Site icon MuslimahHTM News

Apakah Perbezaan antara Nabi dan Rasul?

[Soal Jawab] Apakah Perbezaan antara Nabi dan Rasul?

 

Soalan:

Dinyatakan dalam Kitab Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyah (1/130), “Sayyiduna Musa as. adalah nabi. Kerana, syariat diturunkan kepadanya. Beliau juga seorang rasul. Kerana, syariat yang diturunkan kepadanya adalah risalah miliknya. Sedangkan Sayyiduna Harun adalah seorang nabi. Kerana, syariat diturunkan kepadanya. Namun, dia bukan seorang rasul. Sebabnya, syariat yang diturunkan kepadanya untuk disampaikan kepada orang lain bukanlah risalah miliknya, melainkan adalah risalah milik Musa as.”

Persoalannya: Bagaimana kita mengaitkan pernyataan tersebut dengan ketetapan dalam al-Quran (yang bermaksud): Datanglah kalian berdua kepada dia (Firaun) dan katakanlah, “Sesungguhnya kami berdua adalah utusan Tuhan kamu.” [TMQ Thaha (20): 47].

Juga dinyatakan (yang bermaksud): Kemudian datanglah kalian berdua kepada Firaun dan katakanlah oleh kalian, “Sesungguhnya Kami adalah rasul Tuhan semesta alam.” [TMQ asy-Syu’ara (26):16]?

 

Jawapan:

 

[1] Perbezaan Nabi dan Rasul

 

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama dalam hal menetapkan perbezaan antara nabi dan rasul dalam beberapa pendapat yang berbeza. Kami menyebut sebahagian daripada mereka:

 

Pertama: Nabi ialah orang yang diwahyukan taklif kepadanya dan tidak diperintahkan untuk menyampaikannya. Jika dia diperintahkan untuk menyampaikannya maka dia adalah rasul. Dinyatakan di dalam Fathu al-Bârî  (11/112) oleh Ibnu Hajar al-‘Asqalani

 

Sebutan an-nubuwwah dan ar-risâlah berbeza dalam asal penetapan bahasa. An-Nubuwwah dari an-nabaa‘ iaitu al-khabar (pemberitahuan). Jadi, nabi dalam ‘urf adalah orang yang diberi penerangan dari Allah dengan perintah yang mengharuskan taklif. Jika dia diperintahkan untuk menyampaikannya kepada orang lain maka dia adalah seorang rasul. Jika tidak, maka dia adalah nabi bukan rasul. Atas dasar ini, setiap rasul adalah nabi dan tidak sebaliknya. Nabi dan rasul bersatu dalam perkara yang umum, iaitu an-nabaa‘ (pemberitahuan) dan berbeza dalam risalah.

 

Kedua: Rasul adalah orang yang diutuskan untuk menyampaikan wahyu dan memiliki kitab bersamanya. Sedangkan nabi adalah orang yang diutuskan untuk menyampaikan wahyu secara mutlak. Badruddin al-‘Ayni menyatakan dalam Al-Binâyah Syarhu al-Hidâyah (1/116):

 

Perbezaan antara rasul dan nabi: rasul ialah orang yang diutuskan untuk menyampaikan wahyu dan mempunyai kitab bersamanya. Sedangkan nabi ialah orang yang diutuskan untuk menyampaikan wahyu secara mutlak, sama ada disertai kitab atau tidak disertai kitab seperti Yusya’ as. Jadi nabi lebih umum daripada rasul. Demikian dikatakan oleh syeikh Qiwamuddin al-Ataraziy dalam Syarhnya. Dalam hal ini, beliau mengikuti pengarang An-Nihâyah yang mengatakan, “Rasul adalah nabi yang memiliki kitab bersamanya, seperti Musa as. Sedangkan nabi adalah orang yang diberi penerangan dari Allah walaupun tidak ada kitab bersamanya, seperti Yusya’ as.

 

Ketiga: Rasul ialah orang yang diturunkan syariat kepadanya dan diperintahkan untuk menyampaikannya. Sedangkan nabi ialah orang diturunkan kepada dirinya syariat rasul-rasul yang lain dan diperintahkan untuk menyampaikannya. Jadi, rasul adalah orang yang diperintahkan untuk menyampaikan syariat dirinya sendiri, sementara nabi adalah orang yang diperintahkan untuk menyampaikan syariat orang lain. Ini ialah pendapat yang kami pilih dan telah kami jelaskan dalam Kitab Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyah (1/35-38) file word:

 

Nabi dan rasul adalah dua lafaz yang berbeza, tetapi kedua-duanya bertemu dalam cara mewahyukan syariat terhadap mereka. Perbezaan di antara kedua-duanya ialah:

 

Rasul adalah orang yang diturunkan syariat kepadanya dan diperintahkan untuk menyampaikannya. Sedangkan nabi adalah orang yang diturunkan kepadanya syariat rasul selain dia dan dia diperintahkan untuk menyampaikannya. Jadi, rasul ialah orang yang diperintahkan untuk menyampaikan syariat dirinya sendiri, sedangkan nabi ialah orang yang diperintahkan untuk menyampaikan syariat orang lain.

 

Rasul adalah orang yang diutuskan oleh Allah dengan syariat baru yang diseru kepada manusia. Sedangkan nabi adalah orang yang diutuskan oleh Allah untuk meneguhkan syariat sebelumnya.

 

Maka Sayyiduna Musa adalah seorang nabi kerana diturunkan syariat kepadanya. Pada masa yang sama beliau juga seorang rasul kerana syariat yang diturunkan kepadanya adalah risalah miliknya. Sedangkan Sayyiduna Harun adalah seorang nabi kerana diturunkan syariat kepadanya, tetapi dia bukanlah seorang rasul kerana syariat yang diturunkan kepadanya untuk disampaikan kepada orang lain bukanlah risalah miliknya, melainkan risalah kepunyaan Musa. Sayyiduna Muhammad adalah seorang nabi kerana diturunkan syariat kepada beliau. Baginda juga seorang rasul kerana syariat yang diturunkan kepada beliau adalah risalah milik baginda.

 

Pendapat ini lebih mendalam dan lebih tepat (shawâb). Hadis-hadis Nabi SAW. juga menjelaskan realiti dan perbezaan antara nabi dan rasul.

 

[2] Realiti Sayyiduna Harun as.

 

Sebagaimana yang telah kami sebutkan dalam teks petikan di atas dari Kitab Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah Jilid 1, berdasarkan definisi yang rajih menurut kami untuk rasul dan nabi, kami memutuskan bahawa Harun as. adalah seorang nabi, tetapi bukan seorang rasul dengan mafhum ini. Kerana, Harun as. dalam urusan syariat ialah mengikut Musa as. Nas-nas syariah menyatakan demikian.

 

Kemudian berkaitan dengan dua ayat mulia yang saudara sebutkan dalam persoalan tersebut, maka kami meneliti tafsirnya secara ringkas seperti berikut:

 

Dalam Tafsîr an-Nasafî (2/297), misalnya, dinyatakan: Firman Allah: Fa’tiyâhu (Datanglah kalian berdua kepada dia), iaitu Firaun. “Faqûlâ innâ rasûlâ Rabbika (Katakanlah, “Sesungguhnya kami berdua adalah utusan Tuhanmu),” iaitu kepada kamu (Firaun)…Firman Allah: Qâla fa man Rabbukumâ, yâ Mûsâ (Berkata Firaun, “Lalu siapakah Tuhan kamu berdua, wahai Musa?)” Firaun berbicara kepada mereka berdua, kemudian memanggil salah seorang dari keduanya, kerana Musa adalah yang utama dalam kenabian dan Harun mengikuti Musa.

 

Dengan mengkaji dua ayat ini dan ayat-ayat yang lain di dalamnya disebutkan Harun as. dengan lafaz al-irsâl dan ar-risâlah, menjadi jelas bahawa sebutan beliau di dalam ayat-ayat itu dengan lafaz al-irsâl adalah selalu bersama Musa as., iaitu mengikut Musa. Misalnya, dinyatakan dalam firman Allah SWT.: “Tsumma arsalnâ Mûsâ wa akhâhu Hârûna bi âyâtinâ wa sulthân[in] mubîn[in] (Kemudian Kami mengutus Musa dan saudaranya Harun dengan membawa tanda-tanda (kebesaran) Kami dan bukti yang nyata.” [TMQ al-Mukminun (23): 45]

 

Firman Allah: “Wa khî hârûnu huwa afshahu minnî lisân[an] fa arsilhu ma’iya rid‘an yushaddiqunî innî akhâfu an yukadzdzibûna (Saudaraku Harun lebih fasih lidahnya daripada aku. Kerana itu utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan)-ku. Sesungguhnya aku khuatir mereka akan mendustakanku.”[TMQ al-Qashshash (28): 34]

 

Jelas daripada sini bahawa Harun as. tidak menyendiri dengan sifat ar-risâlahnya, tetapi perbincangan tentangnya dengan sifat ini adalah tentang Musa as. dan tentang Harun as. secara bersama-sama. Maksudnya, Harun as. tidak bebas dan menyendiri dengan sifat ar-risâlahnya.

 

Namun, apabila ada perbincangan dalam al-Quran al-Karim tentang Harun as. secara sendiri bebas dari sifat tersebut maka Harun disebut sebagai nabi dan tidak disebut sebagai rasul. Sebaliknya, pada masa yang sama, al-Quran menetapkan untuk Musa as. sifat rasul dan juga sebagai nabi. Allah SWT. berfirman (yang bermaksud): “Kami telah menganugerahkan kepadanya (Musa) sebahagian rahmat Kami, iaitu saudaranya, Harun menjadi seorang nabi.” [TMQ Maryam (19): 53].

 

Jadi tentang Musa as., Allah berfirman bahawa dia adalah “rasûl[an] nabiyy[an] (rasul dan nabi)”. Adapun Harun as. tidak ditetapkan untuk dia sifat ar-risâlah, tetapi cukup mensifatkan dirinya dengan kenabian: “akhâhu Hârûna nabiyy[an] (iaitu saudaranya, Harun menjadi seorang nabi)”.

 

Ini menegaskan pemahaman yang menjadi pendapat kami bahawa Musa as. adalah rasul dan juga nabi. Adapun Harun as. hanya seorang nabi, bukan rasul kerana dia mengikuti Musa as.. Harun diperintahkan untuk menyampaikan risalah Musa as.

 

Kerana itu sebahagian ulama salaf berkata: tidak ada syafaat seseorang di dunia yang lebih agung daripada syafaat Musa as. kepada Harun agar menjadi seorang nabi (QS Maryam [19]: 53).

 

Inilah yang kami rajihkan dalam masalah ini dan ia merupakan pendapat mutabbanat bagi kami.

 

WalLâh a’lam wa ahkam. []

 

Diringkas dari segmen Soal-Jawab Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah, 12 Syawal 1444 H – 02 Mei 2023 M]

 

Sumber:
https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/88622.html

#SoalJawab #BezaNabiDanRasul #NabiDanRasul

Exit mobile version