JANGAN LELAH BERHIJRAH
“Barangsiapa keadaan amalnya hari ini lebih teruk daripada semalam, maka dia akan dilaknat. Barangsiapa hari ini sama dengan semalam, maka dia termasuk orang-orang yang rugi. Dan barangsiapa hari ini lebih baik daripada semalam, maka dia termasuk orang-orang yang beruntung.” (HR Bukhari).
Sahabat, jika kita mendengar hadis di atas, apakah yang ada dalam fikiran dan reaksi kita? Rasa ditampar atau biasa-biasa sahaja? Ya, kita patut rasa menjadi orang yang rugi kalau sebenarnya hari ini kita tidak lebih baik dari semalam. Sebaliknya, kita akan sangat bahagia jika hari ini boleh lebih baik dari semalam. Jadi, berubah menjadi lebih baik dari sebelumnya mestilah menjadi komitmen kita. Jika istilahnya fenomena, ini pula dinamakan dengan istilah “hijrah”.
Ya! Secara bahasa kata al-hijrah merupakan isim (kata nama) dari fi’il hajara, yang bermakna dlidd al-washl (lawan dari tetap atau sama). Jika ia dibentuk dalam kalimah seperti “al-muhajirah min ardl ila ardl” (berhijrah dari satu negeri ke negeri lain), maksudnya ialah “tark al-ulaa li al-tsaaniyyah” (meninggalkan negeri pertama menuju ke negeri yang kedua). [Imam al-Raziy, Mukhtaar al-Shihaah, hlm. 690; Imam Qurthubiy, Tafsir Al-Qurthubiy, juz 3, hlm. 48].
Manakala dari segi istilah, al-hijrah bermaksud berpindah (al-intiqaal) dari satu tempat atau keadaan ke tempat atau keadaan yang lain, tujuannya adalah meninggalkan yang pertama menuju yang kedua. Adapun konotasi hijrah menurut istilah khusus ialah meninggalkan negeri kufur (daar al-Kufr), lalu berpindah menuju negeri Islam (daar al-Islam). [Al-Jurjaniy, al-Ta’rifaat, juz 1, hlm. 83]. Pengertian terakhir ini juga merupakan definisi syarie bagi perkataan al-hijrah.
Secara ringkasnya, erti hijrah ialah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, dari satu keadaan ke keadaan yang lain (Ash-Shihhah fi al-Lughah, II/243, Lisan al-‘Arab, V/250; Al-Qamus Al-Muhith, I/637). Jika berniat untuk berhijrah atau sudah berhijrah, tetapi sebenarnya kita masih berdiam diri atau tidak bergerak untuk melakukan kebaikan, itu tidak termasuk dalam kategori berhijrah mengikut definisi di atas. Kita tidak akan digelar hijrah jika masih tetap di tempat yang lama. Kita juga tidak boleh dikatakan berhijrah jika ternyata kita masih dalam keadaan sama seperti sebelum berhijrah.
Perbetulkan Niat Hijrah
Kenapa kita perlu perbetulkan niat hijrah kita? Jika niat berhijrah itu benar, maka kita tidak akan jemu dan mampu istiqamah dalam berhijrah. Kita tidak berhijrah hanya mengikut mood. Jika kita berada dalam mood, kita teruja untuk berhijrah, tetapi jika merasa bosan, kita menjadi malas untuk berhijrah. Sudah tentu kita tidak mahu menjadi seperti itu, kan? Jadi, penting untuk memperbetulkan niat kita untuk berhijrah kerana apa? Kerana siapa? Ayuh, mari kita semak hadis berikut!
Daripada Amirul Mukminin, Abu Hafsh, Umar bin Khattab ra. berkata,
“Aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda, ‘Segala perbuatan bergantung pada niatnya. Setiap orang akan mendapat (pahala) dari apa yang dia niatkan. Barangsiapa berhijrah untuk mencari redha Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa berhijrah untuk mencari dunia atau untuk seorang wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya hanya untuk itu.’” (HR Bukhari dan Muslim).
Para ulama memasukkan hadis niat ini di awal pembahasan kitab mereka. Hal ini dilakukan tentunya bukan tanpa maksud dan tujuan. Bahkan, hadis ini masuk dalam 70 bab masalah fiqh. Imam Syafie rahimahullahu mengatakan bahawa hadis ini merupakan sepertiga dari ilmu. Imam Abu Dawud rahimahullahu bahkan mengkategorikannya sebagai separuh daripada agama. Abdullah Bin Mubarak berkata, “Berapa banyak amalan yang besar menjadi kecil kerana niatnya dan berapa banyak amalan yang remeh menjadi besar kerana niatnya.”
Jadi, niat mempunyai peranan penting dalam aktiviti harian kita. Walaupun niat letaknya pada awal setiap perbuatan yang hendak dilakukan, tetapi niat juga menentukan tujuan akhir hidup kita. Seperti bermusafir, niat adalah bekal yang akan kita bawa. Jika bekal tersebut salah dan kurang, maka ia akan memburukkan lagi perjalanan dan boleh jadi kita tidak sampai kepada tujuan yang sepatutnya.
Bagaimana, niat itu penting atau sangat penting? Mestilah sangat penting ya, kerana niat menjadi salah satu komponen agar suatu aktiviti tersebut dinamakan perbuatan baik (khayr) atau buruk (syahr). Komponen lain ialah kesesuaian aktiviti kita dengan perintah dan larangan Allah Taala. Kedua-dua komponen ini tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Bahkan salah satu sahaja tidak benar atau tidak sesuai dengan tuntunan Al-Quran dan hadis, boleh tidak termasuk sebagai amal (perbuatan) yang soleh (amal baik). Contohnya, niatnya salah walaupun aktivitinya sudah sesuai dengan tuntunan, ia tetap saja tidak boleh dikategorikan sebagai amal soleh. Sebaliknya, niatnya sudah lurus mencari redha Allah, tetapi caranya tidak sesuai dengan tuntunan Allah dan Rasul-Nya, itu juga bukan amal yang soleh tetapi amal yang salah.
Jadi, niat itu penting sekali atau penting sangat? Penting sangat, ya, bukan penting sekali. Kalau penting sekali, maknanya penting hanya sekali sahaja. Lalu, bagaimana cara kita hendak mengetahui jika niat kita untuk berhijrah itu benar atau tidak? Ya, mengikut hadis yang dipetik di atas, niat kita untuk berhijrah kerana Allah, bukan kerana seseorang atau kerana sesuatu. Kerana, jika niat berhijrah kerana seseorang atau kerana sesuatu, apabila sesuatu itu tidak diperolehi atau sesuatu itu hilang, maka hilang juga niat atau semangat kita untuk berhijrah. Itu tanda paling mudah untuk mengetahui kebenaran niat hijrah kita.
Jadi, kenapa kita lelah berhijrah, putus asa atau putus di tengah jalan hijrahnya? Ini kerana niat atau harapan kita bergantung kepada selain Allah. Benarlah yang disampaikan oleh Ali bin Abi Thalib ra. bahawa, “Aku sudah pernah merasakan kepahitan dalam hidup dan yang paling pahit adalah berharap kepada manusia.” Jadi, marilah kita luruskan niat kita untuk berhijrah semata-mata kerana Allah.
Apa yang Seterusnya?
Lalu, apakah langkah seterusnya agar kita istiqamah untuk berhijrah? Apakah cukup dengan meluruskan niat? Tidak, niat hanya sebagai langkah awal, seterusnya kita perlu mengambil tindakan. Jadi, pada tahap tindakan ini, apakah yang harus kita lakukan supaya kita boleh istiqamah atau tidak lelah berhijrah?
Sebelum itu, adakah kalian ingin mengajak rakan-rakan untuk menyedarkan diri, agak-agak selama ini keadaan kita sudah berhijrah atau belum? Terutamanya apabila melihat fakta-fakta kerosakan yang ada di sekeliling kita. Sejujurnya, fakta yang ada di sekeliling kita sangat rosak, terutamanya fakta tentang remaja. Terdapat pergaulan bebas yang tidak boleh diperlahankan, dadah, pergaduhan antara para pelajar di sekolah, gangguan seksual dan banyak lagi fakta rosak di sekeliling kita.
Melihat fakta seperti itu, kita mesti memilih untuk berhijrah. Maksudnya, hijrah dari perbuatan seperti itu, menjadi muslim yang lebih baik. Namun, hijrah kita tidak boleh dan tidak boleh bergerak sendirian. Berat, kita tidak akan tahan! Jadi, berhijrah mesti ramai-ramai. Jika sedang dan telah berhijrah, maka kita tidak boleh sendiri-sendiri, memikirkan diri sendiri. Mesti mengambil berat tentang keadaan di sekeliling kita dan rakan-rakan yang belum hijrah. Sebabnya, boleh jadi hijrah kita menjadi berat atau penat kerana masih terpengaruh dengan keadaan atau rakan-rakan lama kita. Jadi, kita tidak boleh mengabaikan keadaan di sekeliling kita.
Sebagai analogi, apabila melihat fakta-fakta masyarakat yang disebutkan tadi, boleh dikategorikan menjadi tiga kelompok: kelompok pemain, penonton dan masyarakat luar.
Pertama, kelompok pemain. Mereka sedar, bersedia, dan telah bergerak bersama untuk menyelesaikan masalah di atas. Bahkan, mereka bertindak nekad seperti pemain bola profesional. Mereka membina dan melatih diri dengan ilmu agar nanti apabila mereka benar-benar masuk ke dalam masyarakat mereka dapat memberikan penyelesaian masalah untuk masalah masyarakat. Mereka inilah yang memilih untuk meneruskan. Dalam khazanah Islam, mereka digelar pengemban dakwah.
Kedua, kelompok penonton atau pengulas. Mereka melihat hakikat kerosakan dalam masyarakat, tetapi mereka sangat suka mengulas perjuangan yang dilakukan oleh kelompok pertama. Ada yang komentarnya menyokong, tetapi tidak sedikit yang kotor, berlagak pandai, berlagak hebat, padahal tindakan dia sendiri tidak pernah ada. Ada juga penonton di sini yang seperti penyokong fanatik, jika menang ikut gembira, jika kalah membuat onar dan masalah.
Ketiga, kelompok masyarakat luar. Mereka tidak melihat malah tidak menghiraukan keadaan sekelilingnya. Sama seperti masyarakat di luar stadium yang tidak mempedulikan apa yang berlaku di dalam stadium semasa pertandingan berlangsung. Entah mahu merusuh ke, menang ke, kalah ke, apa-apa sahajalah, adakah anda fikir saya peduli. Ya, lebih kurang begitulah kelompok yang ketiga ini, menyaksikan kerosakan masyarakat tetapi mengabaikannya. “Yang penting ia tidak berlaku kepada saya dan keluarga saya,” begitu fikirnya.
Jadi, jangan sampai kita berada dalam kelompok ketiga mahupun kedua, yang sekadar berkomentar apatah lagi mengabaikan keadaan kerosakan di sekeliling mereka. Kita mesti berada dalam kelompok pertama, kawan. Ini kerana hijrah menunjukkan penjagaan kita. Hijrah adalah satu sumbangan yang boleh kita sumbangkan kepada masalah yang berlaku di negara ini. Jadi, adakah kita masih berdiam diri seperti kelompok ketiga tadi? Hanya menjadi penonton seperti kelompok kedua? Jika ya, maka itu tandanya kita masih belum berhijrah.
Tips Hijrah agar Istiqamah
Pastikan kita tidak berada di zon selesa (zon selamat) yang keliru. Maksudnya, seseorang tidak akan mengubah keadaanya jika dia merasakan bahawa keadaannya sekarang selesa. Dia merasa tidak perlu berubah walaupun keadaanya sekarang tidak diredhai Allah. Ingat kawan, kita hanya bersandar pada standard Allah yang tidak pernah salah. “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [TMQ Al Baqarah (2): 216].
Azamkan hati untuk ikhlas hanya mengharapkan redha Allah. Dengan azam ini, insya-Allah kita hanya fokus pada hal yang kita sasarkan dan lakukan. Apa yang orang lain katakan dan penilaian mereka tidak akan mempengaruhi keputusan hijrah yang kita ambil. “Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan kerana mengharapkan redha Allah semata.” (HR An Nasai dan Abu Dawud).
Carilah persekitaran rakan atau komuniti yang boleh menyokong perubahan kita ke arah yang lebih baik. Berkumpul dengan orang-orang yang soleh akan menjaga dan menjadikan kita tetap istiqamah dengan kesolehan yang akan kita mulakan.
Tanamkan azam dan rajin mengikuti pengajian Islam untuk menambah ilmu agama yang bersumber dari Al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Ini akan menjadi bekal kita ketika melangkah dan melakukan sesuatu.
Teruskan mendekat untuk taat kepada Allah SWT. kerana Dia yang akan memberi kita kekuatan dan memudahkan segala urusan. “Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan memberi kemudahan dalam urusannya.” [TMQ At-Thalaq (65): 4].
Sumber: Buletin Teman Surga Edisi 007
#DuniaRemaja #Hijrah #RedhaAllah #KeranaAllah

