Site icon MuslimahHTM News

Kemakmuran dan Jaminan Keamanan Masyarakat pada Masa Khalifah Al-Mu’tasim Billah

[Tarikh Khulafa] Kemakmuran dan Jaminan Keamanan Masyarakat pada Masa Khalifah Al-Mu’tasim Billah

Penulis: Nabila Ummu Anas

 

Nama penuh beliau ialah Abu Ishaq Muhammad bin Ar-Rasyid bin Al-Mahdi bin Al-Mansur. Beliau dilahirkan pada tahun 179 H. Pada masa Khalifah Al-Makmun, beliau adalah gabenor wilayah Syam dan Mesir. Beliau dilantik sebagai khalifah dan mendapat gelaran Al-Mu’tasim Billah pada Rejab 218 H. Beliau kekal sebagai khalifah sehingga beliau meninggal dunia di Kota Samara pada Rabiulawal 227 H. Dengan demikian, tempoh pemerintahan beliau berlangsung selama lapan tahun lapan bulan.

 

Pembangunan untuk Kemakmuran

 

Ciri-ciri Al-Mu’tasim yang paling menonjol ialah berani, memiliki tekad yang pantang menyerah, dan kekuatan fizikal. Beliau menyukai pembangunan dan berkata, “Sesungguhnya dalam pembangunan itu terdapat perkara-perkara yang terpuji. Pembangunan di bumi dapat menghidupkan dunia, menghasilkan hasil bumi, menambah harta benda, menghidupkan haiwan, menurunkan harga, menambah peluang pekerjaan, dan mengembangkan kehidupan.”

 

Al-Mu’tasim berkata kepada menterinya, Muhammad bin Abdul Malik, “Jika kamu menemukan suatu tempat, maka bayarlah sepuluh dirham, kemudian setelah setahun mengelola tempat itu, bawalah sepuluh dirham kepadaku (baitulmal), maka jangan kamu bertanya kepadaku untuk arahan mengenainya.”

 

Membina Kota Samara

 

Antara jasa Khalifah Al-Mu’tasim Billah ialah membina Kota Samara. Samara terletak berhampiran Sungai Dajlah, tiga puluh farsakh (150 km) dari Baghdad. Al-Mu’tasim membeli biara di sana dengan harga lima ribu dirham dan membeli taman di sebelahnya dengan harga yang sama. Apabila proses pengambilan tanah selesai, Al-Mu’tasim memulakan pembinaan.

 

Pada tahun 221 Hijrah, beliau membina istana khalifah dan memerintahkan pembinaan kuarters untuk pasukannya. Orang ramai mendirikan bangunan di sekeliling istana. Al-Mu’tasim juga membina masjid jamik di hujung pasar dan menempatkan panglima dan panglima tentera di Karakh Samara. Pembangunan berkembang sehingga Samara menjadi salah satu bandar Islam utama dan hampir menyaingi Baghdad.

 

Jaminan Keselamatan dengan Menumpaskan Aktiviti Az-Zutha (Jots)

 

Az-Zutha diambil daripada bahasa Arab Jat. Ibn Khaldun berkata tentang mereka, “Mereka adalah kaum yang bercampur-campur beberapa kaum yang memerintah jalan-jalan Basra dan menimbulkan kekacauan dan membuat kerosakan.”

 

Pada tahun 219 H, Khalifah Al-Mu’tasim memerintahkan Ajif bin Anbasah yang merupakan salah seorang panglima tenteranya untuk memusnahkan kaum Az-Zutha. Mereka membuat kekecohan dan kemusnahan di jalan-jalan Basra, merompak dan mengambil hasil tanaman daripada tempat pengeringannya di Kaskar dan Basrah. Mereka juga menakutkan orang-orang di jalanan.

 

Ajif bin Anbasah menumpukan perhatiannya untuk menghancurkan dan melancarkan serangan yang menghalang Jots daripada bertindak semula. Oleh itu, komander tentera Al-Mu’tasim menubuhkan pangkalan tentera berhampiran Wasith dan menyekat sungai-sungai yang menjadi pintu masuk dan keluar Jots. Ajif bin Anbasah menyekat mereka dari semua arah dan mengawal jalan-jalan yang menjadi pusat kegiatan mereka.

 

Akhirnya 500 anggota kumpulan Jots telah ditangkap oleh tentera Ajif bin Anbasah dan membunuh tiga ratus orang lain dalam pertempuran. Pasukan Ajif bin Anbasah, atas perintah Khalifah Al-Mu’tasim Billah, terus mendesak Jots untuk memaksa mereka meminta suaka dan jaminan keselamatan.

 

Kumpulan Jots menyerah diri dan menerima jaminan keselamatan untuk nyawa dan harta benda mereka. Jumlah mereka yang meminta jaminan keselamatan secara keseluruhannya mencecah 27 ribu orang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak. Dua belas ribu daripadanya adalah angkatan tentera.

 

Mereka semua dimasukkan ke dalam beberapa kapal dan dibawa ke Za’faraniyah, dihadapkan kepada Khalifah Al-Mu’tasim Billah, dan kemudian menuju ke Ain Zarbah, salah satu kota di wilayah Syam. Mereka juga hidup tenang tanpa melakukan kerosakan kepada masyarakat.

 

Dengan tumpasya kumpulan Jots, Khalifah Al-Mu’tasim berjaya memberikan jaminan keselamatan kepada pengguna jalan raya di Basra dan sekitarnya. Petani juga tidak perlu risau tentang hasil tanaman mereka kerana tiada orang yang mengambilnya lagi.

Exit mobile version