Site icon MuslimahHTM News

Menjadi Pembela Islam – Menuju Kepimpinan Ideologi Islam

[Fikrul Islam] Menjadi Pembela Islam – Menuju Kepimpinan Ideologi Islam

Penulis: M. R. Kurnia

 

“Itu kan seni!” Begitulah komen dari seorang wanita yang foto “panasnya” terpampang di hadapan sebuah tabloid. “Hidup ini kan hanya sekali. Kalau dah mati, paling-paling kita cuma jadi tanah. Akhirat itu hanyalah sembang kosong,” katanya. Sambungnya “Oleh itu, semasa anda masih muda, kulit anda tidak berkedut, penampilan anda masih menarik, tenaga anda masih bagus, dan daya tarikan anda sedang berada di puncaknya, hiduplah sepuas-puasnya”.

 

Berbeza sedikit dari orang tadi. Ada orang lain yang rajin melaksanakan ibadah ritual. Selalu pergi ke tempat ibadah dengan kerap. Malah, ada juga yang beragama Islam. Seperti yang dilaporkan oleh media massa, seorang penduduk setempat berkata, “Saya berpuasa pada hari Isnin. malam Jumaat tidak menerima tetamu.” Di tempat tinggalnya juga dapat dilihat terdapat sejadah dan telekung. Namun, dia tidak merasa berdosa ketika melakukan perbuatan zina. Ketika beribadah, dia merasa dekat dengan Sang Pencipta, Allah SWT. Sedangkan ketika melakukan perbuatan maksiat, sedikit pun dia tidak merasa bersalah . “Saya hanya mencari rezeki melalui pekerjaan” katanya.

 

Lain pula orang yang ketiga. Dia tidak suka, malah benci, melihat perkara-perkara yang diharamkan. Dia juga enggan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Dia tidak mahu melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah SWT. Jangankan nak melakukan perbuatan porno, tersingkap aurat sedikit sahaja pun dia tidak mahu.  Ini kerana dia meyakini Allah itu Maha Melihat dan kelak akan dihisab segala perbuatannya. Kini, di dunia dia merasakan dia ditugaskan oleh Allah untuk mentaati segala syariatnya, jika dia melanggar peraturanNya, dia pasti yang dia akan celaka. Sebaliknya, dia percaya bahawa jika dia mentaati hukum-hukum dan peraturanNya, dia akan bahagia. Atas sebab ini, dia berusaha sedaya upaya untuk berpegang teguh kepada hukum-hukum dan peraturan Islam seperti yang diwahyukan oleh Allah, Rabbul Alamin. Walau apa pun risikonya.

 

Ketiga-tiga realiti di atas menunjukkan bahawa orang yang memiliki akidah yang berbeza akan bersikap berbeza terhadap perkara yang sama. Hal ini dapat difahami kerana akidah merupakan landasan berfikir (qa’idah fikriyyah) serta kepimpinan ideologi (qiyadah fikriyyah) bagi mereka yang beriman kepadanya. Sebagai landasan berfikir, bermakna akidah yang diyakininya itulah yang akan dijadikannya sebagai landasan bagi setiap pemikiran yang diyakini dan dilakukannya. Dengan kata lain, setiap pemikiran yang diyakini, dijadikan sebagai jalan penyelesaian, diperjuangkan untuk diterapkan, adalah pemikiran yang lahir daripada akidahnya.

 

Apabila seseorang itu menjadikan aqidah sebagai landasan bagi segala pemikirannya, bermakna dia telah menjadikan akidahnya sebagai qa’idah fikriyyah. Sebagai contoh, seorang muslim yang menjadikan akidah Islam sebagai qa’idah fikriyyah, maka dia akan mendalami segala pemikiran, baik tentang permasalahan peribadi, keluarga, masyarakat, dan negara yang menyangkut masalah sosial, ekonomi, budaya, dan politik, semuanya dari al-Quran dan Sunnah sebagai nas wahyu. Adapun akidah sebagai kepimpinan ideologis, bermakna akidah tersebutlah yang akan membentuk pandangan hidupnya dan akan dijadikan pemimpin oleh penganutnya dalam menentukan sikap, tolak ukur, dan pandangannya.

 

Orang pertama bersikap sedemikian kerana dia tidak percaya adanya Sang Pencipta (al-Khaliq), tidak percaya kepada kehidupan akhirat, tidak percaya kepada hari kiamat. Pendek kata, orang ini percaya bahawa hidup ini hanya sekali, di dunia ini sahaja. Akhirnya, dia berasa bebas untuk hidup di dunia dalam menentukan apa saja yang akan dia lakukan. Yang penting dia suka dan dia mahu. Pemikiran yang ada dalam akal dan hatinya itulah yang memimpinnya untuk bersikap dan bertindak sedemikian. Dengan kata lain, akidah (kepercayaan) bahawa ‘yang ada hanyalah  kebendaan (material)’ itulah yang menjadi kepimpinan ideologi (qiyadah fikriyyah) baginya. Dan qiyadah fikriyyah itulah yang membentuk pandangan hidup dan ideologi pada dirinya.

 

Sikap dan perbuatan orang kedua adalah sama dengan orang pertama. Namun, sikap ini lahir daripada kepercayaan yang berbeza. Dia percaya bahawa dunia, alam semesta, dan kehidupan ini ada yang menciptakannya. Pencipta itu wujud! Allah itu ada. Dia juga percaya kepada kehidupan akhirat. Namun, dia juga percaya bahawa Sang Pencipta hanyalah berperanan menciptakan sahaja. Tidak berhak mengatur. Urusan dunia, menurut kepercayaannya, mestilah diuruskan atau diatur oleh manusia sendiri.

 

Hukum ditentukan oleh akal dan logik manusia. Allah, dalam kepercayaannya, tidak menurunkan sebarang peraturan untuk mengatur seluruh bidang kehidupan manusia. Dia hanya menurunkan peraturan dan tatacara ibadah ritual yang mengatur hubungan manusia denganNya. Dengan kata lain, sikap dan tindakannya tersebut dipimpin oleh kepercayaan bahawa agama mesti dipisahkan daripada kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

 

Tegasnya, sikapnya itu dipimpin oleh pemikiran sekularisme, iaitu fahaman yang memisahkan agama daripada kehidupan bermasyarakat dan bernegara; agama hanya menguruskan persoalan ritual dan etika semata-mata. Sekularisme itulah yang dia jadikan sebagai qiyadah fikriyah. Pandangan hidupnya adalah pandangan dunia (nazhrah ‘anil hayah/world view) yang dibentuk oleh akidah sekularisme sebagai qiyadah fikriyahnya.

 

Begitu juga orang ketiga dalam ilustrasi tadi. Akidah Islam telah menjadi qiyadah fikriyahnya. Pandangan hidupnya ditentukan oleh qiyadah fikriyahnya itu. Oleh itu, sikap dan tindakannya juga berpandukan dan dipimpin oleh pemikiran dalam akidah Islam yang diyakininya tersebut.

 

Jelaslah bahawa sikap dan tindakan seseorang itu ditentukan oleh pandangan hidupnya. Sementara itu, pandangan hidupnya pula dibentuk oleh akidahnya yang dijadikan sebagai landasan kepada pemikiran dan kepimpinan ideologinya. Orang yang benar-benar menjadikan akidah Islam sebagai pembimbing dan panduan hidup mereka bererti mereka telah menjadikan akidah Islam sebagai kepimpinan ideologi mereka; sebagai qiyadah fikriyahnya. Apabila tidak, bermakna qiyadah fikriyah dia bukan Islam, walaupun dia mungkin seorang Muslim. Dengan kata lain, ideologinya bukan Islam.

 

Sumber: M. R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam

 

Exit mobile version