Site icon MuslimahHTM News

[SN635] Perangkap Polemik Negara Islam

[SN635] Perangkap Polemik Negara Islam

 

Tidak sampai sebulan lagi, enam buah negeri akan menghadapi pilihanraya untuk memilih Ahli Dewan Negeri masing-masing. Seperti biasa, kita menyaksikan perang mulut di antara para pemimpin parti yang bertanding menjadi semakin hangat. Pelbagai isu telah ditimbulkan dengan tujuan untuk menjatuhkan kredibiti pihak lawan. Di antara isu hangat yang sering dijadikan modal adalah isu berkaitan agama dan bangsa. Di antaranya adalah mengenai status negara Malaysia – adakah negara ini sekular atau tidak.

 

Dalam menjawab tuduhan pihak pembangkang yang mengatakan bahawa rakan pakatan kepada Kerajaan Madani, iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) memperjuangkan sekularisme,  Perdana  Menteri  Malaysia,  Datuk  Seri  Anwar Ibrahim menekankan bahawa Kerajaan Perpaduan menolak pemikiran  ini.  Menurut  Anwar,  fahaman  sekular  laicite  iaitu pandangan menolak agama secara mutlak di dalam pentadbiran negara, tidak diterima oleh rakyat dan Kerajaan Perpaduan [Utusan Malaysia, 10/7/2023]. Anwar juga  mendakwa bahawa kedudukan istimewa agama Islam sebagai Agama Persekutuan serta wujudnya Jabatan Agama Negeri dan ketua-ketua Agama Negeri  membuktikan  bahawa  Malaysia  tidak  boleh  dikatakan sebagai negara sekular [Bernama 10/7/2023].

 

Menurut Anwar, selagi negara masih mempunyai elemen Islam, walaupun menerapkan sistem hidup yang tidak datang daripada Islam, Malaysia bukanlah negara sekular mutlak. Ya benar, sekularisme boleh ditafsirkan dengan makna yang luas bergantung kepada sudut pandang seseorang, tetapi makna dasarnya tetap sama, iaitu memisahkan agama daripada urusan manusia  dan  negara.  Tidak  timbul  isu  istilah  sekular mutlak ataupun tidak mutlak kerana hakikatnya, sekular tetap sekular.

 

Sekilas  Mengenai  Sekularisme  dan  Polemik  yang Melingkarinya                                          

 

Falsafah di sebalik sekularisme adalah pemisahan agama daripada kehidupan (faslu din anil hayah). Fahaman sekularisme ini mula menjadi dominan di Eropah ekoran penentangan terhadap penindasan dan cengkaman gereja ke atas masyarakat di rantau tersebut sewaktu Zaman Gelap Eropah. Golongan pemikir   Eropah   yang   mendukung   sekularisme   berpegang bahawa   manusia   mempunyai   hak   sepenuhnya   membuat sebarang keputusan dalam kehidupannya tanpa kongkongan doktrin  agama.  Berdasarkan  konsep  ini,  sekularisme memuliakan kebebasan manusia dalam membuat keputusan. Rentetan daripada itu, sekularisme mempertahankan hak kebebasan berakidah/beragama (freedom of religion), kebebasan berpendapat (freedom of opinion), kebebasan hak milik (freedom of ownership) dan kebebasan bertingkahlaku (personal freedom) bagi manusia.

 

Secara  ideologi,  sekularisme  merupakan  akidah  (dasar pemikiran) yang menyeluruh mengenai alam semesta, manusia dan kehidupan. Sekularisme bertindak sebagai qiyadah fikriyah (kepemimpinan  berfikir)  di  mana  penganut  akidah  ini berpendapat bahawa manusia berhak membuat peraturan (undang-undang)  hidupnya  sendiri.  Akidah  sekularisme  inilah yang  melahirkan sistem Kapitalisme yang  mendominasi dunia hari ini, termasuk dunia umat Islam setelah runtuhnya institusi Khilafah terakhir  yang  berpusat di  Istanbul pada  1924.  Inilah hakikat yang tidak disedari, atau cuba dimanipulasi dan disembunyikan daripada umat Islam agar mereka kekal dalam tatanan kehidupan yang dipaksakan ke atas mereka.

 

Polemik Malaysia sebagai negara Islam  ataupun sekular secara asasnya berlegar sekitar pembahasan mengenai Perkara 3 Perlembagaan yang memperuntukkan Islam sebagai Agama Persekutuan, serta berdasarkan kewujudan syiar-syiar Islam seperti masjid dan institusi Islam di negara ini. Tidak kurang juga yang melihat negara ini sebagai negara Islam berdasarkan fakta bahawa majoriti penduduk di negara ini merupakan Muslim dan ia diterajui oleh para pemimpin yang beragama Islam.

 

Di samping itu, terdapat juga pihak yang menyatakan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara sekular yang masih menerapkan elemen-elemen Islam – selari dengan pandangan yang dikemukakan oleh Anwar. Dengan kata lain, sekularisme “dilunakkan” agar diterimapakai oleh umat Islam dan sistem yang mencengkam  kehidupan   mereka   hari   ini   dapat   dikekalkan dengan  disaduri  “penerapan” Islam  dan  syiar-syiarnya secara juz’i (sebahagian dan tidak menyeluruh).

 

Jika ditelusuri sejarah pembentukan negara ini, kita akan mengetahui bahawa  sekularisme merupakan asas pembentukannya  sejak dari  awal  lagi.  Berdasarkan laporan Suruhanjaya Reid yang menjadi asas pembentukan Perlembagaan  Persekutuan,  dinyatakan  bahawa   kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan tidak menjadikan negara ini bukan sebuah negara sekular. Dalam Kertas Putih yang dikeluarkan oleh kerajaan British pada Jun 1957 selepas Persidangan London yang berlangsung pada 13-21 Mei 1957, telah dinyatakan dengan jelas bahawa “pengisytiharan Islam sebagai Agama Persekutuan sama sekali tidak menjejaskan kedudukan Persekutuan sekarang sebagai sebuah negara sekular” [Cadangan Perlembagaan Untuk Kemerdekaan Malaya].

 

Banyak lagi bukti-bukti yang dapat dilihat berdasarkan keputusan penghakiman (seperti kes Che Omar bin Che Soh v Public   Prosecutor   pada  1988),   kenyataan   para   pemimpin Malaysia terdahulu serta praktik kenegaraan yang diamalkan sehingga ke hari ini – semuanya menjurus kepada kesimpulan bahawa Malaysia jelas sekali bukanlah sebuah negara Islam dalam ertikata yang sebenar.

 

Negara Islam dan Pelaksanaannya

 

Islam merupakan sebuah mabda’ (ideologi atau cara hidup) yang sempurna dan merangkumi segenap aspek kehidupan, termasuklah aspek kenegaraan dan tadbir urus. Negara Islam atau  Dar  al-Islam  mestilah  mempunyai dua  ciri  sebagaimana yang dirumuskan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah: “Pertama, hukum-hakamnya adalah Islam, dan kedua, keamanannya (kekuasaan) berada di tangan orang-orang Islam” [Al-Syakhsiyyah al-Islamiyyah, Jil.2].

 

Tidak seperti konsep negara bangsa yang wujud hari ini, sempadan negara Islam sentiasa berubah dan berkembang sejajar dengan pelaksanaan polisi luarnya melalui dakwah dan jihad futuhat (pembebasan wilayah). Negara Islam atau juga dikenali  sebagai  Khilafah  atau  Imamah,  juga  tidak  terbatas kepada sempadan geografi dan etnik, sebaliknya menyatukan seluruh umat Islam di bawah satu pemerintahan.

 

Rasulullah (saw) diutus bukan sekadar sebagai pembawa risalah Islam, bahkan juga sebagai ketua negara yang mentadbir Madinah al-Munawwarah setelah berlakunya peristiwa hijrah. Setelah meraih kekuasaan melalui dokongan golongan Ansar, Rasulullah (saw) bingkas membina asas pembentukan sebuah negara, melaksanakan tatakelola yang baik dan menerapkan hukum-hakam berdasarkan bimbingan wahyu.  Meskipun pada ketika  itu  Madinah  didiami  oleh  masyarakat  yang  majmuk, baginda (saw) tidak berkompromi dalam melaksanakan syariah Islam di bumi Madinah – jauh sekali mengasingkan urusan kenegaraan  daripada  tuntutan  agama  dengan  alasan kemajmukan masyarakatnya.

 

Dalam pada itu, Rasulullah (saw) juga tidak mendiskriminasi ahlu dzimmah (orang kafir yang menetap dalam negara Islam). Mereka berhak untuk mengamalkan kepercayaan mereka serta mengikuti peraturan agama mereka dalam urusan makanan, pakaian, dan pernikahan. Ahlu dzimmah juga boleh dilantik sebagai penjawat awam dalam negara Islam dan mempunyai wakil dalam Majlis Umat bagi melaporkan sebarang bentuk kezaliman atau kelalaian pemerintah terhadap mereka.

 

Namun, kehidupan bernegara dan masyarakat di bawah negara Islam secara keseluruhannya diatur dengan ketetapan syarak.  Baik  warga Muslim mahupun  kafir  yang  menetap  di dalam negara Islam, kesemuanya menjalani kehidupan umum sebagaimana ketetapan syarak.

 

Berbeza dengan situasi hari ini yang menyaksikan “dualism perundangan”   diwujudkan   dengan   meletakkan   Mahkamah Syariah lebih rendah dari Mahkamah Sivil dan pelaksanaan hukum syarak dibataskan ruang lingkupnya. Tanpa disedari, perjuangan untuk menegakkan syariah Islam dalam konteks perlembagaan hari ini hanya mengukuhkan lagi pemisahannya, sekali gus memperakukan ketundukannya kepada sistem buatan manusia.

 

Khatimah

 

Polemik negara Islam dan sekular ini akan terus dikumandangkan para politikus demi meraih kepentingan politik, dan dijadikan modal bagi menyerang seteru politik mereka. Masing-masing cuba  menjatuhkan kredibiliti  seteru  mereka  di mata para pengundi Melayu-Muslim yang merupakan majoriti di negara ini.  Hakikatnya, mana-mana pihak yang menang dalam pilihanraya demokrasi ini akan tetap menjunjung perlembagaan warisan British yang direkayasa demi memastikan umat Islam di negara ini terus diatur dengan acuan penjajah.

 

Sekularisme, dalam bentuk apa sekalipun, wajib ditolak dan digantikan dengan penerapan mabda’ Islam secara kaffah (sempurna). Tidak selayaknya bagi mana-mana Muslim, khasnya dari kalangan para pemimpin untuk berdolak-dalih dalam menjustifikasikan sekularisme yang membarah di negara ini. Ingatlah akan firman Allah (swt) yang bermaksud:

 

Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kalian ikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, ia musuh yang nyata bagimu” [Al-Baqarah (2): 208].

 

Polemik  ini  tidak  akan  berkesudahan seandainya  pihak  yang membahaskannya masih meneruskan legasi British tanpa mengambil jalan  keluar,  yakni  dengan  mencampakkan sistem warisan penjajah ini ke dalam tong sampah peradaban sekali gus berusaha untuk menegakkan negara Islam yang hakiki.

 

Sumber: Sautun Nahdhah 635, 2 Muharram 1444/ 20 Julai 2023

Mykhilafah

 

Exit mobile version