Site icon MuslimahHTM News

[At Tafkir] Berfikir tentang Tujuan dan Target (Bahagian 2/2)

[Fikrul Islam] Berfikir tentang Tujuan dan Target (Bahagian 2/2)

 

Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani

 

Jika proses berfikir dan aktiviti individu perlu mempunyai tujuan, maka bangsa dan umat pun mestilah mempunyai tujuan, atau beberapa tujuan. Namun, tujuan sesuatu bangsa dan umat tidak boleh berupa tujuan yang jauh, melainkan hendaklah berupa tujuan yang dekat. Makin dekat sesuatu tujuan dan makin banyak yang dapat diwujudkan, maka akan makin baik dan makin dekat membuahkan hasil. Tujuan yang demikian juga akan lebih memungkinkan untuk difikir dan dilaksanakan.

 

Memang benar, suatu bangsa dan umat tidak terbayangkan akan membuat sendiri tujuan-tujuannya atau terlibat semuanya dalam menetapkan target-target. Namun, di tengah bangsa dan umat tersebut tersebar berbagai pemikiran. Mereka juga telah mengambil berbagai pandangan dan meyakini berbagai keyakinan. Dengan demikian, pemikiran-pemikiran tersebut menjadi pemikiran mereka, pandangan-pandangan (opinion) tersebut menjadi pandangan mereka, dan keyakinan-keyakinan tersebut menjadi keyakinan mereka.

 

Demikian juga mereka telah didominasi oleh tujuan-tujuan tertentu, yang mungkin terbentuk akibat berbagai pemikiran, pandangan dan keyakinan tersebut, atau akibat pengalaman-pengalaman hidup, atau akibat adanya hambatan dalam memperoleh hak-hak atau dalam pemuasan keperluan asas yang kurang. Kemudian terbentuklah pada bangsa atau umat tersebut tujuan-tujuan, yang mungkin berupa sesuatu yang menghilangkan hambatan untuk memperoleh hak-hak, atau perbaikan pemuasan keperluan-keperluan mereka.

 

Jadi, bangsa atau umat sebenarnya mempunyai tujuan-tujuan tersendiri, walaupun keseluruhannya tidak mampu menetapkan tujuan-tujuan tersebut. Hanya saja semua tujuan itu tentu termasuk jenis tujuan yang berkemungkinan untuk direalisasikan secara nyata (factual), bukan termasuk jenis tujuan yang mungkin direalisasikan secara akal (rasional) dan tidak dapat disaksikan secara nyata sebagai tujuan yang mungkin direalisasikan secara faktual.

 

Suatu hal yang perlu diperhatikan adalah membezakan antara tujuan dengan cita-cita tertinggi (al-matsalul a’la, ideal). Cita-cita tertinggi adalah tujuan dari segala tujuan. Pada cita-cita tertinggi itu hanya disyaratkan adanya usaha untuk meraih dan mewujudkannya. Jadi tidak disyaratkan perlu berupa sesuatu yang mungkin diwujudkan secara nyata. Namun, disyaratkan hendaklah berupa sesuatu yang mungkin diwujudkan secara akal.

 

Cita-cita tertinggi bukanlah tujuan, meskipun ia sendiri adalah suatu tujuan. Perbezaannya dengan tujuan adalah bahawa tujuan perlu diketahui sebelum pelaksanaan aktiviti dan hendaklah selalu diketahui sepanjang pelaksanaan aktiviti. Tujuan juga mestilah diusahakan dengan sungguh-sungguh dan terus menerus untuk direalisasikan sampai betul-betul terwujud. Adapun cita-cita tertinggi, cukup hanya diperhatikan keberadaannya selama kita berfikir dan beraktiviti.

 

Seluruh pemikiran dan aktiviti yang ada dimaksudkan untuk mewujudkan cita-cita tertinggi tersebut. Sebagai contoh, menggapai redha Allah adalah cita-cita tertinggi kaum muslim. Walaupun ada sebahagian kaum muslim yang menjadikan masuk syurga sebagai cita-cita tertinggi atau selamat dari neraka sebagai cita-cita tertinggi. Namun, kedua hal tersebut dan yang sejenisnya meskipun boleh dijadikan tujuan dari segala tujuan, tidak dapat disebut sebagai cita-cita tertinggi.

 

Dua tujuan tersebut merupakan tujuan dari tujuan-tujuan sebelumnya. Namun, setelah itu masih ada tujuan lain. Adapun cita-cita tertinggi, walaupun ia termasuk tujuan dari segala tujuan, tetapi setelah itu tidak terdapat tujuan lagi.

 

Tujuan dari segala tujuan yang tidak ada lagi tujuan setelahnya adalah menggapai keredhaan Allah. Oleh kerana itu, cita-cita tertinggi bagi seorang muslim adalah menggapai keredhaan Allah.

 

Kadangkala dilantunkan ungkapan berikut tentang orang-orang yang bertakwa lagi soleh, “Hamba (Allah) yang paling baik adalah Suhaib. Jika sekiranya dia tidak takut kepada Allah, nescaya dia tidak akan berbuat maksiat kepada Allah.” Dikatakan demikian, kerana tujuan Suhaib tidak berbuat maksiat bukanlah takut kepada Allah, yakni bahawa Allah akan mengazabnya kerana berbuat maksiat. Namun, tujuannya adalah mencapai redha Allah.

 

Jika sekiranya pada dirinya tidak terdapat rasa takut kepada Allah, dia tidak akan berbuat maksiat. Dia tidak berbuat maksiat kerana ingin mencari redha Allah, bukan kerana takut pada azab Allah. Dengan demikian, cita-cita tertinggi bagi kaum muslim adalah redha Allah, bukan masuk syurga dan bukan pula selamat dari neraka.

 

Walhasil, meskipun cita-cita tertinggi merupakan suatu tujuan, sebagai tujuan dari segala tujuan, tetapi ia berbeza dengan tujuan dan target. Apa yang dikatakan tentang berfikir dan beraktiviti—bahawa tujuannya mestilah ditentukan—tujuan di sini maksudnya bukanlah cita-cita tertinggi. Maksudnya adalah tujuan yang dapat diwujudkan secara nyata, walaupun di belakangnya masih ada tujuan atau bahkan tujuan-tujuan lain.

 

Jadi, tujuan perlulah ditentukan dan hendaklah berupa sesuatu yang mungkin diwujudkan oleh orang yang sedang berusaha mewujudkannya, bukan oleh generasi-generasi yang akan datang. Sarana-sarananya juga hendaklah boleh didapati dengan mudah atau berkemungkinan boleh diperoleh dengan mudah secara praktikal dan nyata.

 

Tujuan bukanlah cita-cita tertinggi, melainkan target yang hendak dicapai. Oleh kerana itu, berfikir tentang tujuan mestilah merupakan pemikiran yang bersifat nyata dan praktikal. Maksudnya, suatu tujuan perlulah berupa sesuatu yang mungkin diwujudkan oleh orang yang sedang mengusahakannya.

 

Dalam kaitan ini mungkin ada pertanyaan. Iaitu bahawa usia umat tidak boleh diukur dengan satu generasi atau bahkan beberapa generasi. Dan bahawa merancang masa depan umat perlulah berjangka panjang, dalam maksud rancangan itu akan boleh diwujudkan oleh generasi-generasi yang akan datang. Lalu bagaimana mungkin dikatakan bahawa tujuan perlu direalisasikan oleh orang yang sedang mengusahakannya?

 

Jawapannya adalah, usia umat tidaklah diukur dengan generasi-generasi, juga tidak diukur dengan ukuran ratusan tahun seperti yang diduga. Namun, umur umat diukur dengan dekad. Sebabnya, dalam waktu satu dekad, umat dapat berubah dan berpindah dari satu keadaan menuju keadaan lain.

 

Sebuah pemikiran yang bersifat praktikal adalah berkemungkinan untuk diberikan kepada sesebuah umat dan digantungkan pada satu generasi saja, walaupun terjadi perlawanan (resistance). Dengan syarat, perlu ada kesungguhan dalam berfikir dan beraktiviti. Oleh kerana itu, sesebuah umat tidak memerlukan waktu bergenerasi-generasi atau ratusan tahun.

 

Seluruh pemikiran dan aktiviti agar dapat membuahkan hasil pada sesebuah umat, paling tidak memerlukan waktu satu dekad. Sebabnya, dalam satu dekad dapat terjadi perubahan umat. Apabila umat tersebut tunduk kepada musuhnya, mereka memerlukan lebih dari satu dekad, tetapi tidak akan sampai memerlukan lebih dari tiga dekad jika terjadi perlawanan.

 

Oleh kerana itu, buah dari suatu pergerakan, aktiviti, atau pemikiran pada diri umat hendaklah dihasilkan oleh orang-orang yang sedang mengusahakan terwujudnya pemikiran dan aktiviti tersebut, bukan oleh generasi-generasi yang datang setelah mereka. Jadi suatu tujuan hendaklah termasuk sesuatu yang dapat diwujudkan oleh orang yang sedang mengusahakannya. Inilah syarat berfikir tentang tujuan. Tidak boleh disebut tujuan, jika ia tidak dapat diwujudkan sendiri oleh orang-orang yang sedang mengusahakannya.

 

Adapun yang disebut dengan pembuatan program bagi suatu umat, yang mengharuskan generasi-generasi mendatang mewujudkan program-program tersebut seperti yang dilakukan oleh pelbagai bangsa dan umat yang dinamik, maka jenis program tersebut sebenarnya bukanlah tujuan. Bahkan bukan merupakan pemikiran-pemikiran yang tertentu, melainkan hanya merupakan garis-garis besar (khuthuth ‘aridhah, broad guidelines) dan pemikiran-pemikiran umum.

 

Program tersebut disusun sebagai sebuah andaian, bukan sebagai tujuan. Atas dasar itu, yang semisal ini tidak boleh disebut tujuan, tetapi hanya disebut pemikiran-pemikiran umum, itu pun kalau diandaikan ia ada. Yang dimaksud tujuan, hanyalah suatu hal yang akan diwujudkan oleh orang yang sedang berusaha. Inilah yang disebut tujuan dan inilah berfikir tentang tujuan. Yang selain dari itu hanyalah asumsi dan teori, bukan berfikir tentang tujuan.

 

Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)

 

Exit mobile version