Site icon MuslimahHTM News

Bilakah Masa untuk Berehat?

[Nafsiyah] Bilakah Masa untuk Berehat?

Penulis: M. Taufik N. T.

 

Apabila tugas yang dirasakan besar dan berat telah selesai, apabila ketaatan demi ketaatan telah ditunaikan, apabila dirasakan telah banyak berjasa dalam perjuangan, tidak jarang di fikiran seseorang itu timbul, “Sekarang adalah masa untuk berehat. Sekejap”. Sebaliknya, ada kalanya seseorang itu, apabila segala usahanya tergendala, tiada hasil, lalu mendapati jalan yang dilaluinya semakin curam dan berduri, teman seperjalanannya juga berat hati untuk turut sama mendaki, maka berlakulah dialog dalam hatinya, “Saya sudah penat dengan usaha ini, lebih baik berehat sahaja”.

 

Padahal Al Hasan bin Shalih rahimahullah pernah mengatakan,

إن الشيطان ليفتح للعبد تسعة وتسعين بابا من أبواب الخير، يريد به بابا من الشر

Sesungguhnya syaitan dapat (memancing dengan) membukakan 99 pintu kebaikan agar masuk ke satu pintu keburukan yang syaitan inginkan.”

 

Boleh jadi syaitan tidak menghalang pelbagai usaha ketaatan sehingga akhirnya membuahkan kejayaan. Akan tetapi, ada kesudahan yang dinanti-nantikan oleh syaitan, yang diharapkannya, seperti timbulnya rasa ujub atau bangga diri dengan melalaikan Sang Pemberi Nikmat atau yang diinginkannya adalah timbulnya sikap cukup sehingga boleh berehat.

 

Suatu ketika Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah ditanya,

متى يجدُ العبدُ طعْمَ الراحه ؟

Bilakah seorang hamba dapat merasai (masa) berehat?”  Beliau pun menjawab,

عند أول قدم يضعها في الجنة

Ketika kali pertama kakinya memijak syurga.”

 

Imam As Syafie Rahimahullah juga pernah berkata,

طلب الراحة في الدنيا لا يصح لأهل الــمُرُوءات، فإن أحدهم لم يزل تعبان في كل زمان

Mencari rehat di dunia tidak layak untuk seorang pahlawan, kerana seorang pahlawan sentiasa bekerja keras sepanjang zaman.”

 

Ditanyakan kepada seorang ahli zuhud,

كيف السبيلُ ليكونَ المرءُ من صَفْوَة الله؟

Bagaimana cara seseorang itu menjadi salah satu pilihan Allah?” Beliau menjawab,

إذا خلع الراحةَ وأعطى المجهودَ في الطاعة

Jika dia meninggalkan istirehat dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam menjalani ketaatan.”

 

Amîrul Mukminin fil Hadîts, Syu’bah bin Hajjaj Al Bashri pernah menyatakan,

لا تقعدوا فُراغًا فإن الموت يطلبكم

Janganlah kamu duduk di waktu lapang (tanpa aktiviti), kerana sesungguhnya kematian sentiasa mencari kamu.”

 

Kadang-kadang kita lupa sehingga kita leka berehat dan berseronok. Lebih teruk lagi jika “berehat dahulu” sehingga tidak ditentukan had masa dari aktiviti menyeru kebaikan, walaupun masa yang telah berlalu tidak mungkin kembali.

 

Imam Abu Bakar bin Ayyasy berkata, “Jika seseorang kehilangan sekeping emas, dia akan menyesalinya dan memikirkannya sepanjang hari. Dia mengadu, ‘Inna lillah, emasku telah hilang.’ Tetapi tidak pernah ada sesiapa yang mengeluh, ‘Suatu hari telah berlalu, apa yang telah saya lakukan dengannya?’”

 

Abu Bakar Al-Khatib Al-Baghdadi sering dilihat membaca sambil berjalan, kerana tidak mahu membuang masa.

 

Imam Abdul Wahab As Sya’rani menceritakan tentang gurunya, Syeikh Zakaria Al-Anshari [w. 926 H, pengarang kitab Fiqh Syafi’i; Fathul Wahâb Syarh Mihhâjut Thullâb], “Dalam dua puluh tahun aku berkhidmat kepadanya, aku tidak pernah melihatnya dalam kecuaian atau melakukan sesuatu yang sia-sia, siang atau malam. Jika tetamu bercakap terlalu lama dengannya, dia segera berkata dengan tegas, ‘Anda telah membuang masa saya.’”

 

Menghadapi Halangan

 

Mengapa sukar untuk menjadi seperti mereka? Perkara yang paling biasa berlaku adalah kerana kita termasuk penulis sering mencari alasan dan berdolak dalih sehingga dilihat logik bahawa mustahil untuk menjadi seperti mereka atau sekurang-kurangnya meniru mereka. Berikut adalah beberapa contoh, cara orang yang telah mendapatkan alasan syarie, tetapi masih boleh mendapat kemuliaan yang lebih tinggi.

 

 

Abdullah bin Ummi Maktum (Abdullah bin Qais bin Zaidah bin Al-Asham) mempunyai keinginan yang besar untuk berjuang di jalan Allah SWT walaupun dia buta.

 

Imam Bukhari meriwayatkan dari Barra’, katanya, “Ketika turun ayat,

لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman.” [TMQ an-Nisaa’ (4): 95].

 

Bersabdalah Nabi SAW, ‘Panggillah si fulan!’ Maka, datanglah dia membawa tinta, papan dan alkatif (penyangga), lalu sabda Nabi SAW, ‘Tulislah! Tidaklah sama orang-orang yang duduk di antara orang-orang mukmin dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah,‘ sedangkan di belakang Nabi ada Abdullah bin Ummi Maktum, maka dia berkata

يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنَا ضَرِيرٌ

Wahai Rasulullah, saya ini cacat.’

 

Maka turunlah sebagai ganti ayat tadi,

لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً

Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat.

 

Walaupun ayat itu sudah diturunkan, beliau masih tetap memiliki hasrat yang tinggi untuk syahid di jalan Allah SWT. Akhirnya Allah SWT makbulkan hajatnya untuk berjihad dan menjadi orang buta pertama yang menyertai peperangan dalam sejarah Islam iaitu perang Al-Qadisiyah. Anas bin Malik melihat dia membawa rayah (panji) hitam ketika ditanya, “Bukankah Allah telah memberi alasan kepadamu?” Dia menjawab,

 

بَلَى! وَلَكِنِّي أُكَثِّرُ [سَوَادَ]  الْمُسْلِمِينَ بِنَفْسِي

“Ya betul, tetapi saya menginginkan dengan kehadiran saya di sini, di medan perang, paling tidak dapat menambah jumlah tentera Islam.” [Tafsir al Qurthuby, 4/266]

 

Akhirnya, beliau syahid dalam satu riwayat, sedangkan dalam riwayat lain beliau wafat di Madinah.

 

‘Amr ibnul Jamuh,walaupun dia seorang yang sangat tempang, dia tetap mahu terlibat dalam perang Badar demi merindui syahid. Ketika itu, anaknya memujuk Rasulullah SAW untuk menghalang niat ayahnya untuk berjihad dan Rasulullah SAW melarangnya. Apabila datang seruan untuk perang Uhud, dia berkata kepada anak-anaknya, “Kamu telah melarangku menyertai perang Badar, maka janganlah kamu melarangku keluar dalam perang Uhud.” Anak-anaknya menjawab, “Sesungguhnya Allah memberi keringanan kepadamu.” Kemudian, Amr bin Al Jamuh datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Ya Rasulullah, sesungguhnya anak-anakku ingin menghalangiku untuk keluar bersamamu dalam urusan (perang) ini. Demi Allah, sesungguhnya aku berharap akan masuk syurga dengan ketempanganku.” Rasulullah SAW bersabda, “Adapun kamu, Allah telah mengampuni kamu (daripada tidak berperang), maka tidak ada (kewajipan) jihad bagi kamu.” Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada anak-anak ‘Amr, “Kamu tidak berhak menghalangnya daripada (jihad), mungkin Allah akan memberinya rezeki syahid.” ‘Amr kemudian pergi dengan pedangnya dan berdoa, “Ya Allah, berikanlah aku syahadah (mati syahid) dan jangan kembalikan aku kepada keluargaku dalam kegagalan (syahid).” Akhirnya, dia memang syahid dalam perang Uhud dan Rasulullah SAW  bersabda, “Demi Zat yang diriku dalam genggamannya, sungguh aku melihatnya memasuki syurga dengan ketempangannya.”

 

اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو، فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ، وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

(رواه أبو داود)

“Ya Allah, ya Tuhanku, aku mengharap rahmatMu, kerana itu janganlah Engkau serahkan urusanku kepada diriku sendiri walau sekejap mata, perbaikilah semua urusanku, tidak ada Tuhan selain Engkau.” [HR Abu Dawud].

 

Exit mobile version