Belajar Politik Sejak dari Awal
Oleh: Ustazah Rahmah
Jika kita mendengar perkataan politik seolah-olah ia penuh dengan penipuan. Politik itu kotor. Politik adalah perebutan kuasa. Begitulah seterusnya. Kerana itu seringkali ada pepatah mengatakan jika ingin menjadi Muslim sejati, hidupnya hanya benar-benar beribadah kepada Allah, maka jauhilah politik.
Padahal hakikatnya politik tidak demikian. Secara etimologi (bahasa), politik (as-siyâsah) sebenarnya berasal dari kata sâsa-yasûsu-siyâsat[an], yang bererti mengurus kepentingan seseorang. Dalam kamus Al-Muhîth dikatakan, “Sustu ar-ra’iyata siyasat[an]”. Maksudnya, “Saya memerintah dan melarangnya.”
Dekat dengan pengertian tersebut, secara terminologi (istilah) Ahmad ‘Athiyah menyatakan bahawa politik bermaksud memelihara, mengurus dan memperhatikan urusan rakyat. Dengan demikian politik Islam bererti memelihara, mengurus dan memperhatikan urusan rakyat/umat mengikut ajaran Islam.
Mengurus dan memperhatikan urusan rakyat/umat sesuai dengan ajaran Islam iaitu mempraktikkan politik Islam adalah kewajipan seorang Muslim. Sebagaimana kewajipan yang lain, umat Islam wajib berpolitik dan juga wajib mengajarkan politik kepada anak lelaki dan perempuan. Dalam mengajar politik Islam kepada anak-anak, kita perlu memperhatikan materi-materinya seperti berikut:
1. Memahamkan anak-anak bahawa setiap Muslim wajib berislam secara kaffah.
Ibu bapa hendaklah memperkenalkan kepada anak-anak bahawa Islam mengatur semua aspek kehidupan manusia. Islam mengatur segala urusan kehidupan dunia dan urusan akhirat. Islam mengatur masalah ibadah solat, puasa dan haji. Islam mengajar bagaimana cara berakhlak terhadap ibu bapa, guru dan rakan. Islam mengatur masalah makanan, dengan mewajibkan makan makanan yang halal dan baik (sihat). Islam juga mewajibkan umat Islam menuntut ilmu. Dari segi interaksi sosial, Islam mengatur pergaulan antara lelaki dan perempuan. Islam menganjurkan perkahwinan bagi yang telah bersedia dan mengharamkan zina. Dari segi ekonomi, Islam menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Dalam urusan politik (pengurusan masalah umat/rakyat), Islam mewajibkan penguasa mengurus urusan umat sesuai dengan ajaran Islam. Islam juga mewajibkan umat untuk mengoreksi penguasa dengan standard ajaran Islam.
Mendidik anak-anak berislam kaaffah adalah dengan membiasakan diri dan memberi contoh dalam aktiviti sehari-hari melaksanakan syariah Islam secara menyeluruh (kaffah). Kewajipan melaksanakan Islam kaffah terdapat dalam al-Quran. Allah SWT. berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨
“Wahaiorang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kalian.” [TMQ al-Baqarah (2): 208]
Dalam Tafsiir Jalalayn jilid I Imam Jalaluddin mentafsirkan ayat di atas: “Wahaiorang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan (total), maksudnya ke dalam seluruh syariah Islam.”
Allah SWT mewajibkan penerapan hukum Islam secara keseluruhan baik yang berkaitan dengan akidah, syariah, ibadah, muamalah, ekonomi, sosial, politik hingga pemerintahan. Allah melarang mengikut langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu (Imam Jalaluddin, Tafsiir Jalalain, I/214).
2. Membiasakan anak-anak sentiasa dalam ketakwaan.
Biasakan anak-anak sentiasa dalam ketakwaan dan menunjukkan contoh yang baik. Anak-anak dibiasakan dengan ketakwaan dalam keluarga, di sekolah dan di persekitarannya. Mereka mestilah berkawan dengan kawan-kawan yang soleh dan solehah. Mereka hendaklah sentiasa dalam ketakwaan ketika mengakses media dan berkawan di media sosial. Seorang yang bertakwa akan sentiasa menjaga agar Allah tidak melihat dirinya di tempat larangan-Nya, dan sentiasa ada di tempat perintah-Nya. Dia sentiasa melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya (Abdullah Nasih Ulwan, Tarbiyah al-Awlad fii al-Islaam).
Seorang guru dan ibu bapa mestilah bertakwa kerana tugas guru dan ibu bapa ialah mendidik anak-anak supaya tingkah lakunya sesuai dengan tuntutan Islam, bertakwa kepada Allah, mendekatkan dirinya kepada Allah (Abdurrahman Amirah, Manhaj al-Qur’aan fii Tarbiyah ar-Rijaal).
3. Memahamkan anak-anak bahawa bertakwa itu wajib bagi semua umat Islam, baik secara individu, masyarakat mahupun negara.
Perintah takwa ini dinyatakan dalam al-Quran sebagai berikut:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٠٢
“Wahaiorang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kalian mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” [TMQ Ali Imran (3): 102].
Imam az-Zamaksari mentafsirkan, iaitu benar-benar melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya (Az-Zamaksari, Al-Kasysyaaf, I/306).
Takwa ini meliputi ketakwaan sebagai individu seorang Muslim, juga ketakwaan dalam memegang amanah. Maksudnya, secara individu kita bertakwa iaitu dengan melaksanakan perintah Allah yang boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa memerlukan orang lain, contohnya menunaikan solat, puasa dan zakat; juga meninggalkan larangan-Nya, seperti tidak mencuri, tidak berzina dan tidak merompak. Namun, jika kita menjadi ketua rumah tangga, maka kita tidak cukup bertakwa dengan menjalankan ibadah puasa, solat dan menunaikan kewajipan peribadi yang lain; juga meninggalkan perkara yang diharamkan. Sebagai ibu bapa, kita juga wajib peduli tentang urusan umat Islam, malah mengajak dan memudahkan anak-anak/ahli keluarga mereka untuk melaksanakan kewajipan tersebut.
Masyarakat yang bertakwa akan sentiasa melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, saling beramar makruf nahi mungkar, serta saling menasihati dalam kebaikan dan kesabaran. Perintah saling menasihati dalam kebaikan dan kesabaran ini terdapat dalam al-Quran (Lihat: QS al-‘Ashr [103]: 1-3).
Demikianlah individu dan masyarakat yang bertakwa adalah mereka yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya dalam semua aspek kehidupan.Begitu juga negara yang bertakwa ialah negara yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya secara kaffah (menyeluruh). Dengan kata lain, ketakwaan itu mewajibkan pelakunya meninggalkan maksiat; meninggalkan undang-undang buatan manusia; meninggalkan kapitalisme, materialisme, liberalisme, dan isme-isme yang lain secara total. Sebaliknya, dia mesti menerapkan syariah Islam secara kaffah.
4. Membangkitkan rasa kepedulian terhadap masalah umat dan kewajipan menawarkan solusi Islam.
Sebelum membangkitkan kepedulian kepada anak-anak tentang masalah umat dan kewajipan menawarkan solusi Islam, sudah tentu kita harus memahami terlebih dahulu makna politik Islam kepada mereka. Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum, politik Islam adalah mengatur urusan rakyat baik dalam negeri mahupun luar negeri sesuai dengan ajaran Islam. Politik ini secara praktikalnya dijalankan oleh negara. Walaupun rakyat mempunyai kewajipan untuk mengawal perjalanan pemerintahan agar sesuai dengan ajaran Islam. Rakyat mempunyai kewajipan untuk menasihati dan mengoreksi penguasa (Zallum, Pemikiran Politik Islam. hlm. 11-15).
Dari pengertian poltik Islam di atas, sebenarnya kita dapat menyimpulkan bahawa kegiatan politik bukan hanya diwajibkan kepada ahli politik Islam dan penguasa Islam sahaja, tetapi juga diwajibkan kepada semua umat Islam lelaki dan wanita baik ahli politik mahupun rakyat biasa, baik para ulama mahupun orang awam (Lihat: QS Ali Imran [3]: 104).
Berpolitik Islam bererti memperhatikan urusan umat mesti diuruskan sesuai dengan ajaran Islam. Termasuk aktiviti politik menasihati dan mengoreksi atau beramar makruf nahi mungkar kepada penguasa agar sesuai dengan ajaran Islam. Hal ini boleh dilakukan dengan membiasakan anak-anak beramar makruf nahi mungkar kepada rakan-rakan mereka dan mengkritik peraturan yang salah.
Contohnya pada bulan Ramadhan, bagaimana pemerintah boleh membenarkan orang yang tidak berpuasa dan membiarkan gerai menjual makanan yang sedia untuk dimakan secara terbuka. Kenapa pemerintah boleh membenarkan tayangan lucah di media dsb?
Demikianlah. Kerana beraktiviti politik menurut ajaran Islam adalah kewajipan umat Islam, maka umat Islam dan wanita Islam wajib mengajar kepada anak-anak mereka kewajipan tersebut sebagaimana kewajipan yang lain.
Sumber:
#Politik #BelajarPolitik #SejakAwal #Kesedaran #Kewajipan

