Site icon MuslimahHTM News

Bercakap dengan Pasangan, Bercakap dengan Hati

[Keluarga] Bercakap dengan Pasangan, Bercakap dengan Hati

Penulis: Najmah Saiidah

 

Komunikasi adalah salah satu perkara yang paling penting dalam perkahwinan. Komunikasi akan membebaskan pasangan daripada rasa curiga, syak wasangka, fikiran negatif, dan kebimbangan lain. Dengan komunikasi yang baik, ketenteraman rumah tangga akan dapat direalisasikan yang akan menjadi jambatan untuk membina kepercayaan. Dengan komunikasi yang baik juga, pasangan lebih mampu menentukan langkah bersama ke hadapan ke arah kebahagiaan yang diidamkan.

 

Suami dan isteri hendaklah bekerjasama untuk menjaga keutuhan dan keharmonian rumah tangga. Saling menghormati, menyayangi, memahami, memaafkan, dan kesanggupan belajar perlu dimiliki oleh suami isteri. InsyaAllah perkara ini akan dapat direalisasikan, salah satunya dengan komunikasi yang baik antara mereka berdua dan ahli keluarga yang lain.

 

Cuma, pada hakikatnya, ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk mereka berdua lakukan. Bercakap dengan pasangan kadang-kadang tidak berjalan lancar. Kadang-kadang kerana kesibukan, kerja, atau mungkin juga anak-anak, mereka menuntut perhatian antara satu sama lain. Malah, apabila perhatian yang diharapkan tidak kunjung tiba, suami atau isteri mengalami kesukaran untuk berkomunikasi secara lisan. Masing-masing membuat kesimpulan dengan keegoan yang ditunjukkan oleh sikap berdiam diri dan tidak mahu memulakan perbualan.

 

Kadang-kadang, kedua-dua suami dan isteri menganggap masalah yang mereka hadapi remeh sehingga sering berlengah-lengah membincangkannya. Tanpa disedari masalah yang mesti dibincangkan semakin bertimbun-timbun, padahal ada perkara penting yang perlu segera diselesaikan. Akhirnya, ego dan perasaan lebih mendominasi. Sudah tentu ini bukan sesuatu yang kita harapkan. Oleh itu, kita mesti berusaha memperbaikinya agar keluarga kita kekal harmoni dan sentiasa dilimpahi keberkatan di dunia dan akhirat. Amin.

 

Bercakap dengan Pasangan, Bercakap dengan Hati

 

Sebenarnya, Islam telah memberikan panduan kepada setiap muslim cara bercakap dengan pasangan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bercakap dengan pasangan tidak boleh sebarangan dan tidak boleh dipandang ringan. Boleh dikatakan, bila bercakap dengan pasangan adalah bercakap dengan hati dan ada seninya. Selain itu, Allah SWT telah mengutus RasulNya untuk menjadi contoh yang terbaik bagi umat Islam. Kita sebagai manusia hendaklah mencontohi komunikasi lisan Rasulullah SAW dengan isteri-isterinya.

 

Allah SWT memerintahkan seorang suami untuk bergaul dengan isterinya dengan cara yang baik, begitu juga sebaliknya. Pergaulan suami isteri selayaknya dua sahabat yang sempurna. Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan suami isteri untuk berkomunikasi dan bercakap antara satu sama lain dengan cara yang baik. Firman Allah SWT, “… Dan bergaullah dengan mereka dengan baik. Kemudian, jika kamu tidak menyukai mereka, bersabarlah kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah telah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [TMQ an-Nisa: 19].

 

Rasulullah SAW teladan terbaik. Nabi SAW bergaul dengan keluarganya secara makruf. Daripada Muawiyah al-Qusyairi, Rasulullah SAW pernah ditanya, “Apakah hak wanita terhadap suaminya?” Rasulullah menjawab, “Engkau memberinya makan jika engkau makan dan engkau memberi pakaian jika engkau berpakaian. Jangan memukul mukanya, jangan menghinanya dan jangan menjauhinya, kecuali di dalam rumah.” [HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah].

 

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, “Bertakwalah kepada Allah dalam memperlakukan wanita, kerana kamu telah mengambil mereka (menjadi isteri) dengan perjanjian Allah dan menghalalkan hubungan suami isteri dengan kalimat Allah.” [HR Muslim].

 

As-Syeikh Abdul Muhsin Al-‘Abbad hafizhahullah berkata, “Maksud hadis ini ialah, kerana kamu para suami telah mengahwini isteri-isteri kamu mengikut syariat Allah, mereka adalah amanah di atas bahu kamu. Hendaklah kamu berusaha menjaga amanah ini, kamu tidak boleh menyakiti isteri, tidak boleh berbuat jahat kepada mereka, tetapi hendaklah berbuat baik kepada mereka, bergaul dengan cara yang makruf dan berinteraksi dengan cara yang makruf.[Syarhu Sunan Abi Daud, 10/112, As-Syaamilah ].

 

Daripada penjelasan ini, benarlah pasangan suami isteri dituntut untuk sentiasa bercakap dengan baik kepada pasangan, mengambil berat akan situasi dan keadaan sedia ada. Jangan biarkan suami yang baru pulang dari kerja dihujani dengan persoalan. Boleh jadi, suami semakin pening kerana kerja di pejabat agak menyibukkan fikirannya. Begitu juga sebaliknya, jangan biarkan suami pulang dari kerja dan segera mempersoalkan perkara yang boleh menyudutkan isteri. Boleh jadi ketika itu, isteri hendak berehat sebentar setelah seharian menguruskan rumah dan anak-anak yang banyak kerenahnya. Benarlah jika dikatakan bercakap dengan pasangan mestilah bercakap dari hati. Difikirkan dengan baik, dengan penuh perasaan dan sudah tentu mesti memperhatikan adab.

 

Rasulullah SAW Contoh Terbaik Pasangan dalam Berkomunikasi

 

Semasa hayatnya, Rasulullah SAW pernah bercakap dengan isterinya. Kadang-kadang beliau membincangkan pelbagai isu penting dengan mereka. Sebenarnya, Rasulullah SAW ingin mengajar umat Islam khususnya pasangan suami isteri tentang kedudukan penting yang dimiliki wanita sebagai isteri. Bukan sahaja mesti disayangi, tetapi mesti dilayan dengan baik. Mari kita telusuri kehidupan Rasulullah SAW berkaitan dengan ini.

 

  1. Bercakap dengan Baik

 

Kadang-kadang kerana kepenatan, suami atau mungkin isteri tidak mampu mengawal diri sehingga kata-kata yang tidak sepatutnya keluar. Ini sememangnya tidak baik dan boleh menyebabkan pergaduhan yang berterusan. Lebih-lebih lagi jika salah satu pihak adalah seorang yang suka mengungkit kesilapan. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah dia berkata yang baik atau hendaklah dia diam.” [HR Bukhari-Muslim]. Walaupun hadis ini bersifat umum, jika diamalkan dengan betul ia akan sangat bermanfaat untuk kehidupan berkeluarga.

 

Oleh itu, jauhi keinginan untuk bercakap yang tidak baik terutama terhadap pasangan sendiri. Apatah lagi hingga bercerita ke mana-mana mengenai keburukan pasangan kita, ia benar-benar tidak perlu dilakukan. Jangan sampai dengan orang lain, contohnya rakan sekerja, kita boleh bercakap dengan baik tetapi pada isteri atau suami sendiri, kita tidak ambil peduli tentangnya. Na’uzubillah.

 

  1. Bercakap dengan Nada Perlahan, Tetapi Jelas

 

Diriwayatkan oleh ibunda Aisyah RA, “Rasulullah tidak bercakap seperti yang biasa kamu lakukan (iaitu bercakap dengan nada yang cepat). Tetapi beliau bercakap dengan nada yang perlahan dan dengan kata-kata yang jelas dan terang yang mudah dihafal oleh orang yang mendengarnya.” [HR Abu Dawud].

 

“Tutur kata Rasulullah SAW sangat teratur, untaian demi untaian kalimatnya tersusun rapi, sehingga yang mendengarnya mudah memahaminya.” [HR Abu Dawud).

 

Suami isteri mesti mempunyai niat yang sama untuk mengamalkan contoh dari Rasulullah ini. Bercakap dengan perlahan dan jelas, tidak tergesa-gesa, supaya apa yang diperkatakan jelas didengari oleh pasangan. Ini akan mengurangkan, malah menghapuskan wujudnya salah faham antara pasangan suami isteri kerana salah faham tentang apa yang diperkatakan oleh pasangan. Hakikatnya, tidak sedikit pertengkaran berlaku kerana salah faham yang berpunca daripada percakapan yang tidak jelas dan tergesa-gesa ini.

 

Malah, jika ada perbualan yang sangat penting, tidak mengapa untuk mengulanginya sehingga tiga kali. Tetapi dengan catatan, ia memang sangat penting supaya tidak berlaku salah faham. Anas bin Malik RA berkata, “Rasulullah sering mengulangi perkataannya tiga kali agar dapat difahami.” [HR Al-Bukhari].

 

  1. Menyapa Isteri dengan Sapaan yang Mesra dan Baik

 

Rasulullah SAW sering tidak memanggil isteri-isterinya dengan nama mereka, tetapi dengan nama panggilan yang mesra. Beliau biasa memanggil ibunda Khadijah “ya, Habibii“, wahai kekasihku. Begitu juga dengan Aisyah yang disapa dengan “Humairah“, wahai wanita yang pipinya kemerahan. Lihatlah bagaimana Rasulullah tidak memanggil isteri-isterinya, kecuali dengan panggilan mesra dan hangat.

 

Dari segi psikologi, panggilan mesra dan hangat ini akan mempengaruhi psikologi pasangan, seterusnya mempengaruhi keharmonian hubungan suami isteri. Selain itu, Rasulullah berpesan kepada para suami agar tetap bersabar dalam menghadapi sikap isteri yang kurang disukai. “Jangan marah (lelaki/suami) Islam kepada wanita muslimah (isteri). Jika dia tidak menyukai salah satu perangainya, sukailah perangainya yang lain.”

Terdapat juga banyak riwayat yang menggambarkan bahawa Rasulullah SAW bergaul dengan keluarganya dengan sangat baik, bergurau senda, dan berlembut dengan mereka. Sebelum tidur, Rasulullah SAW sering berbual sebentar dengan keluarganya selepas solat Isyak dengan perbualan yang menyenangkan.

 

  1. Perbincangan dan Perbualan yang Menenangkan

 

Contoh terbaik yang boleh kita temui dalam beberapa peristiwa penting yang dihadapi oleh Rasulullah SAW. Beliau kemudian menyampaikan kepada salah seorang isterinya sehingga terjadilah komunikasi dan perbincangan yang saling menenangkan antara satu sama lain.

 

Pada diri ibunda Khadijah, kita akan melihat kepintaran dan kepandaian seorang isteri berkomunikasi dengan suami yang sedang panik kerana peristiwa yang sedang dihadapinya. Dalam Sahih Bukhari dan Muslim serta Musnad Ahmad di sampaikan tentang keadaan Rasulullah SAW ketika baru menerima wahyu pertama di Gua Hira’. Kemudian Nabi SAW pulang ke rumah dan berjumpa dengan ibunda Khadijah dalam keadaan fizikal dan hati yang gementar. Rasulullah SAW masuk dan berkata, “Selimuti aku, selimuti aku.”

 

Apabila sudah mula tenang, Rasulullah SAW bersabda, “Khadijah, aku bimbang ditimpa musibah. Aku bimbang aku ditimpa musibah.” Khadijah berkata untuk menenangkan dan mententeramkan suaminya, “Bergembiralah, demi Allah, Allah tidak akan merendahkanmu selamanya. Engkau benar-benar jujur dalam tutur kata, menjaga silaturahim, memikul beban, memuliakan tetamu dan menolong orang yang dalam kesusahan.” Kata-kata yang mengalir dengan jujur dan bukan berbasa-basi. Menyejukkan hati yang panas. Menenangkan jiwa yang gementar. Memantapkan keyakinan terhadap pertolongan Allah SWT.

 

Sudah tentu kita masih ingat satu peristiwa besar yang pernah dihadapi oleh Rasulullah SAW, iaitu Perjanjian Hudaibiyah. Tidak dapat dinafikan bahawa perintah Allah yang datang dari wahyu adalah terasa berat bagi Rasulullah SAW dan juga sebagai hentaman kepada para sahabat. Akibatnya, mereka tidak segera menyahut perintah Rasulullah SAW. Apabila melihat para sahabatnya enggan menunaikan perintahnya, Rasulullah SAW masuk ke dalam khemahnya dan bertanya kepada Ummul Mukminin, Ummu Salamah RA. Beliau menyatakan pendapatnya dengan penuh hormat, “Wahai Nabiyullah, sebaik-baiknya engkau pergi dan tidak bercakap dengan sesiapa, tetapi terus sembelih haiwan korbanmu. Selepas itu, panggil orang yang biasa mencukur rambut dan bercukurlah.”

 

Rasulullah SAW pun melakukannya. Tidak lama kemudian, rakan-rakan yang melihatnya segera bangun menyembelih korban kemudian bercukur sesama sendiri. Akhirnya para sahabat sedar bahawa ini adalah wahyu dari Allah SWT.

 

Begitulah, alangkah indahnya komunikasi Rasulullah SAW dengan isteri-isterinya. Beliau bercakap dengan hati supaya apa sahaja yang dibincangkan dengan isteri-isterinya terasa hangat dan membahagiakan. Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik di antara kamu dalam berurusan dengan keluargaku.” [HR Tirmizi]. Alangkah indahnya jika setiap pasangan suami isteri dapat mencontohi suri teladan yang mulia ini. Jika itu berlaku, maka sesungguhnya kebahagiaan rumah tangga akan menjadi lebih sempurna.

 

Mari kita mula membiasakan diri untuk bercakap dengan hati kita kepada pasangan kita. Hendaklah selalu diingat, pasangan kita adalah anugerah Allah SWT. Dengannya, kita akan bahagia hingga ke syurga. Oleh itu, adalah baik jika pasangan suami isteri sentiasa memperhatikan kualiti komunikasi mereka dengan pasangan. Wallahua’lam bissawab.

 

Exit mobile version