Site icon MuslimahHTM News

Abdullah bin Abi Sarah, daripada Pemalsu Wahyu hingga Islamisasi Tunisia

[Kisah Inspirasi] Abdullah bin Abi Sarah, daripada Pemalsu Wahyu hingga Islamisasi Tunisia

Penulis: Chusnatul Jannah

 

Sebahagian kaum muslim mungkin sudah biasa dengan nama Musailamah al-Kadzab yang dikenali sebagai pemalsu wahyu pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Pada masa Rasulullah SAW hidup, terdapat juga seorang pemalsu wahyu yang kerap memutar belitkan ayat al-Quran. Dia memiliki nama lengkap Abdullah bin Sa’ad bin Abi Sarah, seorang penulis wahyu yang reputasinya sempat ternoda kerana terbukti telah mempermainkan ayat-ayat al-Quran. Kemudian, [setelah bertaubat] dia dikenali memiliki kerjaya cemerlang dalam hal penaklukan.

 

Abu Yahya, nama panggilan Abdullah bin Abi Sarah, membesar dan hidup di Mekah. Datuknya, Abi Sarah adalah salah seorang pembesar kaum munafik yang kerap memusuhi dakwah Islam. Sementara itu, ibunya, Mahabah binti Jabir al-Asy‘ari merupakan ibu susu Uthman bin Affan. Dengan kata lain, Abdullah bin Abi Sarah adalah saudara susuan Uthman.

 

Pemalsu Wahyu

 

Abdullah memeluk Islam sebelum pembukaan (futuhat) Mekah. Dia turut serta dalam rombongan hijrah menuju Madinah. Rasulullah SAW sempat memberinya tugas untuk menulis wahyu. Akan tetapi, dia termakan tipu daya syaitan hingga berani memanipulasi ayat al-Quran. Setelah diketahui dia telah memalsukan ayat al-Quran, dia telah melarikan diri menuju Mekah sambil membanggakan dirinya kerana telah berjaya  mengubah ayat al-Quran. Dia sengaja melakukan itu semua agar namanya viral sebagai pemalsu wahyu dan terkenal di kalangan masyarakat Quraisy.

 

Kes Abdullah terbongkar setelah turunnya surah al-An’am ayat 93 yang bermaksud, “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat kedustaan terhadap Allah atau yang berkata, ‘Telah diwahyukan kepada saya’, padahal tidak ada diwahyukan sesuatu pun kepadanya, dan orang yang berkata, ‘Saya akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah.’”

At-Thabari menuliskan, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ahli takwil mengenai siapa yang dijelaskan dalam ayat tersebut. Ada yang berpendapat bahawa ayat di atas ditujukan atas perilaku Musailamah al-Kadzab. Sedangkan sebahagian lainnya berpendapat, ayat ini ditujukan atas perbuatan Abdullah bin Abi Sarah yang telah khianat dan cenderung mengubah-ubah ayat al-Quran.

 

Sebagaimana ketika dibacakan kepadanya “Azizun Hakim”, Abdullah bin Abi Sarah justeru menulis “Ghafurur Rahim”. Ketika dibacakan “Sami’an ‘Aliman”, dia menulis “Aliman Hakiman”. Sebaliknya, ketika dibacakan “Aliman Hakiman”, dia sengaja menulis “Sami’an ‘Aliman”. Kemudian, dia berdusta pada kaum Quraisy dengan mengaku telah menerima wahyu seumpama Nabi Muhammad SAW.

 

Abdullah bin Abi Sarah kemudian bertaubat dan meminta bantuan saudaranya, Uthman bin Affan untuk memujuk kaum muslim supaya memaafkannya. Kemudian, Uthman memberitakan taubat beliau ini kepada Rasullullah SAW. Rasulullah sempat terdiam lama, tidak mengatakan apa pun sehingga akhirnya baginda memaafkannya.

 

Menjadi Tentera Kaum Muslim

 

Setelah bertaubat, Abdullah bin Abi Sarah mengabdikan dirinya dalam pasukan kaum muslim. Sebagaimana potensi yang dia miliki selama ini, iaitu kemampuan militer yang sudah mendarah daging dalam dirinya. Komitmennya dalam berjihad terus ditunjukan dari masa ke semasa. Contohnya, pada era Khalifah Abu Bakar as-Siddiq RA, dia turut serta dalam pembanterasan kaum Riddah yang membangkang pemerintah yang sah dan ikut bertempur bersama Amr bin al-Ash dalam usaha penaklukan Palestin.

 

Pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab RA, dia ikut dalam ekspedisi Mesir. Berkat dedikasinya dalam bidang militer, dia dipercayai oleh Amr bin al-Ash untuk memimpin pasukan khusus untuk menyerbu pasukan Rom di selatan Mesir untuk memperkukuhkan autoriti kaum muslim yang telah berjaya menduduki wilayah dari Fustath hingga Alexandria. Setelah itu, dia kembali diutus ke wilayah Nubia, Sudan dan berjaya memberi pengaruh Islam di sana.

 

Islamisasi Tunisia

 

Ketika menyebut Abdullah bin Abi Sarah, kawasan Afrika Utara khususnya Tunisia tidak boleh dipisahkan dari namanya. Melalui wasilah sang jeneral inilah untuk pertama kalinya Islam masuk ke wilayah berpenghuni masyarakat Amazigh itu. Seorang penulis berbangsa Mesir, Muhammad Ali dalam karangannya Min Abthal al-Fath al-Islami mengabadikan perjuangan dan kisah-kisah keberanian Abdullah bin Abi Sarah.

 

Buku tersebut memaparkan bahawa Abdullah bin Abi Sarah memulakan perjalanan ke Tunisia pada 26 Hijriyah dengan jumlah tentera mencapai 20000 pasukan. Dia menempuh perjalanan ke Barqah, Tripoli lalu sampai di perbatasan Tunisia. Ketika itu, Tunisia diduduki oleh Gregory the Patrician. Beliau merupakan seorang panglima ternama Rom yang wilayahnya membentang luas dari  Tripoli (Libya) hingga ke Tangier (Marocco) dengan ibu kota  Chartage (Tunisia).

 

Di kawasan bernama ‘Aqubah, dua panglima saling beriringan dan saling mengayunkan pedang. Riwayat ini sedikit berbeza dengan apa yang disampaikan oleh sejarawan Tunisia, Hasan Husni Abdul Wahab dalam Khulasat Tarikh Tunis. Menurutnya, pertempuran menghadapi Gregory ini terjadi di Sbeitla yang terletak 260 km dari ibukota Tunisia.

 

Abdullah mengirim surat kepada raja Rom agar memilih jalan damai dan membayar penghormatan. Namun, tidak ada titik jelas dalam kesepakatan tersebut. Perang pun tidak boleh dielakkan dan kemudian berlangsung selama berhari-hari. Jumlah tentera Rom ketika itu telah mencapai 100 000 hingga 120 000 pasukan yang berusaha menyekat umat Islam agar tidak dapat masuk ke wilayahnya.

 

Walau dengan kekuatan yang sangat super, seiring berjalannya wakt, pasukan Rom mulai keletihan. Sedangkan, pasukan kaum muslim masih berada dalam top performance. Mereka tidak mahu menyia-nyiakan kesempatan emas sehingga tentera Abdullah bin Abi Sarah menyerbu lagi pertahanan musuh. Pasukan Rom pun berundur  dengan bertambahnya mangsa  korban termasuk di antaranya Gregory yang dibunuh oleh Abdullah bin Zubair.

 

Seterusnya Abdullah bin Abi Sarah mengepung kawasan Sbeitla sementara pasukannya  masuk ke salah satu kota terbesar di barat daya Tunisia, Gafsah. Hasilnya, kejayaan kedua  penaklukan. Tidak lama kemudian giliran El-Djem (kawasan di kota Mahdiah, Tunisia) yang ikut tunduk dalam naungan Islam. Mereka sepakat berdamai dan mengirim cukai rutin setiap tahun bernilai 2 500 000 dinar.

 

Selama satu tahun tiga bulan Abdullah bin Abi Sarah  melakukan pengembaraan mempelajari selok belok Tunisia. Membuka tanah dan menyebarkan Islam. Walaupun mampu membuka kota-kota besar berbilang-bilang di Tunisia, dia hidup secara nomad iaitu berpindah-pindah. Hal ini berkaitan dengan tugas yang dibawanya ketika itu, iaitu untuk menggali informasi terperinci terkait perihal keadaan geografi Tunisia dan mengukur kekuatan musuh.

 

Setelah tugasnya tuntas, dia kembali ke Mesir. Jelas bahawa peranan informasi adalah tonggak persiapan sebelum penaklukan hakiki yang tidak boleh dianggap remeh. Berkat peranan informasi yang menjadi tonggak persiapan penaklukan, panglima-panglima perang memperoleh informasi terbaru yang menjadi bekal dalam menerapkan strategi yang padu. Ini disebabkan oleh ketepatan strategi sangat menentukan kejayaan dalam peperangan.

 

Contohnya seperti Muawiyah bin Hudaij yang beberapa tahun kemudian mampu menembus masuk dan menguasai kota-kota penting di Tunisia setelah mendapat informasi terperinci hasil pengamatan Abdullah bin Abi Sarah. Begitu pula dengan kejayaan Uqbah bin Nafi’, sang penakluk Afrika, tidak terlepas dari analisisnya terhadap olahan-olahan informasi yang telah dikumpulkan oleh para informasi sebelumnya.

 

Abdullah bin Abi Sarah turun dari jawatannya sebagai gabenor Mesir tidak lama setelah diangkatnya Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah. Dia termasuk individu yang tidak mahu ikut campur dalam sengketa antara Ali dan Muawiyah dan lebih memilih meneruskan jihadnya menuju Palestin dan bermukim di Asqalan.

 

Dia telah wafat dan dimakamkan di Maqbarah Quraisy Asqalan pada 36 Hijriyah, selepas solat subuh seperti doa yang dia panjatkan, “Ya Allah, jadikanlah solat subuhku sebagai penutup amalanku.”

 

Exit mobile version