[Fikrul Islam] Berfikir tentang Cara (Uslub)
Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani
Berfikir tentang cara (uslub, style) adalah berfikir tentang tatacara yang tidak kekal atau statik (permanent) untuk melakukan suatu perbuatan. Cara ditentukan oleh jenis perbuatan. Oleh kerana itu, cara akan berbeza-beza sesuai dengan perbezaan jenis perbuatan.
Memang benar berbagai cara terkadang mirip satu sama lain dan kadang-kadang pula satu cara boleh digunakan untuk beberapa perbuatan. Akan tetapi, ketika suatu cara difikirkan, perlu difikirkan jenis perbuatan yang akan dilaksanakan dengan menggunakan cara tersebut. Walaupun cara-cara mungkin serupa satu dengan lainnya dan walaupun cara yang sudah dikenal boleh dimanfaatkan untuk perbuatan yang baru, tetap perlu difikirkan jenis perbuatannya ketika orang berfikir tentang cara yang akan digunakan untuk melakukan perbuatan tersebut; tanpa melihat lagi saling miripnya cara-cara tersebut dan telah adanya cara-cara tertentu yang berguna untuk suatu perbuatan.
Adanya kemiripan terkadang boleh menyesatkan orang dalam usahanya mencari cara yang efektif. Demikian pula adanya cara lama yang boleh dimanfaatkan dalam suatu perbuatan, terkadang boleh mengakibatkan kegagalan melaksanakan perbuatan.
Sebagai contoh, cara propaganda suatu pemikiran mirip dengan cara dakwah untuk menyeru pemikiran tersebut. Masing-masing bertumpu pada penyajian pemikiran kepada manusia. Akan tetapi, ada kemiripan di antara keduanya yang boleh menyesatkan para pengemban dakwah dan boleh pula menyesatkan orang-orang yang mempropagandakan suatu pemikiran.
Cara propaganda apabila dipakai sebagai cara dakwah akan mengakibatkan kegagalan dalam jangka panjang. Begitu juga cara dakwah apabila digunakan sebagai cara propaganda akan mengakibatkan kegagalan propaganda. Ini kerana cara dakwah bertumpu pada penjelasan kebenaran-kebenaran sebagaimana adanya, sedangkan cara propaganda bertumpu pada penghiasan suatu idea dan penonjolan keindahannya, walaupun kedua cara tersebut tetap perlu disampaikan dengan penyajian yang baik.
Contoh lain adalah cara pengangkatan penguasa dalam sistem demokrasi, iaitu memberikan hak kepada rakyat untuk mengangkat penguasa. Cara ini boleh juga dimanfaatkan dalam pengangkatan penguasa dalam sistem Islam. Akan tetapi, ketika hendak diambil cara pengangkatan khalifah bagi kaum muslim, wajib difikirkan fakta pemerintahan dalam sistem Islam. Yakni pengangkatan tersebut adalah pengangkatan penguasa yang bersifat permanent, bukan penguasa untuk jangka waktu tertentu. Oleh kerana itu, mestilah difikirkan jenis pemerintahan dalam Islam ketika orang berfikir untuk merumuskan cara mengangkat khalifah.
Jadi, misalnya, para wakil umat membatasi atau menghadkan para calon yang layak untuk menjadi khalifah. Rakyat tidak boleh mencalonkan selainnya. Kemudian rakyat diminta memilih orang yang dikehendaki di antara para calon itu. Lalu rakyat seluruhnya diminta membaiat orang yang diredhai oleh majoriti kaum muslim untuk menjadi khalifah mereka. Memang baiat merupakan metod—bukan cara (uslub)—pengangkatan khalifah. Akan tetapi, tatacara pemberian baiat merupakan cara.
Oleh kerana itu, tidak cukup suatu cara yang boleh bermanfaat untuk aktiviti baru lalu langsung ditetapkan, sebagaimana cara tersebut boleh bermanfaat untuk aktiviti-aktiviti lainnya. Untuk menetapkan suatu cara dalam melakukan suatu perbuatan, perlu juga difikirkan tentang jenis perbuatan ketika kita berfikir tentang cara. Hal ini kerana berfikir tentang jenis perbuatan merupakan kemestian ketika kita berfikir tentang cara untuk melakukan perbuatan.
Cara (uslub, style) adalah tatacara tertentu untuk melakukan perbuatan. Ia bukanlah tatacara yang bersifat permanent (tetap) untuk melaksanakan suatu perbuatan. Ini berbeza dengan metod (thariqah, method) yang merupakan tatacara yang permanent untuk melaksanakan suatu perbuatan.
Metod tidak akan berbeza-beza dan berubah-ubah, juga tidak memerlukan akal yang kreatif (aqliyyah mubdi’ah) untuk melaksanakannya, sebab metod itu bersifat yakin (pasti). Yakni ada kalanya metod itu sendiri bersifat pasti, dan adakalanya metod berasal dari sesuatu yang pasti. Adapun cara, terkadang ia gagal ketika digunakan untuk melaksanakan suatu perbuatan dan terkadang boleh berubah-ubah serta memerlukan akal yang kreatif untuk melaksanakannya.
Oleh kerana itu, berfikir tentang cara lebih tinggi daripada berfikir tentang metod. Sebab, metod terkadang dihasilkan oleh akal kreatif, tetapi terkadang digunakan oleh akal yang biasa-biasa saja. Adapun cara, untuk menghasilkannya diperlukan akal yang kreatif atau akal genius, meskipun penggunaannya terkadang dilahirkan oleh akal yang biasa-biasa saja.
Metod tidaklah perlu dihasilkan oleh akal yang genius. Tetapi cara mesitlah dihasilkan oleh akal yang kreatif atau genius, baik ia orang terpelajar atau bukan, sebab menghasilkan cara tidak berkaitan dengan ilmu pengetahuan, tetapi berkaitan dengan aktiviti berfikir yang berlangsung untuk menghasilkan cara.
Dari sinilah manusia berbeza-beza dalam menyelesaikan masalah-masalah, sebab masalah-masalah itu dipecahkan dengan cara. Terkadang seseorang perlu berusaha menyelesaikan suatu masalah dan ia menemui kesulitan mengatasinya. Kemudian ia lari dari masalah itu, atau menyatakan ketidakmampuannya menyelesaikan masalah tersebut, atau menyangka masalah tersebut tidak ada solusinya.
Namun, orang yang memiliki pola fikir penyelesai masalah, jika sedang menyelesaikan suatu masalah dan mengalami kesulitan, ia akan mengubah cara yang digunakannya. Atau ia akan melakukan berbagai cara lain jika masih mengalami kesulitan, walaupun berbagai cara telah digunakan. Jadi ia tidak akan lari dari masalah, tidak akan menyatakan ketidakmampuannya menyelesaikan masalah, dan tidak akan berputus asa.
Sebaliknya ia akan bersabar dan akan meninggalkan masalah itu untuk sementara waktu. Kemudian ia akan berfikir kembali untuk menyelesaikannya pada waktu yang lain sampai dia berhasil menyelesaikannya.
Oleh kerana itu, bagi orang yang mempunyai pola fikir penyelesai masalah, tidak ada masalah yang tidak ada solusinya. Bahkan seluruh masalah pasti ada solusinya. Ini terjadi kerana ia bertumpu kepada kemampuannya untuk membuat cara-cara yang akan digunakan untuk memecahkan masalah yang sulit tersebut. Oleh kerana itu, berfikir tentang cara merupakan karakteristik akal yang kreatif atau genius, kerana menyelesaikan masalah bergantung pada berfikir tentang cara.
Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)

