[AT-TAFKIR] Pemikiran Dangkal, Mendalam dan Cemerlang (Bahagian 2/2)
Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani
Mengatasi pemikiran individu tidak akan bernilai sedikit pun jika tidak selari dengan usaha di kalangan umat untuk meninggalkan kedangkalan berfikir yang ada pada umat, kerana individu adalah sebahagian yang tidak boleh dipisahkan dan dilepaskan dari umat.
Umat terbentuk daripada sekumpulan manusia yang diikat oleh metod kehidupan tertentu, manakala bangsa terbentuk daripada sekumpulan manusia yang berasal dari asal-usul yang satu yang hidup secara bersama.
Adapun individu-individu adalah anggota dari suatu kumpulan manusia tersebut, baik dalam suatu bangsa atau dalam suatu umat. Dengan demikian, individu tidak boleh dipisahkan dan diasingkan daripada mereka. Oleh itu, usaha untuk membuang pemikiran dangkal perlu dilakukan kepada individu dan umat secara serentak supaya kemungkinan boleh meninggalkan kedangkalan berfikir dari seluruhnya.
Apa yang dimaksudkan dengan pemikiran mendalam ialah berfikir secara mendalam. Maksudnya, mendalam dalam mengindera suatu fakta dan mendalam dalam maklumat yang berkaitan dengan penginderaan tersebut untuk memahami suatu fakta. Jadi, pemikiran mendalam bukan sekadar mengindera sesuatu dan tidak cukup hanya dengan maklumat awal untuk mengaitkannya dengan penginderaan, sepertimana pemikiran dangkal.
Berfikir secara mendalam dilakukan dengan mengulangi penginderaan fakta dan berusaha menginderanya lebih banyak daripada penginderaan sebelumnya, sama ada dengan ujian atau dengan mengulangi penginderaan. Pemikiran mendalam juga dilakukan dengan mengulangi pencarian maklumat lain selain maklumat awal yang telah ada.
Pemikiran mendalam juga dilakukan dengan mengulang, mengaitkan maklumat dengan fakta secara lebih banyak daripada apa yang telah dilakukan sebelum ini, sama ada dengan cara memerhatikannya dengan berulangkali atau dengan mengulangi kembali keberkaitan tersebut.
Dengan demikian, daripada jenis penginderaan, keberkaitan, dan maklumat seperti ini akan menghasilkan pemikiran mendalam, baik ia adalah kebenaran atau tidak. Dengan mengulangi dan membiasakannya, proses pemikiran yang mendalam akan terwujud.
Berfikir secara mendalam adalah pemikiran yang tidak cukup dengan hanya penginderaan pertama, maklumat yang pertama/awal dan terkaitan yang pertama antara maklumat dan fakta. Pemikiran mendalam merupakan langkah kedua selepas pemikiran dangkal.
Pemikiran mendalam merupakan pemikiran para ulama (intelektual) dan para pemikir, walaupun tidak semestinya pemikiran orang yang berpendidikan. Jadi, pemikiran mendalam ialah mendalam dalam penginderaan, maklumat dan keterkaitan.
Manakala pemikiran cemerlang ialah pemikiran yang mendalam itu sendiri, ditambah pula dengan pemikiran tentang segala sesuatu yang ada di sekeliling fakta dan yang berkaitan dengan fakta untuk mendapatkan kesimpulan yang benar. Dengan kata lain, pemikiran mendalam adalah berfikir secara mendalam dalam dirinya, manakala berfikir dengan cemerlang adalah selain berfikir secara mendalam dalam berfikir, dan memikirkan segala sesuatu yang ada di sekeliling fakta serta yang berkaitan dengan fakta untuk sampai kepada tujuan tertentu iaitu kesimpulan yang benar.
Oleh kerana itu, setiap proses pemikiran yang cemerlang adalah proses pemikiran yang mendalam. Namun, adalah mustahil proses pemikiran cemerlang itu berasal daripada pemikiran yang dangkal dan bukan setiap pemikiran yang mendalam adalah pemikiran yang cemerlang.
Contohnya ialah seorang pakar atom yang mengkaji pembahagian atom, ahli kimia yang menyelidik komposisi segala sesuatu (sebatian), dan seorang fakih yang membincangkan penggalian hukum dan membuat undang-undang. Mereka dan orang seperti itu, apabila membincangkan benda dan perkara tersebut, mereka membincangkannya dengan mendalam.
Jika tidak ada pemikiran yang mendalam, sudah pasti mereka tidak akan mendapat kesimpulan yang cemerlang. Akan tetapi, walaupun begitu, mereka bukanlah di kalangan orang yang berfikir cemerlang. Pemikiran mereka juga tidak dipanggil pemikiran cemerlang.
Dengan itu, tidak hairanlah jika kita mendapati seorang saintis atom telah menyembah kayu (salib), padahal jika dia berfikir sedikit dengan cemerlang, dia akan membuat kesimpulan bahawa kayu tersebut tidak boleh memberi apa-apa manfaat atau mudarat dan kayu itu bukanlah sesuatu yang patut disembah.
Begitu juga, bukanlah perkara pelik jika kita menemui seorang yang pakar dalam undang-undang yang menyakini adanya orang suci dan dia menyerahkan dirinya kepada orang suci tersebut supaya dapat mengampuni dosa-dosanya. Ini kerana kedua-dua jenis orang tersebut dan yang seperti mereka memang berfikir secara mendalam tetapi tidak cemerlang. Sekiranya mereka berfikir dengan cemerlang, mereka tidak akan menyembah kayu dan tidak akan mempercayai wujudnya orang-orang yang suci dan meminta keampunan dari mereka.
Benar, orang yang berfikir secara mendalam hanyalah mendalam pada objek yang difikirkannya, bukan perkara yang lain. Boleh sahaja seseorang berfikir secara mendalam apabila memikirkan tentang pembahagian atom atau membuat undang-undang, tetapi berfikir dangkal dalam perkara yang lain. Benar faktanya memang demikian.
Namun, apabila seseorang itu membiasakan diri untuk berfikir secara mendalam, ini akan membuatkan dia berfikir secara mendalam tentang perkara lain di luar objek yang difikirkannya, terutama pada perkara-perkara yang berkaitan dengan masalah besar (al-uqdatul kubra) atau cara perspektif dalam kehidupan.
Tetapi, tiadanya kecemerlangan berfikir akan membuatkan dia terbiasa berfikir secara mendalam sahaja, atau terbiasa berfikir secara dangkal, malah akan terbiasa berfikiran rendah (at-tafkir as-sakhif, pemikiran bodoh).
Oleh itu, pemikiran yang mendalam sahaja tidak cukup untuk membangkitkan manusia dan meningkatkan tahap pemikiran mereka, sebaliknya perlu ada kecemerlangan dalam berfikir sehingga terwujud keluhuran dalam berfikir (kebangkitan).
Walaupun kecemerlangan bukanlah kemestian untuk mencapai kesimpulan yang benar dalam berfikir, seperti yang berlaku dalam sains eksperimen, kajian undang-undang, sains perubatan, dan lain-lain, tetapi ia adalah satu kemestian untuk meningkatkan tahap berfikir. Kecemerlangan juga satu kemestian supaya proses berfikir dapat melahirkan pemikir.
Umat tidak mungkin bangkit dengan adanya para intelektual dalam sains eksperimen, ahli fikih, pakar undang-undang, doktor, jurutera, dan seumpamanya. Umat hanya akan bangkit apabila terdapat kecemerlangan dalam proses berfikir mereka. Dengan kata lain, umat akan bangkit apabila terdapat para pemikir yang cemerlang di kalangan mereka.
Kecemerlangan berfikir tidak semestinya ada proses belajar. Dengan kata lain, pemikir yang cemerlang tidak semestinya orang yang berpendidikan. Sebagai contoh, seorang Arab Badwi (pedalaman) yang berkata, “Tahi unta menunjukkan adanya unta. Jejak orang menunjukkan adanya orang yang berjalan,” adalah seorang pemikir cemerlang. Begitu juga seorang pemidato yang berkata, “Kewaspadaan tidak akan menyelamatkan diri dari suratan (takdir), dan kesabaran adalah salah satu sebab kemenangan,” adalah seorang pemikir yang cemerlang.
Akan tetapi, seorang penyair yang berkata, “Khalifah telah wafat, wahai manusia dan jin. Seolah-olah aku telah berbuka pada bulan Ramadhan,” adalah bukan pemikir cemerlang, walaupun dia seorang fakih dan berpendidikan. Seorang bijak pandai berkata, “Puncak kebijaksanaan ialah takut kepada Allah,” bukanlah seorang pemikir yang cemerlang kerana puncak kebijaksanaan ialah menyedari kewujudan Allah, bukan takut kepada Allah.
Jadi, pemikiran yang cemerlang tidak memerlukan ilmu dan kebijaksanaan (hikmah), tetapi memerlukan proses berfikir secara mendalam dan memikirkan perkara yang berada di sekeliling sesuatu fakta dan berkaitan dengan fakta itu untuk sampai kepada kesimpulan yang benar.
Oleh kerana itu, seorang pemikir yang cemerlang kadangkala ialah seorang yang ummi ‘tidak boleh membaca dan menulis’ sebagaimana pemikir cemerlang kadangkala adalah seorang berpendidikan atau ulama.
Pemikir yang cemerlang tidak akan dapat membentuk pemikiran yang cemerlang, kecuali dalam dirinya terdapat kecemerlangan ketika berfikir. Seorang ahli politik adalah seorang pemikir yang cemerlang. Seorang pemimpin juga merupakan pemikir yang cemerlang. Kedua-duanya memerlukan kecemerlangan apabila memikirkan sesuatu supaya proses pemikiran mereka dipanggil cemerlang.
Oleh itu, kita tidak hairan apabila melihat tokoh pemimpin dan tokoh politik yang menyembah kayu dan meminta pengampunan dosa daripada manusia yang lebih rendah kecemerlangan berfikirnya. Hal ini kerana pemikiran mereka bukanlah pemikiran yang mendalam dan cemerlang, melainkan berfikir mengikut adat dan kebiasaan, atau berfikir secara menipu dan munafik.
Semua ini bukanlah pemikiran yang mendalam atau cemerlang kerana seorang pemikir yang cemerlang tidak akan mengaitkan dirinya dengan penipuan dan kemunafikan, dan tidak akan terpengaruh oleh adat dan kebiasaan.
Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)
#AtTafkir #HakikatBerfikir #PemikiranDangkalMendalamdan Cemerlang

