepada pencampuran lelaki dan wanita.

Exit mobile version